Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos terharu atas mesej perpaduan, persahabatan dalam surat ucapan Hari Raya Kardinal William Goh

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli meluahkan rasa terharu atas ucapan Hari Raya serta mesej perpaduan dan persahabatan oleh Kardinal William Goh bagi pihak badan masyarakat Roman Catholic Archdiocese of Singapore.

Demikian menurut beliau dalam surat balasnya kepada kardinal tersebut, seperti yang dikongsikan menerusi laman Facebooknya pada Jumaat (21 Apr).

Dalam surat yang dikirimkan Kardinal William Goh, beliau menyeru kedua-dua masyarakat Islam dan Roman Catholic Archdiocese bekerjasama demi keamanan negara atas nama kemanusiaan.

Beliau juga berharap budaya saling memahami, mendengar dan berbincang dapat dipupuk dalam kalangan penganut dari berbilang agama.

letter

"Ayuh terus bergabung bagi menjalankan usaha murni untuk menyebarkan kasih sayang, berkhidmat dan melakukan kerja amal bagi mereka yang memerlukan," tulis kardinal itu dalam suratnya.

(Gambar: Roman Catholic Archdiocese of Singapore)

Beliau menulis demikian sambil menyingkap kunjungan Pope Francis ke Bahrain, di mana beliau bertemu Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed al-Tayeb dan saling bertukar-tukar cenderahati yang antara lain melambangkan keamanan.

SURAT BALAS MASAGOS ZULKIFLI

Dalam surat balasnya kepada kardinal tersebut, Encik Masagos akur tentang pentingnya keharmonian kaum dan mereka harus terus mengukuhkan jalinan dengan masyarakat agama lain dan menyumbang secara aktif demi kebaikan manusia.

Encik Masagos juga menarik perhatian bahawa Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam ucapannya di acara berbuka puasa baru-baru ini turut mengingatkan masyarakat Islam bahawa umat Islam mesti meneruskan usaha murni, termasuk memiliki tanggungjawab sosial serta memelihara hubungan baik dengan mereka di sekeliling sedang kita menghampiri penghujung bulan Ramadan.

"Saya secara khususnya terharu atas mesej perpaduan dan persahabatan anda. Seperti yang sudah anda sebutkan, kita mesti bekerjasama dalam menyebar keamanan dan terus membina jambatan pemahaman dan penerimaan dengan semua agama.

"Saya ingin menyampaikan penghargaan mendalam saya bagi kata-kata yang baik hati dan komitmen anda dalam menggalak keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbeza," tulis Encik Masagos kepada Kardinal William Goh.

Encik Masagos juga berkata beliau berasa yakin mereka boleh membawa kesan positif secara bersama-sama dan mewujudkan dunia yang lebih baik untuk semua.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan