Masagos tiba di Shisha lawat 900 jemaah haji S'pura
Encik Masagos tiba dari Makkah untuk meninjau-ninjau keadaan para jemaah Singapura dan pelan pelaksanaan haji 2022.
BERITAmediacorp: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli tiba di Shisha, Arab Saudi, pada petang Rabu (6 Jul) bagi melawat 900 jemaah haji Singapura tahun ini.
Encik Masagos tiba dari Makkah untuk meninjau-ninjau keadaan para jemaah Singapura dan pelan pelaksanaan haji 2022.
Tahun ini adalah tahun pertama jemaah haji dari luar Saudi dibenarkan menunaikan rukun Islam yang kelima itu sejak COVID-19 melanda dunia pada 2020.
Encik Masagos berkata Misi Haji Singapura sudah bersedia untuk menggerakkan pelan pelaksanaan haji yang pertama dalam era pandemik.
"Pihak Saudi sekarang ini telah buat penetapan bahawa mereka yang positif tapi tidak ada gejala COVID dapat sama-sama menghadiri wukuf bersama dengan jemaah mereka tapi bagi mereka yang mengalami gejala COVID dan positif, mereka akan dibawa oleh kerajaan Arab Saudi melalui ambulans-ambulans yang disediakan supaya mereka dapat berwukuf dan juga menjalankan ibadah haji seperti persinggahan di Muzdalifah dan juga di Mina," beliau memberitahu BERITAmediacorp.
Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Kadir Maideen mengiringi Encik Masagos, yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura tahun ini.
Encik Masagos turut melawat klinik MUIS di Shisha untuk meninjau persiapan pasukan perubatan Singapura.
"Memang penat juga kerana kita menjalankan klinik pada waktu siang hari. Kemudian pada waktu malam, kita cuba untuk rehatlah selepas klinik tutup tapi berkat dapat bekerja di tanah suci, tidak terasa sangatlah kepenatannya," kata Cik Lubna, seorang jururawat yang bertugas di klinik tersebut.
Para jemaah yang ditemui BERITAmediacorp mengalu-alukan kehadiran pasukan perubatan itu semasa menjalankan ibadah haji.
"Pegawai perubatan sungguh profesional dalam melayani pesakit-pesakit yang datang, begitu juga dengan para doktor, penuh dengan kesabaran dan dia punya penjelasan pun amat jelas dan tidak perlu tunggu lama. Semua kalau nak datang sini pun pakai aplikasi yang baru dilancarkan jadi mudah untuk para jemaah menggunakannya dan pembukaan klinik pun, anda tahu buka pukul berapa, tutup pukul berapa," kongsi seorang jemaah haji Singapura, Cik Noni Yusran.
"Alhamdulillah saya rasa mereka memberi khidmat dengan sepenuh hati dan sedia menolong jemaah yang perlukan pertolongan," ungkap seorang jemaah haji Singapura, Encik Muhammad Kamil Ishak.
"Alhamdulillah bagus, hari itu pun saya ada selesema tetapi Alhamdulillah satu bangunan ini, kebetulan klinik di depan mata, jadi tak susah. Kemudahan semua yang disediakan, semua ada di depan mata," ujar seorang lagi jemaah haji Singapura, Encik Tauhid Hamid.
Pada Rabu, Encik Masagos juga sempat bertemu dengan Menteri Haji Dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al Rabiah.
"Alhamdulillah, saya juga telah menyampaikan terima kasih negara kita kepada pihak Saudi kerana telah menambah jumlah jemaah yang dapat menunaikan haji tahun ini. Beliau juga mengatakan bahawa jemaah kita adalah satu jemaah yang beliau sangat kenali dan sangat menghormati kerana kita selalu akur mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh pihak Saudi," kata Encik Masagos.
Para jemaah Singapura dijadual mula bergerak ke Arafah pada petang Khamis waktu Saudi untuk kemuncak ibadah haji esok (8 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.