Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos kongsi visi MUIS; luahkan penghargaan atas sokongan & kerjasama dengan Al-Azhar

Dalam lawatan rasminya ke Mesir, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengongsi visi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk terus membangunkan golongan asatizah di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos kongsi visi MUIS; luahkan penghargaan atas sokongan & kerjasama dengan Al-Azhar

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa mesyuarat dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Al-Tayyeb. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

KAHERAH, MESIR: Dalam lawatan rasminya ke Mesir, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengongsi visi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk terus membangunkan golongan asatizah di Singapura.

Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir dan Jordan, dari 10 hingga 13 Mac.

Semasa di Kaherah, beliau mengadakan pertemuan dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Al-Tayyeb, dan Mufti Besar Mesir, Sheikh Dr Shawki Ibrahim Abdul Kareem 'Allam.

Menulis di laman Facebooknya hari ini (12 Mac), Encik Masagos berkata semasa mesyuarat tersebut, beliau mengongsi visi MUIS untuk terus membangunkan golongan asatizah di Singapura.

Ini termasuk menerusi program baru Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan pembentukan Jawatankuasa Asatizah Masa Hadapan (COFA), yang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada Jumaat (8 Mac).

"Masyarakat Islam Singapura menyifatkan Al-Azhar sebagai sebuah universiti yang ulung dan disegani. Ramai asatizah tanah air kita adalah graduan Al-Azhar. Mereka membimbing masyarakat kita untuk menjalani kehidupan beragama sebagai Muslim dan rakyat yang baik," katanya.

Beliau turut berkata: "MUIS menghargai sokongan dan kerjasama erat dengan Al-Azhar selama ini dan komited untuk memperkukuhkan kerjasama ini demi manfaat kita bersama."

Mengulas mengenai pertemuan dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Al-Tayyeb, Encik Masagos berkata beliau berbesar hati kerjasama dengan Universiti Al-Azhar berjaya membuka laluan kepada kerjasama yang erat dan muhibah antara Mesir dengan Singapura.

Lawatan Encik Masagos ke Mesir dan Jordan adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi membangunkan dan memperkukuhkan golongan asatizah rakyat Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan