Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos puji Ecosoftt; syarikat pertama S'pura dianugerahi hadiah kemampanan Abu Dhabi

Ecosoftt, sebuah syarikat tempatan, mengharumkan nama Singapura dengan memenangi Hadiah Kemampanan Zayed bagi Kategori Air di acara Minggu Kemampanan Abu Dhabi (ADSW) 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos puji Ecosoftt; syarikat pertama S'pura dianugerahi hadiah kemampanan Abu Dhabi

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, bersama Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Ecosoftt, Marcus Lim. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Ecosoftt, sebuah syarikat tempatan, mengharumkan nama Singapura dengan memenangi Hadiah Kemampanan Zayed bagi Kategori Air di acara Minggu Kemampanan Abu Dhabi (ADSW) 2019.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mendedahkan demikian menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (15 Jan).

Menurut Encik Masagos, di bawah program Huraian bagi Penduduk Kurang Berkemampuan (SOUL), Ecosoftt berjaya merubah kehidupan para penduduk yang tinggal di sebuah kampung di Jabalpur, wilayah Madhya Pradesh, India.

Menulis di laman Facebooknya, Encik Masagos memuji usaha syarikat tempatan itu atas kejayaannya memudahkan akses para penduduk kepada bekalan air. Selain itu, syarikat berkenaan juga membantu meningkatkan tahap kebersihan dan pengurusan air sisa bagi memastikan para penduduk mempunyai bekalan air yang bersih dan selamat.

Lebih membanggakan lagi, ini merupakan kali pertama sebuah syarikat Singapura diberikan Anugerah Zayed, yang meraikan huraian-huraian mampan dan berinovasi.

Sebagai rakan industri ekosistem air Singapura, Ecosoftt sudah bekerjasama dengan agensi air negara (PUB) bagi pelbagai projek dalam sektor air. Ecosoftt juga terus membuat pelaburan dalam inovasi teknologi dan kini menjadi penerima geran pemerintah bagi menjadi tapak ujian untuk huraian mampan yang berinovasi.

Malah, menurut Encik Masagos, PUB sudah memperkenalkan huraian Ecosoftt kepada negara-negara membangun yang sedang berusaha untuk mencari huraian untuk menangani cabaran-cabaran air.

"Saya berbesar hati dengan berita bahawa pelaburan kami menjadi pemangkin dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu keenam mengenai Air Bersih dan Kebersihan - bukan sahaja di Singapura tetapi juga di negara-negara lain."

Encik Masagos kini dalam rangka lawatan selama lima hari ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Minggu Kemampanan Abu Dhabi (ADSW). ADSW adalah forum sejagat bagi menyerlahkan isu-isu kritikal mengenai agenda kemampanan sekitaran.

Semasa berada di UAE, Encik Masagos akan menyampaikan ucapan di Sidang Puncak Masa Hadapan pada Rabu (16 Jan) bagi merasmikan bengkel Sifar Sisa yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dan Kementerian Perubahan Iklim dan Sekitaran (MOCCAE).

Semasa lawatan itu, Encik Masagos juga akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai lain UAE.

Encik Masagos diiringi oleh para pegawai MEWR, Penguasa Agromakan dan Veterinar (AVA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan PUB.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan