Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos luah rasa syukur kembali ke Tanah Suci; Masjidil Haram sibuk dengan ramai jemaah umrah

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos luah rasa syukur kembali ke Tanah Suci; Masjidil Haram sibuk dengan  ramai jemaah umrah

Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli yang kini berada di Arab Saudi bagi satu lawatan rasmi melahirkan rasa syukur kerana berpeluang kembali ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah dan bersolat di Masjidil Haram sejak COVID-19 melanda.

"Suasana di Saudi khususnya di Masjidil Haram kian sibuk dengan kehadiran lebih ramai jemaah umrah berikutan langkah pihak berkuasa Saudi melonggarkan langkah-langkah pengurusan selamat bagi pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya dalam satu catatan di Facebook pada Ahad (27 Mac), sambil menambah kali terakhir beliau berada di sana adalah pada 2020.

Menurut Encik Masagos, ketika di Makkah, beliau sempat bertemu dengan Sheikh Dr Hatim Al Awni, seorang cendekiawan Islam yang disegani. Perbincangan mereka padat dan berkisar tentang Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) anjuran Muis yang bakal berlangsung September nanti, tambahnya.

masagos

"Persidangan itu bakal menyediakan wadah bagi masyarakat minoriti Islam seluruh dunia untuk berbincang dan membentuk gedung-gedung ilmu yang dapat membimbing masyarakat mengemudi isu-isu berkaitan Islam yang sensitif dan rumit dengan yakin dan berhikmah,"jelas Encik Masagos.

Sheikh Dr Al Awni kata Encik Masagos mengalu-alukan usaha untuk membentuk gedung-gedung ilmu khusus untuk masyarakat Muslim namun menegaskan bahawa ia perlu bersauh kepada nilai-nilai dan tradisi ilmu agama yang mapan supaya lebih teguh dan mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Atas ketokohan beliau, saya telah mengundangnya menjadi salah seorang penceramah ICCOS. Saya harap kami dapat bertemu di Singapura untuk kami membalas sambutan hangat yang beliau berikan kepada saya dan delegasi Singapura. InsyaAllah!," ujarnya yang menambah kali terakhir mereka bertemu ialah dua tahun lalu.

Encik Masagos dijadual bertemu Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah untuk membincangkan persiapan musim Haji tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan