Skip to main content

Singapura

Masagos: Pelantikan Esa Masood akan beri suntikan baru kepada kepimpinan MUIS

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkfli, mengalu-alukan pelantikan Encik Esa Masood menjadi Ketua Eksekutif terbaru MUIS, sebagai akan membawa suntikan baru kepada pucuk kepimpinan badan penguasa Islam itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos: Pelantikan Esa Masood akan beri suntikan baru kepada kepimpinan MUIS

Encik Esa Masood (paling kanan) bakal menjadi Ketua Eksekutif MUIS bermula 1 Jan 2019 (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 03 Dec 2018 07:39PM Dikemas Kini : 04 Dec 2018 11:17AM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkfli, mengalu-alukan pelantikan Encik Esa Masood menjadi Ketua Eksekutif terbaru MUIS, sebagai akan membawa suntikan baru kepada pucuk kepimpinan badan penguasa Islam itu.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini (3 Dis), Encik Masagos bukan sahaja mengucapkan tahniah kepada Encik Esa tetapi juga memuji dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang "tajam pemikiran, rendah diri dan terbuka kepada idea-idea".

Beliau juga yakin Encik Esa dan pasukannya nanti akan dapat membawa MUIS ke tahap lebih tinggi lagi.

Dalam pada itu, Encik Masagos juga berkongsi dengan BERITAmediacop bahawa setelah mengenali Encik Esa dan kepimpinan MUIS dengan lebih mendalam sejak Mei tahun ini "kelihatan beliau (Encik Esa) mendapat sokongan yang kuat dan padu dari mereka".

Encik Masagos juga menarik perhatian tentang pengalaman Encik Esa yang banyak juga membuat "perubahan-perubahan yang mendatangkan impak yang besar" terutama sekali semasa memegang jawatan Pengarah di Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).

"Dan saya harap dengan keterampilan beliau nanti, insya Allah MUIS akan menjadi sebuah badan yang dihormati, yang cekap dan juga mendatangkan manfaat kepada masyarakat kita dan juga kebanggaan kita di Singapura.

"JUTAAN TERIMA KASIH" MASAGOS KEPADA SEORANG "VETERAN"

Dalam pada itu, Encik Masagos menyampaikan ucapan "jutaan terima kasih" dan "penghargaan mendalam" beliau kepada Encik Abdul Razak Maricar di atas "sumbangan-sumbangan besar" beliau kepada MUIS.

Menteri Sekitaran itu menganggap Encik Razak sebagai "veteran yang berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam dan kepada negara" serta menabur khidmat yang cemerlang selama berada di MUIS khususnya sebagai Ketua Eksekutif sepanjang lima tahun yang lalu.

Dalam catatan Facebook beliau itu Encik Masagos mendedahkan bahawa Encik Razak sudah bersetuju untuk terus menyumbang kepada masyarakat sebagai Anggota Majlis Tertinggi MUIS.

"Haji Abdul Razak Maricar banyak berjasa pada MUIS dan masyarakat Islam di Singapura. Beliau telah bersama jajaran pimpinan di MUIS di madrasah dan juga di masjid telah mendatangkan manfaat yang sangat besar kepada masyarakat kita.

"Antara lain, banyak sekali transformasi yang telah dibuat di masjid-masjid dan juga di madrasah hinggakan jajaran kepimpinan akan datang akan membina atas dasar yang begitu kuat", kata Encik Masagos kepada BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita