Skip to main content

Singapura

Masih rasa kurang sihat meski sudah diuji negatif COVID-19? Begini cara tangani gejala selepas terkena jangkitan

Lebih 99 peratus kes COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini dianggap sebagai jangkitan ringan, namun sesetengah orang masih mengalami simptom yang berlarutan meskipun selepas mereka diuji negatif bagi koronavirus.

Anggaran Waktu Membaca:
Masih rasa kurang sihat meski sudah diuji negatif COVID-19? Begini cara tangani gejala selepas terkena jangkitan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 24 Mar 2022 08:14AM

SINGAPURA: Lebih 99 peratus kes COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini dianggap sebagai jangkitan ringan, namun sesetengah orang masih mengalami simptom yang berlarutan meskipun selepas mereka diuji negatif bagi koronavirus.

Pesakit melaporkan batuk berterusan dan gatal-gatal tekak, sesak nafas, rasa letih, 'brain fog' atau masalah memberi tumpuan, rasa debar-debar atau sakit dada dan masalah penghadaman.

Mungkin juga terdapat kesan negatif terhadap kesejahteraan mental, kata Dr John Cheng, Ketua Jagaan Utama di Healthway Medical Group.

Data tempatan dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada tahun lalu menunjukkan 16.9 peratus daripada kumpulan pesakit COVID-19 yang belum divaksin melaporkan mengalami gejala berlarutan 30 hari selepas dijangkiti.

11.7 peratus pula melaporkan masih mengalami gejala enam bulan selepas mereka dijangkiti, kata Dr Edgar Tay, seorang pakar kardiologi di Pusat Jantung & Vaskular Hospital Mount Elizabeth.

Beliau berkata data itu menunjukkan simptom-simptom berkenaan mungkin berkurangan dalam kalangan mereka yang sudah divaksin.

Dikenali sebagai "long COVID" sebelum ini atau keadaan di mana pesakit masih mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh masa yang lama, ia baru-baru ini ditukar nama kepada sekuela pasca-akut Jangkitan SARS-CoV-2 (PASC).

Mediacorp mendapatkan pandangan beberapa pakar perubatan tentang bagaimana pesakit dapat menangani gejala-gejala pasca COVID yang dialami:

BATUK DAN SESAK NAFAS

Ahli fisioterapi Jaclyn Chow berkata keradangan pada sel yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 boleh berlarutan meskipun selepas seseorang itu diuji negatif, menyebabkan mereka mengalami simptom berpanjangan seperti batuk, saluran pernafasan menjadi sensitif dan rasa tidak selera.

Jika batuk itu menyebabkan seseorang itu sukar tidur atau berasa kurang selasa, ubat batuk dapat bantu mengurangkan simptom. Ahli farmasi atau doktor boleh menyarankan ubat yang sesuai mengikut punca batuk, tempohnya dan tanda-tanda perubatan yang lain seperti demam atau sakit otot, kata ahli farmasi masyarakat Shawn Lee.

Dalam sesetengah kes, ubat batuk dari klinik adalah serupa dengan yang dijual di kedai-kedai runcit farmasi, kata Encik Lee, seorang anggota Persatuan Farmaseutikal Singapura. Namun beliau menarik perhatian ubat tersebut tidak boleh merawat COVID-19.

Jika pesakit itu lebih kerap batuk apabila sedang berbaring, ini mungkin disebabkan oleh lendih yang menitis ke bahagian belakang tekak.

Dalam kes sedemikian, mereka boleh cuba menambah satu lagi bantal di bawah kepala atau makan ubat anti alahan, yang lazimnya digunakan untuk merawat selesema.

SESAK NAFAS

Cara terbaik untuk menangani masalah sesak nafas adalah dengan memastikan seseorang itu dapat bernafas dengan baik.

Cik Chow berkata cara seseorang pesakit COVID-19 bernafas mungkin terjejas selepas terkena jangkitan dengan mereka lebih cenderung bernafas melalui mulut kerana hidung mereka tersumbat.

Namun, cara ini boleh menyebabkan rahang pesakit dan keadaan gatal tekak.

Bernafas melalui hidung pula lebih sihat kerana udara yang masuk melalui hidung disaring dari kotoran dan menghasilkan nitrik oksida, yang bantu membuka saluran udara.

KELETIHAN

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan rasa letih namun teknik pernafasan yang betul dapat membantu sesetengah pesakit mengatasi masalah ini, kata Cik Chow.

Pernafasan yang cepat akan menyebabkan saluran udara dan darah menjadi sempit sekali gus mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam darah mereka.

Jika kadar itu terlalu rendah, ia akan menghadkan aliran darah ke otak menyebabkan seseorang itu mengalami sakit kepala, rasa letih dan pening.

"Kami boleh cuba untuk tarik nafas perlahan-lahan... jadi anda boleh mengelakkan saluran darah daripada menjadi sempit, begitu juga dengan saluran udara dan ini akan membantu mengurangkan gejala keletihan, jika puncanya adalah gangguan pernafasan," katanya.

MASA UNTUK JUMPA DOKTOR

Ahli spesialis pernafasan Dr Adrian Chan menasihatkan pesakit supaya mendapatkan penilaian perubatan jika simptom yang dialami bertambah teruk walaupun mereka sedang pulih daripada COVID-19.

Jika seseorang pesakit melaporkan bacaan nadi oksimeter 94 peratus dan ke bawah, mereka harus mendapatkan nasihat perubatan kerana ia mungkin petanda "saki baki gangguan pernafasan akibat COVID", kata Dr Chan dari Hospital Mount Elizabeth Novena.

Dr Tay juga menyarankan supaya pesakit mendapatkan bantuan jika simptom-simptom yang dialami menjejas tidur mereka atau keupayaan bersenam.

Bekas pesakit COVID-19 yang merancang untuk melakukan semula senaman berat harus mempertimbangkan untuk menjalani penilaian lanjut jika mereka mengalami simptom-simptom seperti sakit dada atau rasa sesak, katanya.

"Terdapat sekumpulan pesakit yang mungkin mengalami miokarditis susuli jangkitan COVID-19 yang mungkin perlu menjalani rawatan dan harus berhenti bersenam buat sementara waktu," katanya.

Beliau berkata mungkin terdapat masalah jantung sedia ada yang baru diketahui selepas jangkitan COVID-19 yang memerlukan seseorang itu mendapatkan rawatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita