Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masih ada faktor-faktor yang boleh rangsang pertumbuhan ekonomi SG tahun ini: Saktiandi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun ketidaktentuan global boleh menjejas ekonomi dan ini agak membimbangkan, pakar ekonomi, Saktiandi Supaat berkata masih terdapat beberapa faktor "penyelamat" yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Ia selain penekanan pada sektor-sektor berkembang yang dikenal pasti dalam laporan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) yang dikeluarkan pada Khamis (15 Feb).

BEBERAPA FAKTOR BERISIKO BERI KESAN KEPADA EKONOMI SINGAPURA

Pergolakan di Timur Tengah dan konflik Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global dan pasaran komoditi boleh memberi kesan kepada ekonomi Singapura.

Ini selain kesan dasar kewangan yang diketatkan.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Masih ada risiko situasi di Timur Tengah, dari segi kesannya kepada rantaian bekalan, barangan yang boleh tiba ke sini. Kedua, kesannya kepada inflasi bermakna kesan kepada dasar umpamanya di Singapura, dari segi dasar mata wang Singapura yang dikuatkan untuk menangani inflasi yang diimport," ujar pakar Ekonomi dan Strategi Mata Wang, Maybank itu kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Situasi di luar negara Singapura dan juga dasar negara-negara lain memberi kesan kepada Singapura, satu ekonomi yang terbuka. Jadi kami adalah ibarat 'price taker' atau perlu mengambil harga barangan yang diberikan oleh negara-negara lain," tambahnya.

SEKTOR PELANCONGAN ANTARA INDUSTRI BERPOTENSI

Namun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain
yang boleh bantu merangsang pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini.

"Amat penting sekali ialah ekonomi China dan bagaimana rangsangan fiskal dan juga pertolongan yang mereka akan berikan pada 2024, sama ada akan memberikan rangsangan atau kerancakan kepada ekonomi negara China itu, yang boleh memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi Singapura," ujar Encik Saktiandi.

"Kedua, rangsangan pertumbuhan di negara China juga memberikan kesan dari segi ketibaan pelancong yang boleh memberi kesan yang positif untuk negara dan ekonomi pertumbuhan Singapura," tambahnya.

Malah, sektor pelancongan juga dikenal pasti sebagai antara industri yang berpotensi mencatat pertumbuhan tahun ini dan ini sekaligus menyokong industri lain seperti sektor runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman.

BOLEH PERTIMBANGKAN SEKTOR MEMBANGUN

(Gambar fail: Today)

Dengan itu, golongan pencari kerja atau usahawan boleh mempertimbangkan sektor membangun tersebut, namun perlu juga mengambil kira beberapa faktor.

"Kita perlu melihat bukan sahaja dari statistik yang turun atau naik tetapi dari segi permintaan sedunia sama ada daripada demografi yang bertukar-tukaran di negara-negara Asia," menurut Encik Saktiandi.

"Di Singapura, dari segi pentingnya kesihatan, penjagaan kesihatan, barang-barangan yang memerlukan Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi, yang memerlukan elektronik dan semikonduktor. Kita mungkin boleh melihat trend yang lebih panjang, bukan sahaja dari suku ke suku," tambahnya.

Ekonomi juga boleh dirangsang dengan peluang pekerjaan yang baik.

Merujuk kepada kenaikan median pendapatan bulanan isi rumah tahun ini, Encik Saktiandi berharap rentak positif itu dapat dikekalkan.

"Di dalam ekonomi, tidak kira apa ekonomi, pendapatan seseorang pekerja di dalam sesuatu firma atau syarikat itu mencerminkan 'value added' atau produktiviti seseorang pekerja itu. Jadi, secara amnya, firma atau syarikat itu mengeluarkan barangan dan juga khidmat dan idea-idea inovatif, yang memberikan rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi dan kenaikan gaji itu memberikan kesan yang mencerminkan kerancakan ekonomi secara amnya," kongsi Encik Saktiandi.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Apa yang penting adalah ia berkekalan, dari segi peningkatan gaji itu. Kita tidak mahu melihat pada satu tahun gaji meningkat 5 peratus hingga 10 peratus secara amnya untuk pekerja tetapi tahun depan, gaji tidak naik atau pekerja dibuang kerja. Kita mahu sesebuah ekonomi yang gajinya naik dengan trend yang positif tahun demi tahun, mencerminkan keupayaan firma atau ekonomi itu dan juga negara itu buat masa akan datang," tambahnya.

Itu juga kata beliau disokong pemerintah menerusi dasar-dasar dan langkah itu dapat bantu penduduk imbangi kesan inflasi.

SUMBANGAN WANITA YANG KEMBALI BEKERJA KEPADA EKONOMI

Pekerja pejabat di Raffles Place di Singapura pada 4 Januari 2022. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Sumbangan golongan suri rumah kembali bekerja juga kata Encik Saktiandi dapat memainkan peranan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Saya telah melihat bahawa peningkatan dasar agar wanita termasuk suri rumah yang bekerja ataupun wanita kembali kepada tenaga kerja dan buruh Singapura boleh memainkan peranan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi kerana tenaga kerja dan tenaga manusia di Singapura agak berkurangan untuk dekad-dekad akan datang.

Kita boleh meningkatkan tenaga buruh kita dengan merangsang warga wanita kita kembali masuk ke dunia pekerjaan," kata Encik Saktiandi.

Beliau menambah bahawa ekonomi juga boleh dirangsang pada masa hadapan, dengan adanya keseimbangan yang baik antara pekerja Singapura dengan bakat asing yang berkemahiran.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan