Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos seru pemimpin masyarakat jadi peran contoh; jaga kesihatan & jalani pemeriksaan rutin

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos seru pemimpin masyarakat jadi peran contoh; jaga kesihatan & jalani pemeriksaan rutin

 (Gambar: BERITAmediacorp/Hazimah Anuar)

Diterbitkan : 13 May 2022 08:18PM Dikemas Kini : 13 May 2022 08:18PM

SINGAPURA: Berat badan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, turun 13 kilogram dalam tempoh tujuh bulan setelah beliau melakukan lebih banyak olahraga dan menjaga pemakanannya.

Ini selepas Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga itu mendapat tahu bahawa beliau mengalami tahap kolesterol yang semakin tinggi dan berat badan yang membimbangkan.

Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan berkongsi peristiwa yang mengejutkan itu semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya Bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

"Ini disusuli penemuan bahawa pembuluh darah saya tersumbat walaupun belum tahap bahaya. Saya tidak berlengah dan terus ikut nasihat doktor memakan ubat setiap hari untuk mengawalnya.

"Saya menggunakan kesempatan bekerja di rumah untuk menambah waktu berolahraga dan menjaga pemakanan saya. Setelah lebih tujuh bulan, berat badan saya turun 13 kilogram dan sekarang tahap kolestrol terkawal sepanjang krisis COVID-19 ini," cerita beliau.

Encik Masagos berkongsi pengalaman peribadinya itu bagi menekankan betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan dan beliau menyedari bahawa "proses menurunkan berat badan dan tahap kolestrol tidak mudah".

Sekalipun demikian, beliau berkata dengan disiplin, ia boleh dicapai dan sangat berbaloi.

"Doktor menasihati saya supaya jangan ambil jalan mudah seperti memakan makanan tambahan (supplement) tetapi juga tidak perlu merana hingga tidak makan coklat, yang saya gemari!"

Semasa menyampaikan ucapannya itu, Encik Masagos turut mendedahkan bahawa trend kesihatan masyarakat Melayu/Islam setempat "semakin membimbangkan".

Menurut Tinjauan Nasional Kesihatan Penduduk, masyarakat Melayu menyaksikan jumlah kes kencing manis meningkat kepada sekitar 14 peratus pada 2020.

"Mungkin ini kelihatan kecil," kata beliau.

"Tetapi sewaktu saya menjadi Anggota Parlimen pada 2006, kadar kes kencing manis dalam kalangan masyarakat kita adalah sekitar tujuh peratus. Jadi ia sudah naik seganda," tambahnya.

Penyakit kencing manis mungkin juga menambah jumlah kes penyakit kronik tahap lima buah pinggang, sehingga memerlukan dialisis, kata beliau lagi.

Pada masa yang sama, kes tekanan darah tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu pada tahun 2020,adalah 1.5 kali lebih tinggi berbanding 2017, tambah Encik Masagos.

"Kesihatan jasmani kita sangat penting kerana ia adalah bahtera yang melayari kehidupan kita. Walaupun trend kesihatan membimbangkan, saya tetap yakin masyarakat kita dapat menewaskannya.

"Ini kerana kita masyarakat yang berdisiplin – yang telah mengharungi krisis yang sangat kritikal. Disiplin termasuk perlunya kita menghadkan dan menjaga pemakanan – sama seperti sewaktu berpuasa.

"Apabila dilengkapi pula dengan disiplin berolahraga, serta daya tahan dan iltizam untuk menghentikan tabiat merokok, kita pasti akan mematahkan trend tersebut!Yang penting, kita akan lebih sihat dan sekali gus kita dapat menikmati semua ibadah dengan sempurna –termasuk solat, haji dan puasa," ujar beliau.

Lantaran itu, Encik Masagos menyeru pemimpin masyarakat agar menjadi peran contoh dan mengambil langkah untuk menjaga kesihatan serta menjalani pemeriksaan secara berkala.

"Apatah lagi, banyak subsidi diberikan di bawah Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan (Screen For Life) agar boleh dimampui rakyat Singapura yang layak – paling tinggi, ia berharga S$5 sahaja," ujar Encik Masagos.

Untuk memperhebatkan usaha bagi mengurangkan gejala-gejala penyakit kronik dengan pendekatan yang sesuai untuk masyarakat setempat, Setiausaha Parlimen Rahayu Mahzam akan menerajui peningkatan usaha Program Saham Kesihatan, kata Encik Masagos.

"Puan Rahayu sudahpun memulakan usaha dengan menubuhkan satu kumpulan kerja bersama pemimpin-pemimpin masyarakat kita bagi meneliti aspek pemakanan, kegiatan jasmani, pemeriksaan kesihatan, tabiat merokok dan kesihatan mental.

"Beliau juga akan menumpukan fokus kepada sebuah program perintis di M3@Bandar bermula dengan menyasarkan keluarga-keluarga muda di M3@Jurong dan program serupa di M3@Tampines," kata Encik Masagos.

Program itu bakal diperluaskan ke setiap M3@Bandar.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa