Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masih ramai pemilik rasa tidak perlu pasang mikrocip pada kucing kerana dijaga dalam rumah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di bawah satu rangka kerja pengurusan kucing yang disarankan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), kucing-kucing peliharaan perlu ada mikrocip dan para pemilik perlu mendapatkan lesen.

Namun, menurut pakar bedah veterinar dari Klinik United Veterinary Dr Phoebe Ong, masih ramai pemilik kucing yang tidak merasakan perlu untuk memasang mikrocip pada kucing-kucing peliharaan mereka.

Dr Ong memberitahu wartawan Syawal Yusoff bahawa buat masa ini hanya satu atau dua ekor kucing peliharaan dibawa ke klinik tersebut untuk dipasang dengan mikrocip.

"Kami tidak melihat peningkatan dalam jumlah pertanyaan atau bilangan pemilik yang mahu memasang mikrocip pada kucing. Ramai pemilik menganggap mereka menjaga (kucing di dalam rumah), tidak (dibawa) keluar. Mungkin tidak ada keperluan untuk itu. Tetapi kita tidak tahu. Kucing boleh mudah terlepas," kata beliau. 

PASTIKAN SEMUA KUCING PELIHARAAN DIPASANG MIKROCIP


Cik Nasha Jumaat membawa kucing kesayangannya, Jericho ke klinik haiwan untuk dipasang dengan mikrocip.

Jericho adalah kucing kesebelas yang beliau selamatkan dan dibawa ke klinik tersebut kerana Cik Nasha mahu semua kucingnya dipasang dengan mikrocip agar mudah dikesan sekiranya terlepas atau hilang.

“”(Gambar: Syawal Yusoff)

Biasanya, doktor veterinar akan menerangkan kepada para pemilik haiwan dahulu tentang prosedur yang akan dilakukan.

"Kebanyakan haiwan boleh dipasang dengan mikrocip. Ia adalah prosedur yang sangat standard dan pantas. Haiwan mungkin berasa tidak selesa, maksud saya, ada jarum yang menembusi kulit mereka. Tetapi selepas itu, biasanya kita tidak melihat sebarang komplikasi lain.

"Mikrocip itu akan kekal. Kadang-kadang ia mungkin hilang. Jadi katakan jika haiwan itu cedera atau ada sebarang luka pada bahagian yang ada mikrocip, ia boleh terkeluar," jelas Dr Ong.

“”(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau juga menasihatkan para pemilik yang menghantar kucing-kucing mereka untuk dikembirikan untuk menggunakan peluang itu untuk memasang mikrocip.

Menurut Dr Ong mikrocip sesuai untuk kucing-kucing di setiap peringkat umur.

Namun, bagaimana pula bagi kucing-kucing yang ada masalah kesihatan?

Seperti kucing Cik Nasha yang menghidapi penyakit kencing manis, kegagalan ginjal dan masalah usus 'megacolon' yang menyebabkan sembelit.

“”(Gambar: Syawal Yusoff)

“Ia boleh dilakukan, kita mungkin perlu memberi sedikit perhatian selepas dipasang dengan mikrocip untuk memastikan luka sembuh," jelas Dr Ong.

Selain klinik haiwan di mana kucing-kucing dipasang dengan mikrocip, para pemilik juga dinasihatkan untuk mendaftarkan butiran mereka di lelaman AVS.

"Anda kena letak nama, alamat, nombor mikrocip itu. Kalau ada mikrocip, itu adalah bukti pemilikan. Anda adalah pemilik kucing itu. Tidak boleh dipertikaikan bahawa kucing itu milik anda. Ada nombor mikrocip, anda juga ada nombor pendaftaran mikrocip itu," kata Cik Nasha.

Namun, beliau yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman sebagai penyelamat kucing berpendapat, selain kembiri dan memasang mikrocip, para pemilik perlu juga mengambil langkah-langkah tambahan.

“”(Gambar: Syawal Yusoff)

“Di luar itu banyak sangat masalah, banyak sangat bahaya. Kalau kucing-kucing anda dilanggar kereta, bergaduh,termakan racun, (atau) dianiaya," tambahnya.

Beliau menggesa para pemilik supaya memastikan rumah mereka selamat dan haiwan kesayangan mereka tidak berkeliaran di luar rumah.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan