Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos pengerusikan Jawatankuasa Tunas Bersama M³, 10 anggota dilantik

10 pemimpin muda mewakili badan-badan Melayu/Islam (MMO), masjid dilantik untuk menganggotai jawankuasa inisiatif baru Tunas Bersama M³.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 10 pemimpin muda mewakili badan-badan Melayu/Islam (MMO), masjid dilantik untuk menganggotai jawankuasa inisiatif baru Tunas Bersama M³.

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan demikian melalui satu catatan di Facebook pada Ahad (13 Jun).

"Saya akan mempengerusikan Jawatankuasa yang terdiri beberapa daripada wakil-wakil penjawat pucuk pimpinan di Badan-badan Melayu/Islam (MMO). Mereka akan bekerjasama untuk melakar program untuk peserta Tunas Bersama M³," kata Encik Masagos.

Tunas Bersama M³ pertama kali diumumkan Encik Masagos semasa perjumpaan Hari Raya secara maya, bulan lalu.

Program yang disokong MENDAKI menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) itu bertujuan menyokong MMO dalam memupuk bakat kepimpi muda di kalangan MMO.

Ini kata Encik Masagos dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat dan pertubuhan masing-masing bagi tahun-tahun mendatang.

Berikut senarai anggota jawatankuasa Tunas Bersama M³:

1. Cik Hazlina Abdul Halim - Presiden, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
2. Ustaz Muhammad Azri Azman - Presiden, Persatuan Muhammadiyah
3. Encik D’Cruz Firdaus Lionel Wilfred - Naib Presiden Kedua, Pertapis
4. Cik Nurul Asyiqin Mohsein, Setiausaha, Masjid Abdul Hamid
5. Encik Muhammad Muhtar Ma’arop, Setiausaha, Masjid Al-Islah
6. Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid - Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Safinah
7. Ustaz Muhammad Zahid Md Zin - Ketua Pegawai Eksekutif, Forum Belia Islam (MYF)
8. Encik Fairoz Hassan - Pengerusi, M³@Choa Chu Kang
9. Dr Noorul Fatha As’art - Pengerusi, M³@Woodlands
10. Dr Hamid Rahmatullah Razak, Timbalan Presiden, Karyawan India Muslim (IM.PROF)

Dengan pengalaman dan latar belakang yang pelbagai dari setiap anggota, ini diharap dapat menyuntik kesegaran ke dalam jawatankuasa itu.

(Gambar: Hospital Besar Singapura)

(Gambar: Hospital Besar Singapura)

"Saya mengharapkan untuk kerjasama yang lebih erat dan bertukar-tukar idea dengan anggota masyarakat Tunas Bersama M³. Sudah pasti ini akan meningkatkan lagi sinergi dan impak pertubuhan dalam membina lebih banyak inisiatif yang berkesan untuk masyarakat," kata Dr Hamid dari IM.PROF sebuah pertubuhan yang bermatlamat membantu golongan belia.

Tumpuan PPIS pula menurut Presiden persatuan itu, Cik Hazlina Halim adalah dalam menyokong pembangunan golongan wanita.

(Gambar: MENDAKI)

(Gambar: MENDAKI)

"Tunas Bersama M³ ini membolehkan barisan pelapis melakar dan juga menerajui inisiatif-inisiatif yang dapat mendatangkan manfaat buat masyarakat. Dan menerusi pertukaran amalan terbaik, menggilap kemampuan untuk mengatasi cabaran, kerjasama antara satu sama lain, barisan pelapis diharap dapat meningkatkan kemahiran supaya usaha-usaha yang dipelopori itu meninggalkan kesan.

"Bagi kami di PPIS, kami mengalu-alukan usaha mempertingkatkan diri yang membina dan terus kekal komited untuk menyokong wanita mengecapi aspirasi dan juga menggalas pelbagai tanggungjawab dan juga peranan," kata Cik Hazlina, yang baru sahaja dilantik ke dalam lembaga pengarah MENDAKI semasa Mesyuarat Agung Tahunan badan bantu diri itu pada Sabtu (12 Jun).

Naib Presiden Kedua, Pertapis, Encik Firdaus D'Cruz, pula sangat ghairah untuk bersama-sama menjayakan program itu. 

(Gambar: MENDAKI)

(Gambar: MENDAKI)

"Kami mengalu-alukan idea untuk memperkukuhkan warga masyarakat dan pemimpin pemerintah melalui 'fireside chat' untuk mendapatkan pandangan dan pertimbangan di sebalik dasar nasional. Program pembangunan yang lebih tersusun untuk pemimpin muda masyarakat kita, akan membolehkan mereka untuk memperluaskan dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai isu-isu di peringkat masyarakat dan nasional," kata Encik Firdaus.

Antara tugas yang akan digalas adalah melakarkan program-program buat peserta.

PROGRAM DILANCARKAN JAN 2022, PEMILIHAN PESERTA BERMULA OKT 2021

Dalam sidang media media selepas AGM itu, Encik Masagos, berkata program-program yang dilakarkan diharap dapat memupuk generasi pemimpin seterusnya, melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat dan pertubuhan masing-masing untuk tahun-tahun mendatang.

Jawatankuasa tersebut akan membimbing 30 peserta dari golongan pemegang jawatan tinggi dalam MMO berusia antara 35 hingga 45 tahun.

BERITAmediacorp diberitahu pemilihan kumpulan pertama peserta itu akan bermula sekitar Oktober ini.

Program-program pentadbiran dan kepimpinan dijangka bermula Januari 2022 dan akan dijalankan selama tiga tahun.

Anggota jawatankuasa akan terlibat dalam tiga inisitif utama demi membantu meningkatkan dan mengembangkan pertubuhan yang dipimpin masing-masing, kata Encik Masagos.

Pertama, memberi wadah untuk mereka bekerjasama bagi menjalin hubungan kerja yang lebih erat. Ini kata Encik Masagos adalah penting bagi MMO memperbaiki sinergi dan menghasilkan kesan yang lebih besar.

Kedua, menyediakan peluang bagi mereka menyertai program latihan profesional dengan tumpuan pada membina keupayaan dalam urus tadbir dan kepimpinan.

Akhir sekali, peluang untuk bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin Pemerintah, supaya lebih peka terhadap isu dan pertimbangan di sebalik dasar yang telah menyumbang kepada pembangunan Singapura.

Dengan itu, ia diharap para peserta dapat mengusulkan program dan projek yang boleh dimanfaatkan lebih ramai keluarga Melayu/Islam.

"Saya harap dengan memperkukuhkan barisan kepimpinan muda di dalam badan-badan Melayu/Islam, kita dapat mempersiapkan generasi masa depan dan memajukan visi Masyarakat Gemilang kita", ujar Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan