Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos Zulkifli jamin MUIS komited perbaiki profesionalisme sektor asatizah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2023 02:55PM Dikemas Kini : 14 Jan 2023 09:01PM
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura Masagos Zulkifli memberi jaminan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) komited untuk memperbaiki tahap profesionalisme sektor asatizah, memperkukuh institusi dalam sektor tersebut, dan melahirkan lapisan asatizah masa hadapan yang disegani.

Demikian menurut Encik Masagos menerusi catatan Facebook beliau hari ini (14 Jan).

Beliau menambah, usaha-usaha yang dijalankan dijangka membuka peluang-peluang pekerjaan dan peningkatan bagi sektor asatizah.

Encik Masagos kini berada di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerjanya dari 9 Januari hingga 15 Januari.

Sepanjang dua hari lalu, beliau beramah mesra dengan para pelajar Singapura yang sedang melanjutkan pengajian tinggi di Madinah dan Kaherah.
Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli
Di Madinah, hampir kesemua 50 pelajar Singapura menuntut di Universiti Islam Madinah. Manakala di Kaherah, sebahagian besar daripada lebih 200 pelajar Singapura, menuntut di Universiti Al Azhar.

Menerusi catatan Facebook beliau, Encik Masagos memuji para mahasiswa Singapura yang tetap mengikuti perkembangan dalam negara meski berada jauh di perantauan.

"Saya gembira mereka mengikuti perkembangan terkini di Singapura seperti pemansuhan seksyen 377A Kanun Keseksaan baru-baru ini. Kami akur peranan genting Pejabat Mufti dan barisan asatizah kita dalam membimbing masyarakat Islam mengharungi isu-isu kompleks seperti ini," kata Encik Masagos.

Para penuntut juga berkongsi pengalaman mereka di luar negara dan ingin mengtahui bagaimana mereka boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Saya gembira para pelajar kita bersedia untuk menjadi warga yang aktif berkongsi ilmu, masa dan kepakaran demi maslahat masyarakat Muslim dan perpaduan sosial negara kita," katanya lagi.

Dengan peluang-peluang yang disediakan untuk para bakal asatizah kelak, Encik Masagos menggalak mereka agar merebut peluang tersebut.

"Saya galakkan mereka untuk merebut peluang yang tersedia. Semoga mereka berjaya dalam pelajaran dan saya mengalu-alukan sumbangan mereka kepada masyarakat sebagai asatizah kita, satu hari nanti," menurut Encik Masagos.
Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan