Skip to main content

Singapura

Masalah teknikal punca kereta kebal langgar lampu isyarat semasa Pertunjukan NE NDP

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah teknikal punca kereta kebal langgar lampu isyarat semasa Pertunjukan NE NDP

Insiden melibatkan kereta kebal itu berlaku di North Bridge Road selepas segmen Perarakan Kenderaan NDP bagi pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) NDP 2025 yang kedua pada petang 5 Julai 2025. (Gambar: Facebook/SGRV)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 04:48PM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 05:00PM
SINGAPURA: Sebuah kereta kebal mengalami masalah teknikal pada Sabtu (5 Jul) semasa pertunjukan pendidikan nasional (NE) Perbarisan Hari Kebangsaan 2025, menyebabkan ia terlanggar lampu isyarat.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 7.20 malam.

Kereta Kebal Leopard 2SG Main Battle Tank (L2SG) mengalami isu teknikal selepas segmen Perarakan Kenderaan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 bagi Pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) yang kedua.

"Ini menyebabkan insiden di North Bridge Road, di mana kereta kebal itu terlanggar lampu isyarat," kata jurucakap itu.

Rakaman kejadian itu dikongsi online oleh laman Facebook SGRV. Dalam video itu, kereta kebal tersebut dilihat membelok ke kanan berhampiran Bangunan Parlimen apabila ia bertembung dengan lampu isyarat.

Ia kemudian dilihat berundur dan berhenti sebelum membelok, manakala lampu isyarat berkenaan kelihatan sedikit condong.

MINDEF menjelaskan bahawa tiada anggotanya yang cedera semasa kejadian tersebut dan kereta kebal itu masih berada dalam kawasan terkepung, jauh dari orang ramai.

“L2SG itu dipandu pada had laju 20km/j ketika kejadian itu berlaku. Krew kereta kebal itu bertindak balas mengikut prosedur operasi standard dan L2SG berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan pada kenderaan itu.

"Kerosakan kecil dialami pada lampu isyarat berkenaan," katanya.

Jurucakap itu menambah bahawa siasatan sedang dijalankan, dan MINDEF serta Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan sudah selesai menjalankan pembaikan yang diperlukan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita