Masagos: Pelantikan kepimpinan baru Mahkamah Syariah kukuhkan institusi agama S'pura
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli berkata pelantikan Cik Guy Ghazali selaku Presiden Kanan Mahkamah Syariah adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan institusi agama di sini.
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli berkata pelantikan Cik Guy Ghazali selaku Presiden Kanan Mahkamah Syariah adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan institusi agama di sini.
Menurut Encik Masagos, sebagai Hakim Daerah di Mahkamah Keadilan Keluarga dan ahli Lembaga Rayuan bagi kes-kes di Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam, Cik Guy sangat berpengalaman dalam kedua-dua bidang tersebut.
Cik Guy yang akan mula menjawat Presiden Kanan Mahkamah Syariah pada 1 Ogos nanti juga akan menggalas tanggungjawab selaku mentor kepada asatizah yang memburu ijazah dalam undang-undang sivil.
Cik Guy juga akan membimbing golongan asatizah yang bakal menjadi hakim Mahkamah Syariah, kata Encik Masagos dalam satu catatan Facebook hari ini (27 Jul).
Cik Guy, 38 tahun, mengambil alih jawatan Presiden Kanan Mahkamah Syariah daripada Ustaz Alfian Yasrif Kuchit yang kembali berkhidmat di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 30 September.
MASAGOS: CIK GUY SANGAT BERPENGALAMAN DALAM UNDANG-UNDANG SIVIL, ISLAM
Mengulas lanjut Encik Masagos berkata masyarakat hari ini berdepan dengan isu-isu keluarga yang semakin rumit dan kerana itulah golongan asatizah memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberi sokongan rohani kepada masyarakat.
Sejajar dengan usaha mempertingkat dan memperluaskan keupayaan golongan asatizah, Encik Masagos berkata adalah penting untuk melabur dalam sektor agama dan memperkukuhkan institusi agama di sini.
Merujuk kepada Mahkamah Syariah, penting bagi institusi itu kata Encik Masagos, diterajui asatizah yang mahir dalam kedua-dua undang-undang Islam dan sivil.
Dalam hal ini, Presiden Kanan baru, Cik Guy Gazali 'sangat berpengalaman dalam kedua-dua bidang', ujar Encik Masagos.
"Sebagai Hakim Daerah di Mahkamah Keadilan Keluarga dan ahli Lembaga Rayuan bagi kes-kes di Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam.
"Pelantikan Cik Guy akan mengukuhkan keupayaan Mahkamah Syariah. Beliau juga akan menjadi mentor kepada asatizah yang sedang memburu ijazah dalam undang-undang sivil dan bakal menjadi hakim Mahkamah Syariah," kata Encik Masagos.
MASAGOS: USTAZ ALFIAN TINGKATKAN KEUPAYAAN MAHKAMAH SYARIAH
Menyentuh sumbangan Ustaz Alfian pula, Encik Masagos berkata beliau telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan undang-undang Islam di Singapura. Encik Masagos mengucapkan terima kasih atas kepimpinannya di Mahkamah Syariah selama tiga tahun yang telah mempertingkatkan keupayaan dan program sokongan untuk mengurangkan konflik dalam prosiding penceraian serta memelihara kepentingan pasangan dan anak mereka.
Encik Masagos juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Ustaz Alfian yang memburu ijazah kedoktoran dari Fakulti Undang-Undang di NUS.
"Saya gembira bahawa Ustaz Alfian akan terus berkhidmat di Mahkamah Syariah sebagai Presiden Sambilan dan menjadi mentor kepada asatizah lain.
"Saya teruja dapat bekerjasama dengan Cik Guy dalam jawatan baru ini, dan saya nantikan sumbangan Ustaz Alfian yang berterusan, dalam usaha kami memperkukuhkan institusi agama kita dan membina Masyarakat Gemilang," ujar Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.