Masalah suka kutip, kumpul barang hingga rumah jadi sesak: Punca & huraiannya
Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam rumah Encik Harun (bukan nama sebenar) pasti terkejut.
BERITAmediacorp: Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam rumah Encik Harun (bukan nama sebenar) pasti terkejut.
Timbunan pakaian, kasut, beg-beg dan banyak lagi barangan terpakai mengisi hampir setiap sudut flat 3-bilik warga emas yang berusia 82 tahun itu. Longgokan barang-barang malah 'menggunung' sehingga mencecah siling rumah.
Sukar untuk bergerak bebas dalam rumah ini. Hanya ada satu laluan agak sempit dari pintu rumah untuk ke bilik ataupun ke dapur.
Laluan dari pintu masuk ke bilik dan dapur dalam rumah Encik Harun.
Rumah Encik Harun menjadi sebegitu rupa setelah beliau asyik memungut barang-barang terpakai lalu membawanya pulang sejak kira-kira 20 tahun lalu - iaitu tidak lama selepas Encik Harun bersara. Bapa empat anak itu dahulu bekerja sebagai seorang pekerja lori tong sampah.
"Waktu pindah, rumah bersih. Tidak seperti ini. (Sekarang) kalau Cik buang itu sampah dia boleh korek, dia suruh cik cari dalam tong sampah itu," cerita isteri Encik Harun yang enggan namanya didedahkan.
Semasa BERITAmediacorp menziarahi pasangan itu di rumah mereka, tidak ada sebarang bau yang tidak menyenangkan, walaupun rumah mereka penuh dengan barang-barang yang dipungut. Kebanyakan barang yang dikumpul Encik Harun itu tersusun rapi dan kelihatan bersih.
Sungguhpun demikian, isteri Encik Harun tetap mendambakan rumah yang lapang, bersih dan selamat.
"Cik nak rumah lapang, bersih. Cik bukan nak rumah baru, rumah cantik. Asal lapang dan bersih. Cik cakap dengan suami cik, dia buat bodoh sahaja. Dulu dia pernah cakap: Kalau kau tak suka, kau jangan duduk sini. Kau duduk rumah anak kau," cerita wanita berusia 75 tahun itu.
Salah satu bilik Encik Harun tidak dapat ditembusi sama sekali.
Ditanya apa agaknya yang tiba-tiba membuat suaminya suka memungut barang dan kemudian enggan membuangnya, ini jawapan si isteri:
"Katanya nak kasi orang kampung. Tapi mana mereka nak barang buruk seperti ini. Tak tahu macam mana nak cakap. Cik berdoa je lah."
KENAPA GOLONGAN SEPERTI INI SUKA SIMPAN-SIMPAN BARANG?
Hakikatnya, kisah Encik Harun ini bukan satu-satunya kes seumpama itu di Singapura. Satu kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati, 1 dalam setiap 50 orang di Singapura akan berkelakuan seperti ini pada satu ketika dalam hidup mereka.
Puncanya? Konsultan Jabatan Psikosis IMH, Dr Kelvin Ng menjelaskan, ia satu 'behavioural disorder' atau gangguan tingkah laku.
"Mereka mengumpul barang dan enggan membuangnya kerana tiga sebab. Pertama, barang yang disimpan dianggap masih boleh digunakan atau diperbaiki. Ini ada sangkut pautnya dengan masa lalu mereka," terang Dr Ng.
"Saya pernah menangani kes di mana pesakit merupakan seorang bekas jurutera. Selepas bersara, dia mula mengumpul TV lama, pembakar roti lama, radio katalog yang tidak lagi orang ramai gunakan. Katanya semua itu boleh diperbaiki tetapi dia tidak melakukan apa-apa tentangnya," tambah beliau.
Sebab kedua adalah, individu tersebut mungkin pernah melalui kesusahan yang sangat teruk.
Seorang pesakit yang dirawat Dr Ng misalnya, pernah melalui zaman peperangan di mana dia terpaksa makan kulit kayu. Kini, pesakit itu suka menyimpan makanan-makanan dalam tin yang tamat tarikh luput.
"Dan sebab ketiga, individu itu mungkin meletakkan nilai kepada barang yang disimpan. Mungkin ada kenangan yang tidak boleh ditukar ganti," jelas Dr Ng lagi.
DENGAR SUARA YANG LARANG BUANG...
Meskipun begitu, ada juga yang mempunyai tabiat menyimpan barang yang terlalu banyak kerana masalah mental yang terdahulu dihadapi.
Sebagai contoh, seseorang pesakit skizofrenia mungkin mendengar suara yang menyuruhnya supaya tidak membuang sesuatu.
Jika seseorang itu mengalami kemurungan pula, mereka mungkin hilang semangat pada tahap teruk sehingga mereka tidak dapat menjaga kebersihan diri.
Pesakit-pesakit seperti ini membentuk hanya 17 peratus kes yang ditangani IMH sejauh ini, kongsi Dr Ng.
'TABIAT' INI BOLEH BAHAYAKAN NYAWA
Sememangnya kesukaran membuang barang-barang dipungut sehingga ia bertimbun-timbun dalam rumah boleh mencetuskan risiko keselamatan.
Tuan rumah antara lain akan mudah terjatuh kerana kemungkinan tersandung barang disimpan adalah sangat tinggi berbanding orang lain.
Jika berlaku kebakaran pula, api boleh marak dengan pantas sedangkan penghuninya akan perlu mengambil masa atau sukar untuk meninggalkan rumah.
Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, SCDF menyatakan pihaknya menangani satu insiden kebakaran yang melibatkan begitu banyak barang terkumpul dalam rumah pada 2018. Seorang individu maut dalam kejadian tersebut.
Satu lagi kes serupa ditangani tahun ini.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN PIHAK KELUARGA?
Jika kita melihat kembali kes Encik Harun, warga emas itu mula mempunyai tabiat memungut dan menyimpan barang sejak 20 tahun lalu. Anak dan isterinya sudah cuba memujuk tetapi gagal sehingga barang-barang menggunung di setiap sudut rumahnya.
Adakah ini bermakna, insiden seperti ini tidak dapat dicegah sama sekali? Berikut pandangan Dr Ng:
"Jadi apa yang seharusnya dilakukan adalah mengenal pasti ia suatu masalah. Pengesanan awal dan intervensi awal."
Ketika melakukan demikian, Dr Ng menasihati pihak keluarga untuk cuba menjelaskan seperti ini kepada si 'pesakit':
"Kita bukan mahu menafikan harga diri anda, kita bukan cuba menafikan nilai anda, tetapi kita sedang cuba untuk membantu anda."
Dapatkan bantuan pakar awal jika rayuan seperti itu tidak berhasil, tambah Dr Ng.
Dalam menangani kes seperti ini pula, pakar-pakar lazimnya mengikut model 3 'C'.
"'C' pertama adalah 'Cherish', (hanya) menyimpan barang-barang yang sangat penting. Yang kedua adalah 'Charity'. Jadi kita mencari rumah baru untuk barang yang benar-benar ingin disimpan pesakit, sekiranya ia masih lagi boleh dipakai, berfungsi dan mempunyai nilainya. Hanya sahaja ia berada di rumah oran lain. Kami sering kali melihat ini sesuatu yang dapat mereka lakukan," kata Dr Ng.
'C' yang ketiga adalah 'Chuck it away' yang membawa maksud membuang barang-barang yang disimpan.
"Ini sesuatu yang sukar tetapi kita perlu melakukannya dan cuba menjelaskan kepada mereka, (contohnya) sesuatu barang itu jelas sudah rosak dan tidak boleh digunakan," terang Dr Ng lagi.
RUMAH ENCIK HARUN AKAN JADI LAPANG TIDAK LAMA LAGI
Mujur bagi Encik Harun, rumahnya tidak lama lagi akan menjadi lapang.
Ini setelah keadaan rumahnya mendapat perhatian Datuk Bandar Daerah Tenggara, Encik Fahmi Aliman, yang merujukkan kes tersebut kepada sebuah pasukan bertindak di Geylang Serai.
Sejauh ini, terdapat 4 kes serupa yang sudahpun atau sedang ditangani pasukan tersebut, menurut seorang anggotanya, Encik Zailani Mohamed Said. Setiap kes ditangani dengan bantuan pertubuhan-pertubuhan masyarakat lain mahupun agensi Pemerintah.
"Pasukan Bertindak ini terdiri daripada Pasukan Pertahanan Awam, HDB, Majlis Bandaran, kumpulan daripada RC (Jawatankuasa Penduduk).
"Jika ada masalah tentang perumahan, kita akan salurkan kepada HDB. Misalnya kalau kita memerlukan bantuan 'skidbin' atau tong sampah besar, kita akan berhubung dengan Majlis Bandaran. SCDF pula akan meneliti dari segi keselamatan rumah itu," terang Encik Zailani.
M³@Geylang Serai juga ada memainkan peranan dalam usaha seperti ini, tambah beliau yang juga Pengerusi MAEC Geylang Serai.
"Sekarang kita mempunyai beberapa kes - dari rumah Melayu, dari rumah Cina. Bagi M³@Geylang Serai, kita ada dua kes. Yang satu kita dah hampir 80 peratus melakukan kerja-kerja pembersihan."
Rumah kedua yang ingin dibersihkan adalah rumah Encik Harun. Ia dijangka mula dibersihkan pada bulan ini.
"Saya berkunjung ke rumah beliau dua kali. Pertama kali, saya cuma dapat berdiri di pintu pagar. Saya beritahu tujuan kami datang. Beliau agak keberatan untuk membenarkan saya masuk ke rumah beliau. Memang agak susah untuk memujuknya. Jadi kita terpaksa mengatur strategi," cerita Encik Zailani.
Encik Zailani di rumah Encik Harun.
Dari sudut pandangan pakar pula, isu 'suka menyimpan barang' tidak boleh sekadar dihuraikan dengan usaha membuang barang-barang yang dipungut.
"(Bila barang mereka dibuang), ia sama seperti menyiat-nyiat harga diri mereka. Ia sebahagian daripada diri mereka. Lebih mudah untuk memotong tangan dan kaki mereka daripada memaksa mereka membuang barang-barang disimpan," kata Dr Ng.
Jadi paling utama sekali, tambahnya, kekosongan yang timbul selepas barang-barang disimpan akhirnya dibuang, harus terisi.
"Kami mendapati, mengajak mereka melakukan perkara-perkara lebih produktif selain menyimpan barang dipungut, (seperti) berbakti kepada masyarakat, memberitahu atau menunjukkan mereka bahawa mereka masih berharga."
Memperbaiki hubungan dalam keluarga yang terjejas juga, sama penting, tambah Dr Ng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.