Masalah ketagihan pornografi: Makin ramai minta bantuan di tengah COVID-19
Dengan lebih banyak masa terluang di rumah di tengah-tengah pandemik COVID-19, ramai yang kini lebih mencari hiburan online.
(Gambar: Pixabay)
SINGAPURA: Dengan lebih banyak masa terluang di rumah di tengah-tengah pandemik COVID-19, ramai yang kini lebih mencari hiburan online.
Namun satu sisi buruk trend ini adalah selain meningkatnya tontonan video penstriman dan program televisyen, penggunaan bahan lucah atau pornografi online turut meningkat. Sayangnya, bukan golongan dewasa saja yang ketagih.
KANAK-KANAK SEMUDA 12 TAHUN JUGA KETAGIH PORN
Sebilangan kaunselor yang ditemui Mediacorp berkongsi mereka bertemu dengan kanak-kanak semuda 12 tahun yang kini ketagihan kandungan berunsur seksual.
We Care Community Services, pusat pemulihan ketagihan berasaskan masyarakat yang menjalankan terapi program pemulihan ketagihan seks, pornografi dan cinta, menyatakan bahawa sejak bermulanya pandemik tahun lalu, pihaknya menyaksikan peningkatan yang drastik jumlah orang yang meminta bantuan untuk menangani tingkah laku seksual yang kompulsif, termasuk penggunaan pornografi online yang berlebihan.
Dari 50 kes pada 2019, jumlahnya meningkat seganda menjadi lebih 100 kes tahun lalu, di mana 70 kes adalah baru.
Secara purata, kebanyakan individu ini berusia 20-an tahun. Kurang daripada 10 peratus berusia di bawah 18 tahun.
Namun saban tahun, We Care menyaksikan seorang individu berusia 12 tahun menjadi antara pelanggan termuda mereka.
Selain menonton terlalu banyak pornografi, tingkah laku seksual kompulsif juga merangkumi merasakan keperluan berterusan untuk mencari pasangan seksual dan mempunyai banyak pasangan seksual. Ini seterusnya menjejas kehidupan dan pekerjaan seseorang, dan menyebabkan orang itu kehilangan pengalaman keluarga dan sosial yang penting.
LELAKI, WANITA JUGA MUNGKIN HADAPI KETAGIHAN
Cik Tham Yuen Han, pengarah klinikal We Care, berkata pihaknya melihat peningkatan kes melibatkan orang muda yang mempunyai masalah kerana mereka menonton pornografi online.
"Ia mungkin satu perkara baik kerana ia mungkin tanda bahawa kini orang lebih berani tampil awal untuk meminta pertolongan," ujra beliau.
Dr Adaline Ng, ketua kanan pakar psikologi klinikal di Better Life Psychological Medicine Clinic, sebuah klinik privet yang menawarkan psikoterapi dan kaunseling untuk tingkah laku ketagihan, berkata bahawa pesakit yang lebih muda cenderung dirujuk untuk mendapatkan rawatan oleh ibu bapa.
Namun, mereka yang lebih dewasa mungkin datang sendiri meminta pertolongan kerana mereka sedar dan ingin mengubah tingkah laku ketagihan mereka.
"Ada yang mungkin mendapatkan rawatan jika pasangan mereka mengetahui ketagihan mereka dan kestabilan hubungan mereka terancam oleh tingkah laku ini," tambah Dr Ng.
Walaupun lebih biasa bagi lelaki untuk mengaku ketagih pornografi, Dr Ng juga menemui pesakit wanita dengan masalah serupa walaupun mereka mungkin bukan meminta secara langsung pertolongan untuk penggunaan pornografi yang berlebihan.
PUNCA LAZIM ORANG BERGANTUNG PADA PORN
Pakar-pakar itu berkata bahawa kenaikan itu mungkin disebabkan oleh bertambahnya waktu dihabiskan untuk menonton dan orang ramai mempunyai lebih banyak masa lapang di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.
Individu dengan keupayaan lemah dalam menangani masalah juga mungkin beralih kepada pornografi untuk mengatasi rasa kesusahan, kata Dr Ng.
Kajian yang menyelidik penggunaan pornografi - seperti yang baru diterbitkan pada November tahun lalu dalam Jurnal Antarabangsa bagi Kajian Mati Pucuk - mengesahkan hal ini.
Selain daripada rasa ghairah dan keseronokan seksual, orang menggunakan pornografi kerana mereka mahu mengatasi tekanan, kegelisahan atau emosi negatif.
Mereka yang rasa kesunyian atau yang mengalami kemurungan melaporkan keinginan yang lebih besar untuk mencari bahan seperti itu, menurut kajian itu.
Kebosanan adalah satu lagi faktor, yang mungkin menjelaskan mengapa terdapat laporan mengenai peningkatan penggunaan pornografi semasa pandemik ini.
TEKNOLOGI, SEJARAH SERANGAN SEKSUAL JUGA FAKTOR PENYUMBANG
Pun begitu, penggunaan pornografi yang bermasalah bukanlah hal baru dan sudah lama berlaku sebelum penularan COVID-19.
Cik Tham dari We Care mengatakan bahawa penyelidikan mengenai tingkah laku seksual secara kompulsif masih baru, tetapi beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada peningkatan tingkah laku tersebut sudah dikenal pasti.
Faktor utama adalah penggunaan teknologi digital awal seseorang. Sifat teknologi digital, kemudahan mengaksesnya dan pelindungan identiti memudahkan seseorang terikat dengan pornografi.
Kajian awal mengenai tingkah laku kompulsif seksual menunjukkan bahawa orang yang berisiko berkelakuan sebegitu cenderung mempunyai sejarah pengabaian atau trauma seksual. Bagaimanapun, Cik Tham memerhatikan bahawa ini tidak semestinya berlaku pada hari ini.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan berleluasanya media digital, kami mendapati semakin ramai pelanggan yang lebih muda yang tidak mempunyai sejarah trauma. Mereka memiliki masa kanak-kanak yang sangat baik, berasal dari keluarga yang stabil, tetapi satu faktor sama antara mereka adalah mereka celik digital,” katanya.
"Mereka melakukannya (menggunakan bahan pornografi) kerana itu cara mereka menghilangkan tekanan, merangsang diri mereka, berseronok - kita sebut sebagai kelaziman.
"Dalam kalangan ramai orang dewasa yang kita lihat, kejadian pertama mereka dengan pornografi boleh bermula semuda 10 hingga 12 tahun."
KESAN DAN TANDA-TANDA
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menerangkan terdapat beberapa tanda-tanda menunjukkan kemungkinan masalah kelakuan seksual dalam kalangan kanak-kanak atau belia yang perlu diperhatikan ibu bapa dan pihak sekolah. Antaranya adalah apabila kanak-kanak atau belia itu:
- Menumpukan pada seksualiti pada tahap yang berlebihan berbanding aspek kehidupannya yang lain
- Mempunyai lebih banyak pengetahuan seksual berbanding kanak-kanak sebayanya
- Berinteraksi secara spontan dengan cara sensual atau seksual, misalnya, cuba bergurau secara seksual dengan orang lain, mengeluarkan bunyi seksual, berbual tentang tindakan seksual
- Memberi upah atau memanipulasi secara emosi atau fizikal kanak-kanak atau remaja lain untuk melakukan tingkah laku seksual
- Terlibat dalam perbuatan melancap secara kompulsif atau taksub dengan bahan lucah dan tingkah laku seperti itu tetap berlaku walaupun ada campur tangan orang dewasa
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.