Skip to main content

Singapura

Masanya 'kini tepat' untuk tutup sekolah, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung

Sekolah akan digantung selama hampir sebulan bermula Rabu depan (8 Apr) ketika Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Jumaat langkah diperketat untuk membendung penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masanya 'kini tepat' untuk tutup sekolah, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung

Menteri Ong Ye Kung semasa sidang media pada 3 Apr 2020

Diterbitkan : 03 Apr 2020 06:29PM Dikemas Kini : 03 Apr 2020 08:04PM

SINGAPURA: Sekolah akan digantung selama hampir sebulan bermula Rabu depan (8 Apr) ketika Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Jumaat langkah diperketat untuk membendung penularan COVID-19.

Para pelajar dari semua peringkat, sekolah rendah hingga universiti, termasuk murid sekolah pendidikan khas, akan beralih kepada pembelajaran di rumah sepenuhnya hingga 4 Mei, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluaga (MSF).

Peperiksaan pertengahan tahun di sekolah juga akan dibatalkan, tambah MOE.

Semua prasekolah, tadika dan pusat jagaan pelajar akan turut ditutup, namun akan menyediakan perkhidmatan terhad untuk kanak-kanak yang ibu bapa mereka perlu pergi kerja dan tidak dapat mencari penjaga. Institusi pendidikan swasta juga harus beralih ke pembelajaran di rumah atau menggantung kelas, kata pihak berkuasa.

Kelas di sekolah dijadual disambung semula pada 5 Mei, namun MOE dan MSF akan terus memantau rapi keadaan COVID-19 untuk menilai sama ada langkah-langkah tersebut perlu dilanjutkan.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata walaupun beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa untuk menutup sekolah sebelum ini, baru sekarang masanya tepat untuk berbuat demikian dan "atas sebab yang betul".

"Disebabkan kita kini sedang melaksanakan dasar memutus rantaian jangkitan seluruh negara dan sekolah-sekolah adalah sebahagian penting daripadanya. Ia akan membantu kita bergerak ke arah di mana kita boleh meningkatkan jarak selamat, mengurangkan interaksi sosial dengan ketara dan mengurangkan penyebaran," jelas beliau.

PERCUBAAN BAGI PEMBELAJARAN DI RUMAH

Sekolah di sini sudah cuba memperkenalkan pembelajaran di rumah (HBL) secara berperingkat minggu ini, yang menyediakan pelajar dan guru untuk pelaksanaan penuh bermula minggu depan, tambah agensi-agensi itu.

Proses tersebut akan bantu huraikan masalah-masalah awal, kata Encik Ong.

MOE meminjamkan hampir 4,000 peranti digital untuk mereka yang tidak memilikinya dan ibu bapa yang bekerja masih boleh menghantar anak mereka ke sekolah, di mana mereka akan diawas dengan betul dan melaksanakan jarak selamat, tambah beliau.

Sekolah-sekolah akan terus memberi arahan dan sokongan untuk pelajar mengakses pelbagai bahan HBL secara online dan dicetak, supaya pembelajaran boleh diadakan berterusan tanpa gangguan.

Para pelajar boleh terus mendapatkan sokongan guru dan kakitangan sekolah lain yang akan terus bekerja dari rumah atau dari sekolah, kata pihak berkuasa.

Peperiksaan kebangsaan akan diteruskan mengikut jadual dengan langkah-langkah waspada sewajarnya dilaksanakan. Ini termasuk peperiksaan pertengahan tahun GCE peringkat O dan A bagi Bahasa Ibunda pada Jun, Peperiksaan Hujung Tahun dan PSLE.

"Ibu bapa sangat digesa untuk memastikan anak mereka berada di rumah dalam tempoh ini. Mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, yang tidak dapat menguruskan penjagaan alternatif, boleh ke sekolah rendah dan prasekolah mereka untuk bantuan," kata agensi-agensi tersebut

LANGKAH LEBIH TEGAS

PM Lee mengumumkan pada Jumaat bahawa tempat-tempat kerja kecuali khidmat penting dan sektor utama ekonomi, akan ditutup mulai Selasa depan dan beliau menggesa semua orang untuk duduk di rumah seberapa boleh.

Beliau berkata para penduduk hanya harus keluar untuk melakukan perkara penting seperti membeli makanan atau bersenam di taman, namun itu pun harus dilakukan dengan mengekalkan jarak selamat dari orang lain.

Langkah-langkah tersebut dilaksanakan selepas lebih banyak kes jangkitan tempatan dikesan di Singapura minggu lalu, dengan sekitar separuh kes tiada kaitan.

Di peringkat sedunia, jumlah kes COVID-19 sudah menjangkaui 1 juta dan angka korban yang dilaporkan mencecah 50,000 orang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita