Masagos puji kerja keras MUIS, sikap bertanggungjawab, kesabaran kakitangan masjid, jemaah bolehkan lebih banyak tempat solat Jumaat dibuka
Menteri Masagos Zulkifli berkata 20 masjid yang dibenar menampung lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat adalah berkat kerja keras MUIS serta kakitangan masjid dan jemaah yang bersabar dan bertanggungjawab dalam menyokong usaha negara mengekang COVID-19.

Para jemaah mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Falah pada 17 Jul 2020. (Gambar: Rosli A Razak)
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata 20 masjid yang dibenar menampung lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat adalah berkat kerja keras Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta kakitangan masjid dan jemaah yang bersabar dan bertanggungjawab dalam menyokong usaha negara mengekang COVID-19.
Menulis di laman Facebooknya hari ini (28 Ogos), Encik Masagos berkata langkah meningkatkan jumlah jemaah secara bertahap-tahap itu sejajar dengan garis panduan yang ditentukan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Dalam kenyataannya hari ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan lagi 20 masjid di sini dibenarkan menampung sehingga 300 jemaah bagi tiga sesi solat Jumaat bermula Jumaat depan. Ini sekali gus bermakna 13,000 jemaah boleh mengerjakan solat Jumaat setiap minggu mulai 4 September.
Dalam pada itu, Encik Masagos menekankan lagi bahawa ancaman COVID-19 masih belum berakhir maka itu, beliau mengingatkan orang ramai agar terus menggalas tanggungjawab sosial dengan baik.
"Ayuh kita terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri, dan mengikuti langkah-langkah selamat yang ditetapkan oleh pihak masjid dan pemerintah supaya bersama-sama kita dapat membasmi penularan wabak ini," ujarnya.
Beliau juga berharap jemaah memberikankerjasama dengan pegawai di barisan hadapan masjid untuk memastikan setiap sesi solat Jumaat dapat berjalan lancar.
Ini termasuk menyeru mereka yang tidak dapat mengerjakan solat Jumaat setelah berjaya menempah tempat untuk membatalkan pendaftaran mereka segera agar jemaah lain berpeluang memanfaatkan ruang kosong tersebut.
"Dengan kerjasama semua lapisan masyarakat, lebih ramai jemaah akan dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, InsyaAllah," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.