Skip to main content

Singapura

Masih ramai pelawat pilih guna pasport berbanding kod QR bagi pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat SG

Sedang Singapura mengautomasikan pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat, usaha bagi menggalakkan para pelawat menggunakan kaedah pelepasan menerusi kod QR menyaksikan keputusan bercampur-campur - dengan ramai yang masih bergantung kepada pasport fizikal mereka.
Anggaran Waktu Membaca:
Masih ramai pelawat pilih guna pasport berbanding kod QR bagi pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat SG
Seorang pegawai kastam membantu Encik Jayme Emmanuel dan keluarganya dengan kod QR mereka di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 17 Disember 2025. (Gambar: CNA/Lan Yu)
Diterbitkan : 18 Dec 2025 11:14AM
  • Pelepasan kod QR dilaksanakan sepenuhnya di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada Januari lalu.
  • Hanya 48 peratus penumpang bas dan 40 peratus penunggang motosikal menggunakan kaedah tersebut, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Khamis (18 Dis).
  • ICA menyatakan bahawa pelepasan kod QR dapat mengurangkan masa pemprosesan dengan ketara, terutamanya dengan jumlah pelawat yang terus meningkat.
  • ICA menggalakkan para pelawat untuk menggunakan kaedah kod QR bagi pelepasan imigresen yang lebih mudah, tanpa memerlukan pasport, terutamanya dengan jangkaan trafik yang sangat tinggi pada bulan ini di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sedang Singapura mengautomasikan pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat, usaha bagi menggalakkan para pelawat menggunakan kaedah pelepasan menerusi kod QR menyaksikan keputusan bercampur-campur - dengan ramai yang masih bergantung kepada pasport fizikal mereka.

Pelepasan kod QR dilaksanakan sepenuhnya di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada Januari lalu.

Namun kadar penggunaannya masih sederhana.

Hanya 48 peratus penumpang bas dan 40 peratus penunggang motosikal menggunakan kaedah tersebut, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Khamis (18 Dis).

Jumlah itu lebih tinggi bagi para pelawat yang menaiki kereta, iaitu 69 peratus, manakala kadar penggunaan bagi pemandu lori adalah 85 peratus.

Golongan pelawat lebih berusia kurang berkemungkinan menggunakan kaedah pelepasan kod Q, dengan hanya separuh daripada mereka berusia 51 tahun ke atas memilih kaedah itu.

Sebagai perbandingan, kadar penggunaan bagi golongan individu berusia antara 21 hingga 50 tahun adalah 70 peratus.

“Menjelang pelaksanaan Sistem Pelepasan Penumpang Automatik (APCS) pada 2026, yang membolehkan para pelawat melepasi pemeriksaan imigresen tanpa perlu turun daripada kenderaan mereka, ICA menggalakkan para pelawat supaya mula menggunakan pelepasan kod QR sekarang,” kata agensi itu.

“Ini akan membantu mereka membiasakan diri dengan proses tersebut dan menikmati pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah.”

ICA menyatakan bahawa pelepasan kod QR dapat mengurangkan masa pemprosesan dengan ketara, terutamanya dengan jumlah pelawat yang terus meningkat.

Dari Januari hingga November tahun ini, jumlah pelawat di pusat pemeriksaan darat meningkat sekitar 11.8 juta – kira-kira 7.5 peratus – berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

CABARAN PARA PELAWAT

Apabila Mediacorp melihat para pelawat yang berlepas dari Singapura di dewan bas Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu, ramai yang melalui pelepasan gantri menggunakan pasport fizikal.

Bagi Cik Nur Surya, 40 tahun, dan Encik Najib Siddik, 43 tahun, ia merupakan kali pertama mereka mendengar tentang kaedah pelepasan kod QR.

“Ini kali pertama kami masuk dengan cara begini,” kata pasangan tersebut di dewan bas, sambil menambah mereka biasanya memandu ke Malaysia bersama empat orang anak mereka.

“Kami baru sahaja mendengar tentangnya (pelepasan kod QR), dan tidak pernah menggunakannya sebelum ini.”

Encik Najib berkata walaupun mereka belum memuat turun aplikasi tersebut, mereka bercadang untuk berbuat demikian bagi perjalanan seterusnya, dan menjangkakan ia dapat mempercepatkan pelepasan imigresen mereka.

Encik Jayme Emmanuel, yang menuju ke Malaysia bersama isterinya, dua anak dan pembantu rumah mereka, menghadapi beberapa masalah ketika cuba menggunakan pelepasan kod QR.

“Kami cuba menggunakan kaedah kod QR, namun kod itu gagal dijana. Kami akhirnya menggunakan pasport kami untuk melepasi pemeriksaan,” kata lelaki berusia 47 tahun yang bekerja dalam sektor IT.

Pada mulanya, beliau menyangka ia disebabkan oleh kuota empat orang di Lorong Bantuan Khas (SAL), namun masalah itu berterusan walaupun mereka berpecah kepada dua kumpulan yang lebih kecil.

Penduduk tetap Singapura itu, yang kerap berulang alik ke Malaysia, berkata beliau bernasib baik kerana mempunyai pasport fizikalnya — sesuatu yang masih diperlukan ICA walaupun dengan adanya kaedah pelepasan kod QR ketika melintasi sempadan.

LANGKAH PUBLISITI

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kaedah pelepasan melalui kod QR, ICA memperhebatkan usaha bagi menggalakkan para pelawat untuk menggunakannya.

Di dewan bas, semua lorong boleh menyokong pelepasan imigresen melalui pasport dan kod QR, namun lebih separuh daripada jumlah keseluruhan lorong dikhaskan untuk pelepasan ekspres melalui kod QR.

Lorong-lorong itu boleh ditukar antara pelepasan kod QR sahaja dengan pelepasan hibrid, berdasarkan keperluan operasi, menurut ICA.

“Video bagi menggalakkan penggunaan kod QR telah dihasilkan secara dalaman dan ditayangkan menerusi platform media sosial ICA, papan digital di dewan bas dan di atas bas Causeway Link,” tambahnya.

Poster yang tertera panduan terperinci mengenai cara untuk menjana kod QR bagi pelepasan imigresen turut dipaparkan di dewan bas dan ruang legar pusat pemeriksaan Woodlands, serta di tempat letak bas khidmat nombor 950 di Terminal Bas Sementara Woodlands, menurut ICA.

Di lapangan, pegawai ICA turut membimbing para pelawat untuk menggunakan kaedah pelepasan tersebut, menurut agensi itu.

Di zon-zon kenderaan, para pegawai ditugaskan di pintu masuk zon ketibaan dan keberangkatan untuk mendekati para pemandu dan menggalakkan penggunaan pelepasan kod QR, manakala pegawai kaunter turut membantu para pemandu dan pembantu di zon kargo untuk menggunakan kaedah baharu tersebut.

KESIBUKAN PADA MUSIM CUTI AKHIR TAHUN

ICA menggalakkan para pelawat untuk menggunakan kaedah kod QR bagi pelepasan imigresen yang lebih mudah, tanpa memerlukan pasport, terutamanya dengan jangkaan trafik yang sangat tinggi pada bulan ini di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Ini disebabkan oleh cuti sekolah akhir tahun, serta cuti Krismas dan Tahun Baharu yang bakal tiba.

Pada minggu pertama cuti sekolah — dari 21 hingga 27 Nov — lebih 3.6 juta pelawat melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu, menurut ICA.

“Jumlah pelawat memuncak pada 21 November, dengan lebih 555,000 pelawat melepasi imigresen dalam satu hari. Pemandu kereta yang berlepas semasa waktu puncak perlu menunggu sehingga tiga jam untuk pelepasan imigresen, disebabkan oleh kesesakan trafik dari Malaysia,” menurut ICA.

Agensi itu menambah bahawa para pelawat juga boleh menjangkakan waktu menunggu lebih lama disebabkan oleh pemeriksaan intensif terhadap penyeludupan rokok elektronik, atau vape, di pusat pemeriksaan.

Para pelawat dinasihatkan untuk memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan, dan mempertimbangkan untuk menaiki perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelakkan kesesakan jika perlu melakukan perjalanan pada tempoh tersebut.

“Kami memohon kerjasama para pelawat supaya mematuhi arahan pegawai ICA, mematuhi peraturan trafik dan mengekalkan disiplin laluan,” kata agensi itu.

“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelawat-pelawat yang enggan mematuhi arahan pegawai atau melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita