Skip to main content

Singapura

Masagos suarakan keprihatinan terhadap keganasan di Gaza, seru sokongan berterusan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, telah menyuarakan keprihatinan yang mendalam terhadap serangan yang disambung semula di Gaza, yang terus mengakibatkan korban jiwa orang awam yang tidak bersalah.

Beliau mengutuk tindakan keganasan tersebut dan menegaskan bahawa ia tidak boleh diterima, terutamanya pada bulan Ramadan yang suci ini.

"Saya sangat prihatin dengan serangan ke atas Gaza yang disambung semula yang terus mengakibatkan korban jiwa orang awam yang tidak bersalah. Tindakan keganasan seperti ini tidak boleh diterima dan lebih dikesali pada bulan Ramadan yang suci ini," kata beliau menerusi satu catatan di Facebook pada Khamis (20 Mac).

Beliau turut menyentuh tentang sumbangan berterusan masyarakat Singapura melalui Rahmatan Lil Alamin Foundation (RLAF) yang telah lama terlibat dalam usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.
"Memandangkan konflik ini telah berlarutan selama lebih setahun, Rahmatan Lil Alamin Foundation (RLAF) secara berterusan mengumpul dana bagi usaha bantuan di Gaza. Para pegawai yang berada di lapangan memaklumkan kepada saya bahawa rakyat Palestin amat menghargai bantuan berterusan dari Singapura," tambahnya.

Setakat ini, Singapura sudah menyumbang lebih daripada S$19 juta dolar kepada mangsa-mangsa di Gaza.
Beliau menyeru agar usaha bantuan untuk rakyat Palestin diteruskan dengan semangat bersatu.

"Ayuh kita terus bersatu padu dalam memberikan sokongan kepada pelbagai usaha untuk membantu rakyat Palestin termasuk kempen pengumpulan dana M³ Aid for Gaza anjuran bersama RLAF," kata Encik Masagos.

Beliau turut menyeru umat Islam untuk bersama-sama berdoa pada sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan, terutama dalam menantikan kehadiran Lailatul Qadar.

"Sedang kita berada dalam sepuluh malam terakhir Ramadan dan beribadah menyambut kehadiran Lailatul Qadar, marilah kita sama-sama memanjatkan doa untuk mereka yang menderita di mana sahaja termasuk di Gaza.

"Semoga damai hadir segera dan para mangsa dilindungi dan diberikan kekuatan serta ketabahan untuk mengharungi cabaran konflik yang berlarutan ini," ujarnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita