Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos rakam penghargaan kepada guru kerana "yang pertama tampil sertai M³@Bandar"

Mungkin ramai tidak tahu tetapi sokongan guru daripada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) sebenarnya tunggak keupayaan rangkaian M³ - MENDAKI, MUIS dan MESRA - mendampingi keluarga-keluarga Melayu tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos rakam penghargaan kepada guru kerana "yang pertama tampil sertai M³@Bandar"

Encik Masagos Zulkifli bersama ahli Jawatankuasa Pengelola KGMS dan kumpulan M³@Tampines. (Gambar: Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura/Facebook)

SINGAPURA: Mungkin ramai tidak tahu tetapi sokongan guru daripada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) sebenarnya tunggak keupayaan rangkaian M³ - MENDAKI, MUIS dan MESRA - mendampingi keluarga-keluarga Melayu tempatan.

"Para guru daripada KGMS merupakan golongan karyawan yang pertama tampil menyertai M³@Bandar," tulis Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, dalam ucapannya di Facebook sempena Hari Guru.

"Berbekalkan keyakinan bahawa usaha membina masyarakat yang lebih kukuh itu bermula daripada keluarga dan kanak-kanak, para guru ini memulakan usaha untuk mendekati dan menyokong golongan tersebut di M³@Bandar masing-masing."

Hasilnya, pelbagai inisiatif berjaya dijalankan, termasuk kegiatan-kegiatan memperkasa belia, sokongan berterusan bagi pasangan dan keluarga-keluarga Melayu/Islam, sehinggalah membantu golongan yang lemah.

Lantaran itulah, Encik Masagos merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KGMS mahupun semua yang bergelar guru. Ucapannya malah dirakamkan dalam satu bentuk video.

"Jasa guru sememangnya tidak ternilai dan tidak terbalas. Mereka membentuk nilai-nilai murni dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang berguna kepada anak didik mereka," kata beliau.

Encik Masagos, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, turut mengucapkan terima kasih kepada KGMS dan para pendidik kerana tidak pernah jemu untuk terus menabur bakti.

"Semoga lebih ramai lagi terpanggil lewat semangat guru-guru kita untuk sama-sama membina Masyarakat Gemilang."

Golongan karyawan lain yang turut disebut Encik Masagos dalam ucapannya kerana tampil menyertai M³@Bandar termasuk peguam, doktor dan anggota kumpulan berseragam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan