Masagos umumkan 3 pelantikan jawatan kanan sekali gus dalam MUIS
Dalam satu langkah yang bertujuan memperkukuh kepimpinannya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan tiga pelantikan kanan yang baru pada Sabtu (30 Mac).
(Dari kiri) Encik Fahmi Aliman, Cik Shahla Iqbal, Dr Nazirudin Nasir (Gambar: MUIS, Mediacorp)
SINGAPURA: Dalam satu langkah yang bertujuan memperkukuh kepimpinannya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan tiga pelantikan kanan yang baru hari ini.
Ini termasuklah mewujudkan dua jawatan Timbalan Mufti, mengisi sebuah lagi jawatan Timbalan Ketua Eksekutif dan buat pertama kalinya melantik seorang Pengarah Undang-Undang di MUIS.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, yang mengumumkan demikian pada Sabtu (30 Mac) turut mendedahkan bahawa salah satu daripada dua jawatan Timbalan Mufti itu akan diisi oleh Dr Nazirudin Nasir mulai 1 Mei ini.
Berucap di Seminar Pelan Kerja MUIS 2019, Encik Masagos menyatakan kerja-kerja MUIS semakin rumit dan meluas.
MUIS juga katanya "perlu menyediakan proses dan bekalan penggantian kepimpinan" agar ia sentiasa sedia dan berupaya memenuhi keperluan masyarakat yang semakin pesat berubah-ubah.
"Selaras dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa MUIS akan melantik dua Timbalan Mufti untuk menyokong Sohibus Somahah Mufti kita (Dr Fatris Bakaram). Peranan dan bidang tugas Mufti semakin meluas.
"Kedua-dua Timbalan Mufti akan menyokong Mufti dan Pejabat Mufti dalam membentuk dan memberi bimbingan agama dan sumbangan kepada inisiatif-inisiatif penting tersebut," kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air.
Seorang Timbalan Mufti sudahpun dipilih, iaitu Dr Nazirudin Nasir yang kini bertugas sebagai Pengarah Kanan Dasar dan Pembangunan Keagamaan di MUIS.
Lulusan Syariah Islam dari Universiti Al-Azhar dan mendapat PhD dalam bidang teologi dari Universiti Oxford, Ustaz Dr Nazirudin menyertai MUIS sejak 17 tahun lalu.
Menurut Encik Masagos, sejak beberapa tahun lalu, Dr Nazirudin memainkan peranan penting dalam membentuk dasar keagamaan di MUIS termasuk penyemakan dan pembentukan fatwa serta pembangunan asatizah.
"Saya yakin Dr Nazirudin sebagai Timbalan Mufti, akan memberi sokongan padu kepada Mufti (Dr Fatris Bakaram) dalam membimbing masyarakat kita," ujar Encik Masagos lagi.
Mengulas pelantikannya menerusi satu kenyataan MUIS, Dr Nazirudin berkata beliau "amat berbesar hati kerana diberi peluang" tersebut dan berikrar "akan melakukan yang terbaik" untuk melaksanakan tanggungjawab besar itu.
Jawatan Timbalan Mufti kedua akan diisi pada masa yang sesuai kelak, jelas Encik Masagos.
MUIS AMBIL LANGKAH TARIK "BAKAT LUAR"
Selain memperkukuh dan mengembangkan bakat dalaman MUIS, Encik Masagos menyatakan bahawa penguasa Islam tempatan itu juga mengambil "bakat dari luar" demi memperkasakan dirinya sebagai sebuah pertubuhan.
Ini dibuat dengan mengambil pegawai berbakat dari perkhidmatan awam yang berpengalaman dalam pembentukan dasar, operasi serta kemahiran-kemahiran khusus.
Ketua Eksekutif MUIS sekarang, Encik Esa Han Hsien Masood dicungkil dari Perkhidmatan Awam. Kini, lagi dua lagi dua bakat dari Perkhidmatan Awam menyertai MUIS dedah beliau.
Pertama, pelantikan mantan Kolonel SAF, Encik Fahmi Aliman, selaku Timbalan Ketua Eksekutif MUIS (DCE) yang baru. Ini bermakna, MUIS kini mempunyai dua Timbalan CE. Timbalan CE sedia ada ialah Dr Albakri Ahmad.
Sebelum menyertai MUIS sejak 1 Februari tahuni ni Encik Fahmi bertugas dengan SAF selama 26 tahun dan pernah menyandang jawatan sebagai Komander Briged Infantri.
Cik Shahla sebelum ini bertugas di Pejabat Peguam Negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.