Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos lancar Program Pencapaian Kepimpinan demi asah bakat asatizah berpotensi jadi pemimpin

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bakal melancarkan satu program baru yang bertujuan mengasah bakat para asatizah untuk menjadi pemimpin pada pelbagai peringkat dalam sektor keagamaan.

Ini didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di parlimen hari ini (10 Mac) semasa membentangkan rancangan-rancangan yang ingin dijalankan bagi masyarakat Melayu/Islam buat sepanjang tahun.

Menurutnya, daya usaha baru MUIS yang dipanggil Program Pencapaian Kepimpinan (LMP) itu akan "menyediakan latihan formal kepada asatizah yang berpotensi" dan dijalankan di bawah rangka kerja pembangunan bakat dan kepimpinan agamawan (RLTD).

Ada dua laluan utama di bawah LMP, kata Encik Masagos.

"Pertama adalah laluan kepimpinan umum, di mana para asatizah boleh memanfaatkan pelbagai kursus yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta, untuk mengasah kecekapan mereka sebelum memimpin sebuah organisasi," jelasnya.

Kursus yang ditawarkan di bawah laluan ini antara lain merangkumi bidang pengurusan kewangan, penggubalan strategi serta pengurusan daya kerja.

PROGRAM EKSEKUTIF KEPIMPINAN

Laluan yang kedua di bawah LMP pula adalah laluan kepimpinan kegamaan.

"Ini bertujuan untuk meluaskan pengetahuan dan penghayatan para asatizah terhadap tradisi agama kita dan aplikasinya dalam konteks Singapura," terang Encik Masagos.

Di bawah laluan ini khususnya, para asatizah akan mengikuti Program Eksekutif Kepimpinan (LEP). LEP akan menyediakan wadah buat para asatizah berbincang tentang kehidupan beragama masyarakat Islam Singapura. Usaha ini bertujuan meningkatkan pemahaman mereka tentang dasar-dasar awam.

"Inisiatif-inisiatif ini akan mendedahkan para asatizah kita kepada pelbagai isu, untuk membantu memupuk potensi kepimpinan dan mengasah pemikiran kritikal mereka, terutamanya mengenai isu-isu agama yang menjejas masyarakat Islam kita.

"Pada dasarnya, kami ingin mempersiapkan generasi asatizah muda agar bersedia apabila dipanggil untuk berkhidmat di jawatan yang lebih tinggi, termasuk menerajui institusi agama penting seperti sebagai Mufti, Presiden di Mahkamah Syariah serta Kadi di ROMM," tambah Encik Masagos.

40 BAKAT INGIN DIPUPUK SETIAP TAHUN

Dalam satu kenyataan berasingan, MUIS menyatakan bahawa LEP setiap tahun akan ditawarkan kepada sehingga 40 asatizah yang menunjukkan potensi tinggi. Mereka semuanya akan dipilih dari latar yang berbeza-beza dalam sektor keagamaan.

Program ini bakal dilancarkan pada suku kedua 2022. Dialog yang dianjurkan di bawah program ini pula akan turut disertai para pemegang jawatan politik serta golongan sarjana.

Mengulas lebih lanjut, Encik Masagos berkata bahawa RLTD sejauh ini sudah memupuk sekitar 120 bakat sejak dilancarkan pada 2020. Meneruskan usaha sebegini tambahnya, perlu dijalankan demi memastikan sektor keagamaan "sama menarik" dengan sektor saingan.

"Inilah cara kita untuk memastikan pembaharuan kepimpinan dalam institusi agama kita dijalankan dengan baik," tegas Encik Masagos.

Para asatizah veteran yang berkhidmat di peringkat pengurusan kanan pula ingin diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing antara satu sama lain menerusi satu program rasmi dipanggil Retreat Kepimpinan.

Di samping itu, Encik Masagos mendedahkan bahawa MUIS sedang menyemak garis panduan gaji bagi sektor agama, terutama bagi mereka yang bekerja dalam sektor agama formal seperti masjid dan madrasah.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan