Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masalah sistem isyarat punca gangguan khidmat kereta api NSL waktu sibuk pagi

Sebahagian khidmat MRT di Laluan Utara Selatan (NSL) mengalami gangguan pada waktu sibuk pagi pada Isnin (16 Dis) akibat masalah sistem isyarat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2019 11:31AM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 11:07PM

SINGAPURA: Sebahagian khidmat MRT di Laluan Utara Selatan (NSL) mengalami gangguan pada waktu sibuk pagi pada Isnin (16 Dis) akibat masalah sistem isyarat.

Para penumpang memaklumkan Mediacorp pada sekitar 8.00 pagi tentang gangguan itu, yang menyebabkan khidmat kereta api antara stesen MRT Bukit Gombak dengan Kranji terhenti.

SMRT, yang mengendalikan NSL memaklumkan tentang gangguan itu pada 8.15 pagi menerusi Twitter.

Ia turut memaklumkan khidmat bas ulang alik percuma disediakan antara stesen-stesen Jurong East dengan Kranji untuk para penumpang yang terjejas.

Beberapa penumpang mengirimkan gambar-gambar kesesakan di stesen-stesen terjejas. Ada yang mengatakan mereka menunggu lebih setengah jam untuk menaiki kereta api, manakala sebahagian yang lain berkata mereka terpaksa menanti dalam kereta api yang tidak bergerak.

Encik William Moy memuat naik di Twitter, gambar stesen Kranji yang penuh sesak sedang beliau menanti untuk menaiki kereta api ke Jurong East. Beliau tidak dapat menaiki kereta api setelah menunggu selama kira-kira 30 minit.

Cik MJ Maguax Lao Cutamora berkata beliau menunggu di stesen MRT Yew Tee selama 15 minit sebelum pengumuman dibuat tentang gangguan khidmat kereta api.

Encik Sathya Narayanan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja berkata beliau menunggu selama 25 minit di stesen Choa Chu Kang sebelum beredar.

"Masalahnya adalah mereka tidak mengumumkan apa-apa selamat lima hingga 10 minit," kata akauntan berusia 31 tahun itu berhubung situasi di stesen tersebut. "Jika kami bertanya tentang khidmat bas ulang-alik, kakitangannya akan berkata mereka tidak mempunyai sebarang maklumat dan akan mengenakan tambang."

Beliau akhirnya berjaya mendapatkan teksi namun lewat 40 minit ke tempat tugas.

Pada kira-kira 8.50 pagi, SMRT menyatakan masalah sistem isyarat sudah diperbetulkan dan khidmat kereta api kini pulih seperti biasa. Khidmat bas percuma ulang-alik ditamatkan 20 minit kemudian.

"Kami mohon maaf kerana perjalanan pagi anda terjejas," menurut syarikat itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan