Masihkah aplikasi, alat TraceTogether diperlukan sekarang? Kami jawab soalan anda...

Token TraceTogether bersebelahan sebuah telefon bimbit yang memaparkan aplikasi. (Gambar fail: Agensi Teknologi Pemerintah Singapura.)
SINGAPURA: Anda tidak lagi dikehendaki membuat pemeriksaan masuk SafeEntry dengan aplikasi atau alat TraceTogether di kebanyakan tempat di Singapura mulai Selasa (26 Apr) sedang langkah-langkah COVID-19 dilonggarkan.
Langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) akan dilonggarkan bagi hampir semua tempat mulai Selasa (26 Apr), menurut Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19 pada Jumaat lalu (22 Apr).
Namun, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk terus mengekalkan aplikasi dan menyimpan alat TraceTogether mereka. Mengapa anda perlukan aplikasi itu dan apa yang akan terjadi sekiranya anda padamkan aplikasi tersebut?
Ini yang perlu anda tahu:
Di mana saya tidak perlu menggunakan aplikasi atau alat TraceTogether?
Orang awam boleh memasuki kebanyakan tempat termasuk pusat beli-belah, pasar raya dan tempat ibadah tanpa membuat pemeriksaan masuk dengan aplikasi atau alat TraceTogether mulai Selasa (26 Apr).
Notis Risiko Kesihatan (HRN) juga tidak lagi dikeluarkan dan mereka yang diuji positif COVID-19 tidak perlu memuat naik data TraceTogether mereka atau menghantar alat mulai Selasa (26 Apr).
Penggunaan TraceTogether sebagai alat pengesanan kontak akan dikurangkan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat lalu (22 Apr).
Pemilik-pemilik tempat tertentu boleh menghentikan operasi SafeEntry mereka, tambahnya.
Adakah saya masih perlu aplikasi atau alat TraceTogether saya?
Ya, untuk tempat-tempat dan acara-acara di mana langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) masih dikuatkuasakan.
Ini termasuk pusat-pusat makanan dan minuman (F&B), seperti restoran, kedai kopi dan pusat penjaja.
Walaupun para pelanggan tidak perlu melakukan pemeriksaan masuk SafeEntry apabila menjamu selera di pusat-pusat F&B, pemeriksaan secara rambang akan dilaksanakan oleh kakitangan premis dan pegawai-pegawai penguat kuasa.
Ini diamalkan di pusat penjaja dan kedai kopi sebelum Selasa (26 Apr) dan akan diperluaskan ke semua restoran.
"Para pelanggan bertanggungjawab untuk memastikan mereka sudah lengkap divaksin sebelum makan di pusat F&B," ujar Encik Ong.
Di mana lagi saya perlukan aplikasi TraceTogether?
Selain pusat-pusat F&B, anda dikehendaki membuat pemeriksaan masuk SafeEntry di acara-acara dengan lebih 500 peserta pada satu-satu masa, seperti di konsert atau majlis perkahwinan besar-besaran.
Pemeriksaan status vaksinasi masih diperlukan sebelum memasuki pusat-pusat hiburan malam tertentu, termasuk pusat-pusat yang membenarkan kegiatan menari bersama. Para peserta perlu menggunakan aplikasi TraceTogether untuk mengesahkan status vaksinasi atau ujian COVID-19 mereka.
Patutkah saya padamkan aplikasi TraceTogether saya?
Walaupun penggunaan TraceTogether sebagai alat pengesanan kontak sedang dikurangkan, Encik Ong menggesa orang awam untuk mengekalkan aplikasi tersebut dalam telefon mereka atau menyimpan alat, sekiranya perlu menghidupkan semula alat-alat tersebut lagi.
Pandemik COVID-19 "masih belum berakhir," kata pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 Lawrence Wong pada Jumaat lalu (22 Apr).
Encik Wong memberi amaran bahawa Singapura mungkin mengetatkan sekatan atau menguatkuasakan semula TraceTogether dan SafeEntry jika varian baru yang membimbangkan timbul.
MOH menyatakan data yang dijana TraceTogether atau SafeEntry mungkin akan terus digunakan oleh pegawai polis dan pegawai penguat kuasa undang-undang untuk siasatan dan prosiding jenayah terhadap kesalahan-kesalah serius.
Apa yang akan jadi jika saya padamkan aplikasi TraceTogether, tukar telefon atau tukar nombor telefon?
Apabila aplikasi itu dipadamkan, semua data yang dicatatkan di aplikasi TraceTogether akan hilang. Pengguna tersebut juga tidak boleh berkongsi rekod mereka sekiranya dihubungi oleh pengesan kontak, menurut laman web TraceTogether.
Mereka perlu memuat turun aplikasi tersebut sekali lagi.
Jika seorang pengguna menukar telefon tetapi mengekalkan nombor telefon asli mereka, mereka boleh memuat turun aplikasi tersebut dalam telefon baru itu dan mendaftar menggunakan nombor telefon mereka.
Data TraceTogether di telefon sebelum itu tidak akan dialihkan kepada telefon baru tersebut dan akan kekal dalam telefon lama itu selama 25 hari sebelum dipadamkan.
Untuk aplikasi TraceTogether versi 2.10.0, pengguna boleh mengubah nombor telefon mereka menerusi laman profil di aplikasi tersebut jika menukar nombor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.