Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: M3 'satu usulan kepada negara'; MMO lain juga diambil kira kekuatannya

Pelan bertindak M³ yang merangkumi MUIS, MENDAKI dan MESRA, adalah satu usulan kepada negara bahawa masyarakat Melayu/Islam boleh menempuh sebarang cabaran pada masa hadapan kerana adanya aset-aset yang kukuh itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelan bertindak M³ yang merangkumi MUIS, MENDAKI dan MESRA, adalah satu usulan kepada negara bahawa masyarakat Melayu/Islam boleh menempuh sebarang cabaran pada masa hadapan kerana adanya aset-aset yang kukuh itu.

Kekuatan hasil gandingan itu bakal meletakkan mereka dalam kedudukan lebih baik untuk memimpin masyarakat mengatasi keadaan yang tidak menentu.

Namun, Encik Masagos Zulkifli menegaskan, kejayaan pelan bertindak tersebut juga memerlukan kerjasama erat antara pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam setempat lain yang tidak kurang pentingnya.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu menjelaskan demikian di forum dasar pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) anjuran Yayasan MENDAKI.

BADAN-BADAN MELAYU/ISLAM SETEMPAT LAIN SALING LENGKAPI KEKUATAN M³

Daya inisiatif M³ bertujuan mengumpulkan sumber, kepakaran dan tenaga relawan untuk membantu pemerintah menangani dengan lebih strategik, pelbagai isu seperti sosial dan pendidikan yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam.

Ia termasuk memberi pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka serta mendampingi golongan bermasalah sosial atau yang tersangkut dadah.

Ini dinyatakan dan disokong Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya semasa NDR, 19 Ogos lalu.

Matlamat itu berasaskan kejayaan dan keupayaan seperti MUIS, MENDAKI dan MESRA sepanjang penubuhan badan-badan itu.

Sungguhpun begitu, Encik Masagos Zulkilfi menjelaskan kepada 60 peserta forum dasar ini bahawa ia bukan bermakna badan-badan Melayu/Islam tempatan lain tidak menonjol dan kurang kepentingan.

Nyata, tanggapan itu juga menjadi keprihatinan sesetengah peserta yang hadir.

Oleh yang demikian, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air menegaskan, semua pertubuhan Melayu/Islam ada peranan dalam mendukung pelan bertindak M³ agar kesannya boleh dilipatgandakan.

"Persatuan Melayu/Islam kita yang telah lama wujud di kalangan kita telah banyak berjasa kepada masyarakat, membangun dari sisi pendidikan, agama dan sebagainya. Mereka akan terus memainkan peranan yang penting dan dalam kita menggembleng tenaga M³, kita akan mengambil kira kekuatan mereka juga untuk bersama kita membangun masyarakat," terang Encik Masagos.

Di forum selama dua jam ini, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin pula membuat pembentangan tentang pengumuman PM Lee di NDR mengenai jagaan kesihatan.

Salah satunya, tentang Pakej Generasi Merdeka di mana rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950an akan menerima subsidi pemerintah untuk perbelanjaan perubatan mereka.

"Jadi ini adalah satu cara di mana kita dapat memberitahu masyarakat yang kita dekat dengan masyarakat, kita mendengar dan kita sedang melakarkan atau ada bantuan-bantuan serta kita akan mempergiatkan lagi usaha-usaha," kata Encik Amrin.

Zamil Penyelidik Kanan, Dr Matthew Matthews, dari Institut Kajian Dasar (IPS), pula menyampaikan tentang isu ketidaksamarataan sosial dalam masyrakat majmuk Singapura.

Beliau melakarkan cara bagaimana masyarakat Singapura boleh meningkatkan peluang secara kolektif, misalnya, dengan memastikan keperluan asas kekal dimampui dan tersedia untuk semua serta juga meningkatkan kerja-kerja sukarela.

AJU SOALAN-SOALAN DI LUAR ISU NDR, MASYARAKAT BERFIKIRAN LUAS

Para peserta meliputi karyawan, pemimpin masyarakat dan cendekiawan juga berpeluang mengajukan soalan kepada panel tiga anggota itu berkaitan kos sara hidup, isu perumahan serta pelibatan belia dalam M³.

"Ada juga soalan-soalan yang lebih daripada apa yang telah diketengahkan semasa Rapat Umum yang menunjukkan mereka sedang berfikir apakah isu yang dihadapi masyarakat, apakah keprihatinan masyarakat. Contohnya, isu-isu yang dikaitkan dengan akhir hayat," kongsi Encik Amrin berdasarkan sesi soal jawab forum itu.

"Saya gembira sekali beberapa ajuan pertanyaan tentang kos kehidupan diketengahkan. Dan kami prihatin bahawa ini adalah sesuatu yang membimbangkan masyarakat dan pemerintah akan menjalankan segala usaha untuk membuat masalah ini sekecil-kecilnya," ujar Encik Masagos.

Forum anjuran Yayasan MENDAKI ini berlangsung malam semalam di Insititut Pembelajaran Sepanjang Hayat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan