Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Semua pihak perlu pastikan bantuan untuk keluarga bermasalah sampai kepada mereka

Semua pihak perlu memainkan peranan demi memastikan bantuan dan sokongan peringkat akhir untuk individu atau keluarga bermasalah, dapat sampai kepada mereka. Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semua pihak perlu memainkan peranan demi memastikan bantuan dan sokongan peringkat akhir untuk individu atau keluarga bermasalah, dapat sampai kepada mereka. Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Beliau menarik perhatian betapa seringkali program-program bantuan tidak sampai kepada golongan sasaran "kerana kelemahan-kelemahan dalam menghulurkan bantuan peringkat akhir (last mile delivery)".

Seruan itu dibuat di tengah-tengah keprihatinan bahawa keluarga-keluarga sedemikian mungkin tidak sedar tentang pelbagai bantuan dan sokongan yang tersedia untuk mereka.

Semasa menyampaikan ucapannya dalam seminar yang membincangkan peri perlunya memenuhi bantuan peringkat akhir Encik Masagos, memuji kemajuan yang dicapai masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Hari ini, hampir 40 peratus orang Melayu mempunyai pendidikan posmenengah atau lebih tinggi, berbanding 31 peratus lapan tahun lalu. Lebih ramai juga kini yang menjadi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen atau PMET.

Namun, takrifan kejayaan sebenarnya lebih daripada itu kata Encik Masagos.

"Saya percaya bahawa kejayaan bukan setakat untuk berada di puncak. Malah, ia satu tragedi jika ramai dalam kalangan kita berada di puncak namun hanya mementingkan diri sendiri. Ia tentang usaha mengharungi ujian dan menjalani kehidupan secara terhormat. Dan yang paling penting, ia adalah tentang membantu insan lain dan menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Encik Masagos.

HALANGAN-HALANGAN YANG PERLU DIPECAHKAN

Lantaran itulah, beliau mengajak semua pihak membantu pasangan dan keluarga yang menghadapi pelbagai masalah sosial yang rumit.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan, selain kurang sedar tentang skim-skim bantuan dan sokongan yang sudahpun ada, keluarga-keluarga sedemikian mungkin masih kurang melabur sumber dan masa untuk pelbagai latihan kemahiran dan sokongan pendidikan yang tersedia untuk mereka.

Ada juga yang tidak bersedia berkongsi tentang masalah-masalah yang mereka hadapi dengan agensi-agensi bantuan, kerana takut mereka akan dipandang rendah.

Perhatian mereka juga terlalu tertumpu kepada soal sandang pangan atau isu kecukupan keperluan asas kehidupan untuk memikirkan tentang perkara-perkara lain.

Di sinilah halangan-halangan tersebut perlu dipecahkan.

Menurut penceramah seperti Dr Mathew Mathews (penasihat kajian kepada MSF)dan Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, antara halangan tersebut termasuklah nilai atau pandangan hidup yang salah, seperti setakat reda dan tawakkal sahaja sehingga berat untuk mendapatkan bantuan.

Di sini, Ustaz Irwan Hadi, yang merupakan Timbalan Pengarah Peraturan dan Dasar Agama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), mengajak golongan asatizah supaya ke depan.

"Para asatizah dapat memainkan peranan untuk memperbetulkan pandangan-pandangan seperti ini dan memberikan jalan keluar yang lebih penting, jalan keluar memberikan panduan dan bimbingan supaya konsep-konsep ini kemudian dapat mencapai matlamat yang ingin dicapai, iaitu untuk membangunkan masyarakat dan untuk menggerakkan
keluarga-keluarga yang berada dalam keperluan untuk mendapatkan bantuan," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

CEGAH MASALAH SEBELUM IA BERLAKU

Encik Masagos turut memuji inisiatif-inisiatif seperti M³ (sinergi MUIS, MENDAKI, MESRA) dan projek-projek seperti KelasMateMatika atau KKM@CC yang bertujuan memperkasa anak-anak dan sekaligus mencegah masalah seperti masalah keluarga atau keciciran sebelum ia berlaku.

Antara sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang menyumbang tenaga dengan mendekati keluarga-keluarga yang mempunyai anak-anak yang perlukan sokongan di bawah program KMM@CC, ialah Dr Mohammad Zaidi Ariffin.

Dr Mohammad Zaidi yang bertugas sebagai jurutera kajian dan pengembangan, menubuhkan Young Achievers Club@Woodlands yang mendekati anak-anak dari keluarga yang punya anak dari Darjah 1 hingga Menengah 4.

Kini Dr Zaidi ada rancangan untuk meluaskan lagi program mendekati keluarga seperti itu di KelasMateMatika@Woodlands.

"Rancangan saya adalah untuk meluaskan kepada kanak-kanak di bawah umur 6 tahun untuk mendapatkan mereka untuk melalui program bacaan untuk kelas-kelas, untuk mereka membaca buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," kongsi beliau.

Semua ini kata Encik Masagos, akan memastikan keluarga-keluarga berisiko menerima bantuan lebih holistik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan