Masagos seru masyarakat perkukuh kerjasama melangkah ke tahun baru
Setelah sama-sama mengharungi tahun 2020 yang "mencabar namun amat bermakna", masyarakat Singapura digesa agar mengukuhkan kerjasama dan ukhwah dalam melangkah ke tahun baru.
SINGAPURA: Setelah sama-sama mengharungi tahun 2020 yang "mencabar namun amat bermakna", masyarakat Singapura digesa agar mengukuhkan kerjasama dan ukhwah dalam melangkah ke tahun baru.
Demikian seruan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menerusi Facebook pada Khamis (31 Dis) sempena tahun baru 2021.
Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan keluarga, menyingkap bagaimana masyarakat setempat menyesuaikan diri dengan norma baru di tengah-tengah pandemik yang melanda dunia.
"Kita terpaksa meninggalkan amalan-amalan yang biasa dan menyesuaikan diri dengan norma-norma baru. Kita telah mengharungi langkah pemutus rantaian jangkitan, di mana kita terpaksa berjauhan dari orang yang tersayang semasa musim perayaan," tulis beliau dalam satu catatan di Facebook.
Beliau turut melampirkan video yang mengimbas kembali pahit manis yang dilalui masyarakat Melayu/Islam dan penduduk setempat secara amnya sepanjang tahun ini.
Ini termasuk penutupan masjid-masjid dan larangan perhimpunan semasa Hari Raya, serta usaha masyarakat dalam membantu golongan memerlukan ketika masa-masa sukar.
"Alhamdulillah, berkat kerjasama, ketabahan dan kesabaran, kini keselamatan masyarakat dan negara kita terpelihara," tulis beliau.
Sungguhpun begitu, Encik Masagos mengingatkan bahawa masih terdapat sebilangan masyarakat yang memerlukan sokongan berterusan untuk bangkit kembali.
Lantaran itu, beliau mengajak masyarakat agar saling menghulurkan bantuan antara satu sama lain.
"Ayuh kita kukuhkan kerjasama dan ukhwah antara kita melalui M³, untuk mempertingkatkan lagi kehidupan kita. Semoga 2021 membawa lebih banyak kemajuan kepada Masyarakat Gemilang kita!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.