Masagos Zulkifli hadiri Sidang Tindakan Iklim
Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli bakal menghadiri Sidang Peringkat Menteri mengenai Tindakan Iklim (MoCA) yang ke-3 di Brussels, Belgium dari 27 hingga 28 Jun.
Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli semasa melancarkan pameran gambar tentang penggunaan air.
SINGAPURA: Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli bakal menghadiri Sidang Peringkat Menteri mengenai Tindakan Iklim (MoCA) yang ke-3 di Brussels, Belgium dari 27 hingga 28 Jun.
Menurut kenyataan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) hari ini (26 Jun), sidang tersebut disusuli dengan Pertemuan Persiapan Global (GPM) bagi Sidang Puncak Tindakan Iklim (CAS) Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Abu Dhabi dari 30 Jun hingga 1 Julai.
MoCA adalah satu perhimpunan tidak rasmi peringkat Menteri yang diterajui bersama Kesatuan Eropah, China dan Kanada. Ia menghimpunkan menteri-menteri terpilih untuk membincangkan isu-isu utama di bawah proses rundingan Rangka Kerja Konvensyen PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan untuk mempertimbangkan cara-cara menyokong secara berkesan pelaksanaan Perjanjian Paris.
Perhimpunan GPM akan dilancarkan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dengan Amiriah Arab Bersatu selaku tuan rumah. Ia bertujuan menggembleng usaha antarabangsa dalam menyokong matlamat ikilim perjanjian Paris.
Di mesyuarat-mesyuarat tersebut, Menteri Masagos akan membentangkan pandangan Singapura berhubung isu-isu utama yang sedang dirundingkan. Beliau juga akan mengetengahkan usaha Singapura terhadap tindakan iklim termasuk sumbangan negara ini sebagai sebuah anggota Perikatan Prasarana, Bandar dan Tindakan Setempat. Perikatan ini adalah satu aliran kerja yang ditubuhkan bagi membangunkan tindakan iklim yang kukuh dan boleh dikembangkan bagi diiktiraf di CAS.
Encik Masagos diiringi para pegawai dari MEWR, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan di bawah Kumpulan Strategi, Pejabat Perdana Menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.