Skip to main content

Singapura

Masjid Al-Falah giat tarik lebih ramai belia sertai aktiviti; jadi relawan masjid

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Al-Falah giat tarik lebih ramai belia sertai aktiviti; jadi relawan masjid

Masjid Al-Falah lakar pelbagai strategi tarik lebih ramai golongan belia. (Gambar-gambar: Masjid Al-Falah)

Diterbitkan : 27 Mar 2024 10:59PM Dikemas Kini : 28 Mar 2024 02:10PM

SINGAPURA: Cik Nurlaila Mohammad Anuar, 26 tahun, mula bergiat sebagai relawan di Masjid Al-Falah di Bideford Road sejak 2017 dan adalah sebilangan belia yang masih lagi aktif menyumbang bakti di masjid itu hingga ke hari ini.

"Saya rasa ada keperluan untuk berbakti semula kepada masyarakat. Berdasarkan pengalaman saya sebagai sukarelawan di Masjid Al-Falah, saya telah diberikan peluang untuk membantu dalam pelbagai acara dan dapat bergaul dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang," kata Cik Nurlaila.

Ketua Bimbingan Keagamaan dan Pembangunan Masyarakat di Masjid Al-Falah, Ustaz Hanan Farihin Jasmani memberitahu wartawan Nur Arina Ahmad Anis bahawa pihak masjid sentiasa berusaha menarik golongan muda Melayu/Islam untuk mengikuti program-program belia yang dianjurkan.

Beliau juga akur tentang cabaran menarik dan mengekalkan tenaga relawan belia untuk membantu menjalankan pelbagai program belia dan kegiatan masjid.

--

Ustaz Hanan Farihin berkongsi bilangan tenaga relawannya merosot dengan banyak sewaktu pandemik COVID-19.

"Selepas COVID, kami mengamati penurunan ketara dalam penglibatan belia semasa Ramadan di seluruh masjid, termasuk masjid kami. Ini disebabkan oleh keperluan penjarakan sosial yang melibatkan pengurangan acara berkumpulan.

"Akibatnya, terdapat penurunan yang ketara dalam penyertaan belia dalam aktiviti masjid, dan kami melihat kurangnya belia yang menyokong serta menjadi sukarelawan di masjid kami dan masjid-masjid di seluruh Singapura. Menyedari hal ini, pasukan kami telah bersatu untuk merancang dan melaksanakan strategi, dalam usaha membangkitkan semula penglibatan dan keterlibatan belia di masjid," kata Ustaz Hanan.

CARA MASJID AL-FALAH 'TARIK' BELIA KE MASJID

Beliau juga berpendapat bahawa berdasarkan pengamatannya, para belia lebih berminat dalam program-program bersifat kemasyarakatan dan kebajikan.

--

Maka itu, pihak masjid telah mengatur beberapa strategi untuk menarik perhatian golongan itu dengan menganjurkan kegiatan yang dekat di hati mereka.

"Antara strategi kami untuk menarik minat belia ialah melalui program-program dan aktiviti yang dirancang khusus. Kami telah menyusun pelbagai inisiatif seperti pengembaraan luar, forum mengenai isu-isu kontemporari, dan peluang untuk aktivisme alam sekitar, dengan matlamat memastikan terdapat sesuatu yang bermakna untuk semua dalam komuniti kami," kongsi Ustaz Hanan.

Antara cetusan idea lain dianjurkan sendiri oleh sekumpulan relawan belia masjid seperti kegiatan berkayak sambil mengutip sampah di Taman Tasik Jurong.

"Jadi program ini melibatkan para belia untuk sama-sama bergotong-royong di dalam mengurup sampah-sarap di sekitar Taman Tasik Jurong. Dan ini sekaligus meningkatkan kesedaran kepada mereka akan kepentingan menjaga alam sekitar," kata Ustaz Hanan.

Selain mengikuti aktiviti yang dianjurkan, pihak masjid berharap para peserta akan terus menggiatkan diri sebagai relawan.

--

Masjid Al-Falah juga menyediakan ruang dan peluang bagi belia untuk membangunkan kemahiran kepimpinan mereka.

"Melalui program-program kami, kami telah berjaya mengubah penglibatan belia menjadi komitmen. Banyak belia yang terdorong untuk menyumbangkan masa dan usaha mereka untuk kebaikan komuniti masjid. Sebahagian besar telah menjadi sukarelawan dalam pengurusan acara dan menjalankan peranan sebagai mentor dan fasilitator.

"Antara tiang strategik kami pada tahun ini ialah: Pemerkasaan Belia dan Penyebaran Pendidikan di mana kita dapat memperkasakan belia melalui program kepimpinan dan sokongan terhadap inisiatif mereka serta memudahkan penyebaran pendidikan melalui penglibatan awam dan dialog antara agama sesama belia," tambah Ustaz Hanan.

Misalnya, para belia relawan itu turut menyertai acara semasa Masjid Al-Falah menjadi tuan rumah lawatan bagi para belia dari Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Seramai 20 belia dari IRO itu berpeluang meneroka Masjid Al-Falah dan memahami lebih mendalam mengenai makna di sebalik pengagihan bubur Ramadan selain beriftar bersama.

--

Setakat ini, sebanyak empat program yang dianjurkan di Masjid Al-Falah adalah hasil cetusan idea yang dianjurkan sendiri oleh relawan belia Masjid Al-Falah sendiri.

Antaranya termasuk bengkel kepimpinan di mana para asatizah Masjid Al-Falah berkongsi tip-tip serta cara menjadi pemimpin yang baik serta program Ramadan yang dipanggil 'Ramadan Recharge 2024: Legacy of Light'.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita