Masalah ‘kaki ponteng’ sekolah: Antara sebahagian punca dan huraiannya…
Sejak memasuki Darjah 2 tiga tahun lalu, pihak sekolah menyedari Syifa 'Afiyah Sa'at kerap ponteng sekolah. Seringkali dia tidak menyerahkan MC (sijil cuti sakit) kepada guru. Rekod kehadiran sekolah keseluruhannya hanya 80 peratus.
BERITAmediacorp: Sejak memasuki Darjah 2 tiga tahun lalu, pihak sekolah menyedari Syifa 'Afiyah Sa'at kerap ponteng sekolah. Seringkali dia tidak menyerahkan MC (sijil cuti sakit) kepada guru. Rekod kehadiran sekolah keseluruhannya hanya 80 peratus.
Dalam erti kata lain, anak sulung empat beradik itu tidak hadir ke sekolah sekurang-kurangnya sehari hampir setiap minggu. Perkara ini berulang ketika Syifa 'Afiyah memasuki Darjah 3. Hakikatnya, 'Afiyah tidak hadir ke sekolah tanpa MC bersebab.
Ibunya, Cik Siti Norbayah Ahmad Sanip, serba-salah kerana anaknya itu sebenarnya menghidapi apnea tidur (sleep apnea) iaitu masalah pernafasan yang terhenti untuk sementara semasa tidur. Akibat gangguan tidur seperti itu, si penghidap lazimnya mudah rasa penat, mengantuk pada siang hari, serta sukar memberi tumpuan pada siang hari.
Cik Siti Norbayah bersama anaknya, Syifa 'Afiyah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)
Pada tahun 2016 pula, anak Cik Siti itu terkena pula jangkitan skabies di mana ada ruam dan bintik-bintik merah pada kulit yang begitu gatal terutama sekali pada sebelah malam. Ini menjejas tidurnya. Menceritakan lebih lanjut kepada BERITAmediacorp, Cik Siti menjelaskan bahawa anaknya itu tidak dapat menyerahkan MC kerana beliau tidak mengajak anaknya ke doktor.
"Biasanya doktor beri ubat untuk tiga bulan atau enam bulan. Jadi sementara ubat masih ada, saya kurang (ajak 'Afiyah ke doktor), pasal masalah kewangan (yang) terhad," kata Cik Siti. "Kalau ambil ubat, kena bayar lagi."
Cik Siti seorang suri rumah yang menjaga keempat-empat anaknya sendirian. Suaminya pula, pencari nafkah tunggal dalam keluarga dan bekerja sebagai seorang pemandu bas sekolah.
"Saya jaga empat anak saya pada satu masa. Kalau nak pergi doktor, kena bawa empat-empat. Susah nak bawa semua satu kali jalan," rintih Cik Siti membutirkan kesulitan yang dialaminya, dalam mengendalikan keperluan anaknya.
"Saya seboleh-bolehnya ingin anak-anak ke sekolah, tetapi kadangkala saya tengok, keadaan dia lesu, tak bermaya. Setiap ibu tak nak anak dia terlepas pelajaran. Lagi dengan masalah keluarga, susah macam gini kan," tambah Cik Siti.
MOE: MUJUR JUMLAHNYA “KECIL”, TAPI IA SIMPTOM KEPADA SESUATU 'LEBIH BESAR'
Sejauh manakah masalah murid ponteng sekolah secara kronik, masih lagi menjadi satu isu di sini? Apakah bilangannya besar? Soalan itu BERITAmediacorp ajukan kepada Kementerian Pendidikan (MOE).
Menjawab pertanyaan kami, MOE mengakui sememangnya masih ada sebilangan pelajar yang sering tidak hadir sekolah pada peringkat sekolah rendah. MOE tidak mendedahkan jumlah kes seumpama itu mahupun trend-trend mengenainya kebelakangan tahun ini. Namun yang pasti, jumlahnya "kecil", menurut kementerian tersebut.
"Tahun demi tahun, dibandingkan dengan saiz kohort pelajar (sekolah rendah), bilangan pelajar kita yang ponteng sekolah adalah kecil. Ini satu berita baik," kata Setiausaha Parlimen MOE merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
(Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY)
Namun, beliau akui isu ini memerlukan perhatian masyarakat. BERITAmediacorp diberitahu masih terdapat kes-kes di mana pihak sekolah terpaksa 'mengetuk pintu' rumah pelajar kerana pelajar tidak hadir ke sekolah buat tempoh masa panjang dan ibu bapa mereka gagal dihubungi.
"Ia satu isu di mana kita harus meneruskan perjuangan kita."
(Gambar fail: Facebook)
Ada pelbagai sebab seseorang pelajar sering tidak hadir ke sekolah, menurut MOE. Dalam kebanyakan kes, pelajar berdepan dengan masalah keluarga yang rumit. Maka itu, tindakan seorang pelajar yang sering tidak hadir ke sekolah "satu simptom masalah sosial yang kompleks", terang Dr Faishal.
NATIJAH PONTENG: KETINGGALAN PELAJARAN, RASA TERPINGGIR
Itu jugalah yang dihadapi murid seperti Syifa ‘Afiyah, yang kini berada di Darjah 5. Dia mengaku berasa terjejas dengan masalah yang dihadapinya.
'Afiyah memberitahu BERITAmediacorp bahawa dia "ingin belajar banyak perkara", tetapi malangnya ketinggalan dalam pelajaran. Setiap kali pelajar itu tidak hadir ke sekolah, beliau hanya berehat di rumah dan membaca buku.
"Kalau di rumah, saya tidak boleh buat sendiri, dan tiada orang bimbing saya (dalam pelajaran). Saya susah belajar di rumah kerana ibu tidak faham," kata Syifa 'Afiyah yang kelihatan segan-segan semasa berkongsi tentang pengalamannya.
Hakikatnya, tidak hanya sekadar ketinggalan dalam pelajaran, banyak lagi cabaran yang dihadapi seseorang pelajar yang sering tidak hadir ke sekolah. Misalnya, jaringan sosial pelajar berkenaan turut terjejas, kata Kaunselor Sekolah Rendah Dazhong, Suriati Sinwan. Sejak bertugas sebagai seorang kaunselor pada 2012, Cik Suriati menangani pelbagai kes pelajar, termasuk para pelajar yang sering ponteng sekolah.
"Kesan paling ketara, mereka mula kehilangan kawan sebab bila dah lama tidak datang ke sekolah, kawan-kawan yang mungkin pernah bermain dengan mereka, sudah ada teman baru," kongsi Cik Suriati.
Dari segi akademik pula, pelajar akan kurang keyakinan diri dan berasa seolah-olah mereka tidak bersedia untuk menduduki peperiksaan.
"Sebab itu, apabila berdepan dengan cabaran, mereka mengambil jalan mudah dengan tidak ke sekolah," kata Cik Suriati.
Namun, tekan Cik Suriati, punca utama pelajar sering tidak hadir ke sekolah masih terletak pada golongan ibu bapa.
Kaunselor Sekolah Rendah Dazhong, Suriati Sinwan.
"Pelajar kurang dorongan dari awal lagi kerana ibu bapa bersikap fleksibel, misalnya apabila pelajar tidak ingin ke sekolah, ibu bapa tidak bersikap tegas dan membenarkan mereka tidak ke sekolah dan berehat di rumah.
"Apabila ibu bapa sudah berbuat demikian, pelajar akan menerima mesej yang 'Oh mungkin tidak menjadi masalah jika saya tidak ke sekolah'," jelas Cik Suriati.
GEJALA ‘PERMISSIVE PARENTING’ & FAKTOR RISIKO ‘SOSIOEKONOMI RENDAH’
Ini juga boleh disifatkan sebagai gejala 'permissive parenting' di mana golongan ibu bapa sering memenuhi kemahuan anak mereka, meskipun keinginan atau tindakan anak-anak tidak wajar. Demikian kupasan Cik Nasyitah Tan, seorang bekas guru sekolah.
Cik Nasyitah Tan semasa menganjurkan satu bengkel. (Gambar: theloomsworkshops/Instagram)
Baru-baru ini, beliau bersama satu Rangkaian Pengamal Masyarakat mengkaji faktor-faktor dan isu-isu yang membelenggu pelajar tempatan yang sering tidak hadir ke sekolah. Cik Nasyitah kini seorang usahawan sosial yang turut bertemu dengan wanita-wanita yang berdepan dengan masalah keluarga seperti ini. Ini antara penjelasan lanjut Cik Nasyitah:
"Sesetengah ibu bapa tidak menitikberatkan cara mereka berkomunikasi dan menangani anak-anak mereka. Ada yang secara semula jadi pandai memastikan anak mereka berdisiplin. Namun, ramai, termasuk saya sendiri, perlu terus belajar untuk menguruskan anak-anak (dalam setiap fasa pembangunan mereka)."
Beliau menambah, kadangkala cara ibu bapa menangani anak-anak mereka dipengaruhi kepercayaan masing-masing. Ada juga bertindak memenuhi keinginan anak-anak sebagai satu 'pampasan' kerana mengenal pasti ada kelemahan pada diri mereka sebagai orang tua.
Dalam pada itu, Cik Nasyitah juga berkongsi tentang bagaimana latar belakang sebuah keluarga juga boleh menjadi antara faktor yang membuat seseorang pelajar banyak ponteng sekolah.
(Gambar hiasan: John Macdougall/AFP)
"Keluarga dengan latar sosioekonomi rendah lebih terdedah kepada isu ini berbanding keluarga lain. Sebabnya, mereka berdepan dengan pelbagai tekanan. Masalah kewangan hanya salah satu aspeknya. Mereka berdepan dengan keadaan yang kompleks, tidak hanya tentang wang," jelas Cik Nasyitah.
PELBAGAI CARA SEKOLAH HULUR BANTUAN
Jadi, apakah huraiannya bagi kes-kes ponteng sekolah secara kronik? Apakah yang boleh dilakukan pihak sekolah khususnya, untuk menanganinya?
Menurut Kaunselor Sekolah seperti Cik Suriati kepada BERITAmediacorp, lazimnya, guru akan menghubungi ibu bapa pelajar untuk bertanyakan tentang sebab pelajar tidak masuk sekolah. Sekiranya pelajar sakit, ibu bapa pelajar perlu menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan.
"Tetapi, kalau guru mendapati masalah ini berlanjutan, mereka akan mencari tahu sebab sebenar atau masalah yang dihadapi pelajar tersebut," kongsi Cik Suriati tentang tindakan yang diambil pihak sekolah setiap kali mengesan pelajar kerap ponteng sekolah.
Melalui pendekatan seperti itu jugalah, kauselor sekolah dan guru Syifa 'Afiyah mendapat tahu tentang kesulitan yang dihadapi 'Afiyah dan keluarganya. Hasilnya, dengan kerjasama Cik Siti Norbayah, pihak sekolah lebih mengerti tentang keadaan dan kesulitan yang ditanggung 'Afiyah. Mereka kemudian membantu murid tersebut sedaya mungkin.
'Afiyah dan dua adiknya yang bersekolah di sekolah rendah yang sama kini diletakkan di bawah skim-skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan. Bukan itu sahaja, pihak sekolah memastikan 'Afiyah tidak ketinggalan dalam pelajaran dengan mengikuti kelas tambahan dan sesi-sesi ICAN (kelas bagi membantu pelajar dalam subjek Matematik).
Guru sekolah bersama 'Afiyah.
Yang paling membantu Cik Siti adalah subsidi yang diberikan untuk mendaftarkan anak-anaknya ke pusat jagaan pelajar di mana mereka terus dibimbing dalam mata pelajaran dan kerja rumah selepas waktu sekolah. Kegiatan-kegiatan tertumpu kepada perkembangan watak (character development) turut diadakan di pusat jagaan tersebut.
Melalui sesi-sesi kaunseling juga, Cik Siti kini menjadi lebih tegas terhadap anak-anaknya.
"Alhamdulillah, sekolah banyak membantu kami. Kaunselor sekolah memahami keadaan kami. Mereka akan 'push' (dorong) kita untuk pastikan anak-anak hadir ke sekolah.
"Saya selalu ingatkan (anak-anak) tentang masa depan. Saya beritahu mereka bahawa mereka perlu ke sekolah, walaupun setakat sakit selesema. I will push them to go to school (Saya akan dorong mereka ke sekolah)," kata Cik Siti bersungguh-sungguh.
Namun, tidak seperti kes 'Afiyah, masih ada kes-kes lain yang kurang berjaya untuk pihak sekolah menghulurkan bantuan.
"Kadang-kadang susah, ada yang tidak mahu buka pintu, ada yang tiada di rumah dan ada juga rasa malu," dedah Dr Faishal tentang usaha para guru atau wakil sekolah yang tersangkak dek gagal menghubungi keluarga pelajar.
DR FAISHAL KONGSI PENGALAMAN: PERLU TUNJUK KITA MENGERTI
Dr Faishal berkongsi MOE bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) serta badan-badan Melayu seperti MENDAKI untuk mendekati dan membantu keluarga-keluarga pelajar bermasalah.
Satu lagi perkara yang perlu di pihak masyarakat, kata Dr Faishal, ialah bersikap proaktif dan positif terhadap para pelajar dan keluarga seperti itu.
"Apabila kita berbual dengan mereka tentang pendidikan, ia seolah-olah memberi mereka motivasi. Ini penting kerana apabila mereka mendengar sendiri daripada sanak saudara atau jiran, mereka akan memikirkan 'bagaimana dengan diri saya'," kata Dr Faishal.
Intinya, masyarakat perlu mendengar, memberi ruang dan menunjukkan keikhlasan untuk membantu mereka. Ini terbukti selepas Dr Faishal sendiri pernah meluangkan masa bersama seorang 'kaki ponteng' untuk mendengar masalah yang dihadapi pelajar tersebut.
"Saya berasa gembira kerana selepas perbualan dengannya dan memberi kata-kata perangsang, dia memberitahu saya: 'Prof Faishal, esok saya akan pergi ke sekolah’.”
Ini langkah yang “penting” hujah Dr Faishal, kerana “apabila mereka dapat merasakan bahawa kita mahukan yang terbaik bagi mereka, ia mampu menyentuh hati mereka".
(Gambar fail: MOE)
Cik Nasyitah Tan pula berpandangan, isu ini juga memerlukan masyarakat memikirkan tentang cara-cara mengubah persepsi dan merapatkan jurang pemikiran yang wujud antara generasi.
Dalam perkataan lain, perlu ada sokongan secara berterusan untuk mendampingi generasi masa kini. Kadangkala, tambah beliau, sukar untuk membentuk pemikiran ibu bapa yang sudah terbentuk daripada pengalaman hidup. Namun, akan lebih mudah untuk membentuk pemikiran kanak-kanak (kaedah ‘upstream’).
Bak pepatah 'kanak-kanak ibarat kain putih' dan bukan ibu bapa sahaja boleh mencorakkannya, masyarakat juga boleh memainkan peranan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.