Masagos: S'pura terdedah kepada risiko paras air laut naik, banjir dahsyat
Negeri pulau kecil yang membangun seperti Singapura terdedah kepada risiko "padah buruk" jika trend kenaikan suhu berterusan, menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.
(Gambar: MEWR)
SINGAPURA: Negeri pulau kecil yang membangun seperti Singapura terdedah kepada risiko "padah buruk" jika trend kenaikan suhu berterusan, menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.
Beliau berkata demikian semaca berucap di Persidangan Perubahan Iklim (COP24) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Katowice, Poland pada Rabu (12 Dis).
Semasa menyampaikan kenyataan negara Singapura, Encik Masagos menarik perhatian kepada laporan PBB baru-baru ini yang memberi amaran bahawa pemanasan bumi boleh melepasi had 1.5 darjah Selsius seawal 2030 jika trend kenaikan suhu berterusan.
"Ini membawa padah buruk kepada banyak negara, terutamanya Negeri Pulau Kecil Membangun (SID). Singapura adalah antara negara yang terletak pada paras rendah yang mudah terdedah kepada kenaikan paras air laut dan banjir dahsyat akibat ribut kencang. Jelas, kita memerlukan tindakan segara, secara kolektif dan tersusun oleh semua pihak," kata Encik Masagos lagi.
Lantaran itu, beliau menekankan bahawa dunia perlu bekerjasama dalam mengetengahkan tindakan iklim global.
Menekankan komitmen Singapura dalam menangani perubahan iklim, Encik Masagos berkata meskipun negara ini adalah "sebuah negara bandar kecil dengan akses terbatas kepada sumber tenaga alternatif", Singapura tidak akan membiarkam "keterbatasan menjadi penghalang untuk bertindak".
"Meskipun tindakan yang diperlukan untuk menangani perubahan iklim amat mahal dan memerlukan sumber-sumber dialihkan daripada keperluan lain, kami menganggapnya sebagai sesuatu yang penting," tambah beliau.
KEPIMPINAN DALAM ASEAN DAN LUAR JANGKAUANNYA
Encik Masagos turut menarik perhatian kepada kerja-kerja Singapura selaku pengerusi ASEAN dan Jawatankuasa Bertindak ASEAN mengenai Perubahan Iklim, untuk "menjadikan perubahan iklim sebagai satu keutamaan serantau".
Beliau memberi contoh pencapaian ASEAN dalam menjangkaui sasaran kecekapan tenaga, mengurangkan intensiti tenaga sebanyak lebih 20 peratus pada 2016 berbanding paras yang dicapai pada 2005. Kemajuan ini dicapai jauh lebih awal daripada sasarannya iaitu 2020.
Singapura juga antara 55 negara pertama untuk mengesahkan Perjanjian Paris.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.