Skip to main content

Singapura

Masagos puji SGTeguhBersatu atas usaha perkukuh psikososial masyarakat Melayu/Islam di tengah COVID-19

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli memuji usaha pasukan bertindak SGTeguhBersatu memperkukuhkan daya tahan emosi dan sosial masyarakat Melayu/Islam di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos puji SGTeguhBersatu atas usaha perkukuh psikososial masyarakat Melayu/Islam di tengah COVID-19

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 13 May 2020 09:34PM Dikemas Kini : 13 May 2020 09:58PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli memuji usaha pasukan bertindak SGTeguhBersatu memperkukuhkan daya tahan emosi dan sosial masyarakat Melayu/Islam di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Menulis di Facebooknya hari ini (13 Mei), Encik Masagos yang juga pengerusi pasukan bertindak itu menekankan bahawa usaha bersepadu pasukan bertindak SGTeguhBersatu dapat membantu masyarakat mengharungi dan menyesuaikan diri dengan lebih baik sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Penularan COVID-19 telah menyebabkan banyak gangguan pada kehidupan kita. Ada di antara kita yang mungkin menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan norma-norma baru yang perlu kita amalkan sekarang. Ada pula yang mungkin berasa tertekan dari segi fizikal, emosi dan sosial disebabkan oleh langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan usaha bersepadu anggota Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu agar masyarakat kita dapat menghadapi dan menyesuaikan diri dengan lebih baik sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan virus ini," tulis Encik Masagos.

Sehubungan itu, Encik Masagos menggesa masyarakat supaya mendapatkan bantuan bagi mengurangkan tekanan dan cabaran yang dihadapi semasa tempoh sukar ini.

"Bagi anda yang menghadapi cabaran, anda tidak keseorangan. Terdapat banyak saluran yang boleh membantu anda, termasuk inisiatif terbaru ini. Dapatkan bantuan yang sesuai dan Insya-Allah, dengan sikap tabah dan cekal hati, bersama-sama kita boleh mengatasi cabaran ini," tulis beliau sebelum mengakhiri catatannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita