Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masih takut dapatkan vaksin COVID-19 bagi anak kecil anda? Ini penjelasan Dr Karen Nadua dari KKH

Anggaran Waktu Membaca:
Masih takut dapatkan vaksin COVID-19 bagi anak kecil anda? Ini penjelasan Dr Karen Nadua dari KKH

(Gambar: David Ryder/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2022 11:11PM Dikemas Kini : 30 Oct 2022 12:08AM

SINGAPURA: Sejak dua bulan lalu, pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan dalam banyak situasi. Kanak-kanak juga tidak lagi perlu memakai pelitup di sekolah, dan tempoh "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" pada 2020 serta langkah-langkah menjaga jarak sosial seakan satu kenangan lalu.

Dengan lebih dua juta orang dijangkiti di merata dunia dan kadar jangkitan tempatan sebanyak 36 peratus, nampaknya penduduk kini benar-benar hidup dengan virus itu.

IBU BAPA RISAU ANAK DIJANGKITI COVID-19

Namun begitu, Dr Karen Donceras Nadua, Perunding Perkhidmatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) berkata ramai ibu bapa masih bimbang anak-anak mereka akan dijangkiti COVID-19.

Meskipun kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mempunyai simptom ringan, sebilangan kecil pesakit seperti mereka yang mempunyai keadaan perubatan kronik seperti tindak balas pada sistem imun dalam tubuh, obesiti, penyakit paru-paru dan jantung kronik, serta gangguan saraf boleh mengalami penyakit yang teruk.

Keadaan yang dikenali sebagai sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MIS-C) yang berkaitan dengan COVID-19 juga terbukti menjejaskan kanak-kanak yang mengalami jangkitan COVID-19 sebelumnya, kata Dr Nadua lagi.

Keadaan itu tambah beliau boleh menyebabkan kerosakan berbilang organ akibat keradangan yang tidak terkawal, dengan sesetengahnya memerlukan rawatan penjagaan rapi.

Para doktor juga mula melihat kesan COVID-19 di luar jangkitan akut, seperti perubahan dalam aktiviti fizikal dan kesihatan mental.

Keadaan "COVID-panjang", yang mana gejala berlarutan seperti keletihan, sakit kepala dan deria bau yang terjejas turut dikesan pada kanak-kanak di luar negara. Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK kini sedang menjalankan kajian untuk meneliti sama ada kanak-kanak di Singapura turut terjejas.

MAJORITI KANAK-KANAK DIVAKSIN

Mujur, kesan COVID-19 pada kanak-kanak telah dapat dikurangkan dengan vaksinasi, yang terbukti melindungi golongan itu daripada jangkitan teruk. Vaksinasi juga terbukti melindungi mereka yang berusia lima hingga 17 tahun daripada risiko MIS-C.

Vaksinasi untuk kanak-kanak di Singapura, bermula pada Jun 2021 bagi mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun, diikuti oleh mereka yang berusia lima hingga 11 tahun pada Disember 2021.

Sehingga kini, hampir 80 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, begitu juga bagi 97 peratus remaja berusia 12 hingga 19 tahun.

Data rasmi menunjukkan bahawa vaksin COVID-19 untuk remaja dan kanak-kanak diterima dengan baik dan selamat. Kadar tindak balas yang teruk sangat rendah dan walaupun terdapat kebimbangan mengenai miokarditis/perikarditis (keradangan jantung), terutamanya dalam kumpulan remaja lelaki lebih tua berumur 12 hingga 18 tahun, kesnya sangat jarang berlaku.

Menurut jawapan di parlimen pada Januari, tidak ada sebarang laporan mengenai miokarditis akibat vaksinasi COVID-19 pada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

IMUNITI DALAM KANAK-KANAK 

Meskipun demikian, sehingga minggu ini, kanak-kanak bawah lima tahun, yang merupakan kumpulan mudah terdedah kepada jangkitan, tidak layak untuk vaksinasi COVID-19.

Munculnya varian kebimbangan seperti Omicron, menyebabkan jumlah jangkitan dalam masyarakat meningkat sekali gus mereka yang perlu dimasukkan ke hospital.

Sehingga 26 Okt, 527 orang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, di mana 15 pesakit berusia 0 hingga 11 tahun.

Ini berbanding sembilan kanak-kanak dalam kumpulan umur yang sama, daripada 208 pesakit yang dimasukkan ke hospital pada 27 Sep.

Selain simptom pernafasan semasa tempoh Omicron, para doktor juga kata Dr Nadua menyaksikan gejala klinikal COVID-19 yang lain seperti sawan akibat demam tinggi, dehidrasi dan croup (keadaan yang mengakibatkan saluran pernafasan atas bengkak yang membawa kepada batuk dan sukar bernafas). Keadaan itu boleh menyebabkan perlunya lebih banyak rawatan di hospital dan dimasukkan ke wad.

Munculnya satu lagi subvarian Omicron baru-baru ini, iaitu XBB, menyebabkan gelombang baru jangkitan COVID-19 di Singapura dan mungkin membawa kepada lebih banyak jangkitan pada kanak-kanak juga.

Pada masa yang sama, disebabkan sistem imun mereka yang masih sedang berkembang, kanak-kanak juga perlu berdepan dengan ancaman serentak daripada virus pernafasan biasa yang lain. Disebabkan sekatan pandemik dan langkah pengurusan yang selamat, kanak-kanak kurang terdedah kepada jangkitan virus lain sejak dua tahun lalu, mengakibatkan imuniti melemah.

Pemberian vaksin kepada kanak-kanak terhadap jangkitan yang boleh dicegah, seperti demam selesama dan COVID-19, adalah satu langkah kesihatan peribadi dan awam yang penting pada masa ini.

BAYI DAN KANAK-KANAK

Merujuk kepada kanak-kanak yang sangat kecil seperti bayi, ibu bapa sememangnya bimbang untuk membenarkan mereka diberi vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, vaksinasi bagi mereka yang berusia enam bulan hingga empat tahun adalah tunggak penting dalam usaha berterusan Singapura melawan COVID-19.

Pada Isnin (25 Okt), Singapura mula menawarkan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak kecil ini, bermula dengan dua dos vaksin Moderna/Spikevax. Tiga dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty akan disediakan pada akhir tahun ini.

Kedua-dua vaksin yang diluluskan itu adalah suntikan mRNA yang menyasarkan protein spike virus COVID-19. Ia adalah vaksin yang sama diberikan kepada kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, walaupun pada dos dan jadual yang berbeza.

Kajian menunjukkan bahawa kesan sampingan yang serius untuk kumpulan usia itu jarang berlaku, dan tiada kes miokarditis/perikarditis dikesan dalam kajian pengawasan susulan di AS.

Kesan sampingan yang paling biasa dialami termasuk demam yang boleh berlaku pada sekitar 25 peratus penerima vaksin, tetapi kebanyakannya sembuh dengan cepat dalam masa dua hari.

ANTIBODI PELINDUNG DALAM RAHIM

Bagaimana pula dengan kanak-kanak bawah enam bulan? 

Meskipun tiada vaksin bagi bayi sangat kecil, mereka boleh mendapatkan manfaat melalui vaksinasi ibu.

Kajian menunjukkan bahawa wanita hamil yang lengkap divaksin memberikan kadar perlindungan 60 peratus terhadap bayi mereka yang berumur kurang daripada enam bulan.

Semasa mengandung, ibu boleh berkongsi antibodi pelindung kepada bayi mereka dalam kandungan. Antibodi ini memberikan perlindungan terhadap jangkitan, dan yang paling penting, terhadap penyakit yang teruk semasa beberapa bulan pertama kehidupan mereka apabila mereka paling terdedah kepada jangkitan tetapi tidak layak untuk vaksinasi.

Konsep ini adalah sama dengan rasional mengesyorkan wanita hamil mendapatkan vaksinasi terhadap batuk kokol dan demam selesema, yang merupakan dua lagi jangkitan pernafasan biasa yang boleh menyebabkan jangkitan teruk pada bayi kecil.

Ketika Singapura bergerak ke arah menarik balik langkah pengurusan selamat secara progresif, COVID-19 mungkin menjadi salah satu daripada pelbagai penyakit virus yang dihadapi setiap kanak-kanak sedang mereka membesar.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan