Skip to main content

Singapura

Masagos puji peranan sosioagama kumpulan Qaryah, masjid penuhi keperluan umat Islam SG

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos puji peranan sosioagama kumpulan Qaryah, masjid penuhi keperluan umat Islam SG

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

Diterbitkan : 20 Mar 2023 11:50PM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 12:16AM
BERITAmediacorp: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berbesar hati perbincangan dengan beberapa kumpulan Qaryah berjalan lancar, dengan maklum balas yang diterima daripada pihak mereka jujur serta ikhlas.

Beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama antara kumpulan-kumpulan Qaryah itu serta masjid-masjid untuk membantu masyarakat Islam - khususnya warga emas, ibu bapa yang mempunyai anak kecil serta golongan kurang upaya - untuk menunaikan ibadah mereka.

Encik Masagos menulis demikian dalam satu catatan Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli jawatankuasa kumpulan-kumpulan Qaryah di kejiranan Tampines pada Isnin malam (20 Mac).
Baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan bahawa ia akan membenarkan sesetengah kumpulan Qaryah untuk meneruskan rancangan mereka mengadakan solat tarawih di kolong blok atau dewan serba guna.

"Saya difahamkan beberapa kumpulan Qaryah akan terus mengadakan solat tarawih di kolong blok masing-masing kerana sulit bagi mereka untuk membatalkan persiapan yang telah dibuat sejak awal lagi," kata Encik Masagos.
Beliau menarik perhatian kepada sebilangan besar kumpulan Qaryah yang mengambil keputusan untuk melaksanakan langkah-langkah lain dalam usaha mereka untuk terus membantu jemaah agar mereka dapat mengerjakan solat tarawih di masjid-masjid.

Ini seperti membuat aturan untuk menyediakan khidmat bas ulang-alik ke masjid supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya ruang di masjid-masjid.

"Saya sangat menghargai usaha-usaha anggota kumpulan qaryah untuk membantu penduduk Islam kita memenuhi keperluan sosioagama mereka termasuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan," ujar menteri itu.

Encik Masagos juga menyentuh tentang apa yang disampaikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, semasa acara pelancaran Gerakan SalamSG 2023 di mana beliau mengingatkan masyarakat Islam Singapura agar menjalani bulan Ramadan tahun ini dengan penuh kesyukuran terutama sekali selepas pandemik.

"Mufti berkata jika sebelum ini kita perlu bersabar dengan perubahan dan penyesuaian seperti masjid-masjid yang perlu ditutup dan jumlah jemaah yang dikurangkan, kita kini boleh menyambung kegiatan dan menerima lebih ramai jemaah," kata Encik Masagos.

Beliau menambah bahawa dengan berasa syukur, ia bermakna masyarakat juga tidak lupa akan pengajaran yang dilalui bersama sebelum ini.

Lantaran itu, Encik Masagos menekankan betapa masyarakat Islam setempat harus terus memelihara kerapian semasa beribadah serta memastikan kebersihan masjid-masjid. Ini selain menunjukkan sikap prihatin terhadap keadaan orang lain, baik jemaah masjid mahupun golongan bukan Islam di luar masjid.

Sedang umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan yang menjelang, Encik Masagos berharap nilai-nilai murni tersebut dapat terus diperkukuhkan di dalam masyarakat. Beliau berkata sekiranya iktibar daripada pandemik lalu dilupakan, masyarakat mungkin "akan hilang nilai-nilai tersebut yang merupakan asas kepada kehidupan keagamaan".

Menggariskan betapa nilai serta ibadah sentiasa berkait rapat dan tidak terpisah, Encik Masagos berkata masyarakat "harus berusaha untuk mempertingkatkan ibadah kita dengan sentiasa menyebarkan kesejahteraan, keihsanan dan rahmah kepada orang lain".

Bagi pihak MUIS, Encik Masagos turut memohon maaf kepada kumpulan-kumpulan Qaryah atas kesulitan yang mungkin timbul daripada keputusan sebelum ini untuk tidak mengadakan solat tarawih di kolong flat serta dewan serba guna. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian semula MUIS bahawa akan ada ruang solat yang mencukupi di masjid-masjid merata negara sepanjang Ramadan ini.

"Bulan mulia Ramadan akan menjelang dalam beberapa hari lagi. Saya harap kita sama-sama dapat menikmati fadilat dan rahmatnya sebagai satu masyarakat yang bersatu hati, tabah dan sabar dalam mengharungi cabaran serta penuh kesyukuran agar kita dapat mencapai kejayaan yang lebih besar, bersama-sama, InsyaAllah," ungkap Encik Masagos, mengakhiri catatannya di Facebook.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita