Masagos lahir rasa syukur masyarakat mula faham matlamat, peri penting Wakaf Masyarakat S'pura
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melahirkan rasa syukur atas maklum balas positif masyarakat yang kini mula memahami tujuan dan peri penting wakaf.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melahirkan rasa syukur atas maklum balas positif masyarakat yang kini mula memahami tujuan dan peri penting wakaf.
Beliau mengulas demikian dalam catatan di laman Facebooknya hari ini (10 Jun).
Encik Masagos menerima maklum balas tersebut menyusuli perbualan dengan dua DJ Warna 942FM AB Shaik dan Mariam Mas'od dalam program Espresso Warna pagi tadi.
Perbualan itu meliputi wawasan bagi masyarakat Islam, iaitu visi mengumpul hartanah dalam Wakaf Masyarakat Singapura demi memperkukuh sektor agama setempat termasuk pembangunan asatizah tempatan.
"Ramai pendengar yang menghantar mesej meminta perincian lanjut, terutama butiran khas untuk anggota masyarakat umum. Terima kasih!
"Saya menjelaskan bahawa bukan yang hartawan sahaja boleh menyumbang terhadap wakaf. Alhamdulillah, kami juga menerima mesej bahawa anggota masyarakat kini mula faham tujuan dan peri pentingnya wakaf ini," kongsi Encik Masagos.
Beliau, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air juga berkata Kumpulan Kerja Warga yang diterajui Encik Abu Bakar Mohd Nor dan terdiri daripada pakar-pakar dari pelbagai bidang akan memikirkan cara untuk merealisasikan wakaf itu, supaya segenap masyarakat dapat menyumbang kepada wakaf tersebut.
Encik Masagos juga melahirkan harapan agar masyarakat terus terpanggil untuk mempertingkatkan diri dengan kemahiran yang bermanfaat dan tidak terhambat oleh wabak COVID-19.
"Moga kita yakin dengan tekad kita bersama dan kita dapat hidup lebih makmur lalu memberi sumbangan berterusan di dunia dan di akhirat InsyaAllah," tulis Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.