Skip to main content

Singapura

Masagos: Kesedaran masyarakat pertingkat lagi penggunaan Bahasa Melayu sudah bertambah

Meskipun penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ibunda semakin berkurangan, namun kesedaran masyarakat kita untuk mempertingkatkan lagi penggunaannya, sudah bertambah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Sep 2019 09:25PM Dikemas Kini : 21 Sep 2019 09:55PM

SINGAPURA: Meskipun penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ibunda semakin berkurangan, namun kesedaran masyarakat kita untuk mempertingkatkan lagi penggunaannya, sudah bertambah.

Demikian pandangan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di pelancaran Bulan Bahasa GRC Tampines hari ini (21 Sep).

Mengulas lebih lanjut Encik Masagos berkata beliau gembira kerana rumah-rumah keluarga Melayu sudah mula ada kesedaran bahawa "kita perlu... menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kerana inilah caranya kita menyampai dan menanamkan sifat-sifat atau bilai-nilai budaya Melayu yang murni".

Sambutan Bulan Bahasa di Tampines ini dilancarkan Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat, serta para Anggota Parlimen lain GRC ini termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Desmond Choo dan Baey Yam Keng di Kelab Masyarakat Tampines West pada Sabtu (21 Sep).

BELAJAR ISTILAH MELAYU DALAM PELBAGAI BIDANG PEKERJAAN

Berkonsepkan 'Ujana Bahasa dan Budaya' Melayu, para pengunjung disajikan dengan beraneka aktiviti termasuk mengenali kuih muih tradisional Melayu dan silat, serta pelbagai astaka pameran kendalian sekolah-sekolah dan badan-badan.

Related article image

(Gambar: BERITAmediacorp)

Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur acara, Encik Hanafi Idrus, sambutan yang diterima pada tahun ini amat menggalakkan berbanding tahun sebelumnya terutama dari sebilangan pelajar.

"Pada tahun ini Ujana Bahasa dan Budaya ingin mengajak pelajar khususnya dan masyarakat secara amnya untuk memperkenalkan istilah-istilah daripada bidang-bidang yang berbeza.

Contohnya laras-laras bahasa daripada bidang seni jahit, seni tari, persilatan," jelas Encik Hanafi.

DPM Heng sendiri tidak melepaskan peluang untuk cuba mengenakan tengkolok bak seorang pendekar Melayu.

Antara suntikan terbaru yang diperkenalkan pihak penganjur tahun ini adalah dengan mengundang sekumpulan doktor dan karyawan kesihatan dari Hospital Besar Changi, yang turun padang berkongsi pengalaman mereka menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan para pesakit.

Menurut mereka golongan muda yang berminat dalam bidang perubatan perlu membina kefasihan bahasa Melayu untuk mendekati para pesakit masing-masing yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

MASAGOS: 3 GOLONGAN MAIN PERANAN PUPUK BAHASA MELAYU

Encik Masagos menekankan betapa satu ciri orang Melayu Singapura ialah mereka bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa Melayu.

Related article image

Beliau menambah tiga golongan memainkan peranan penting dalam hal tersebut.
"Pertama adalah ibu bapa sendiri - banyak bertutur dalam bahasa Melayu supaya dapat menyemai dan menyampaikan nilai-nilai budi Melayu. Kedua adalah para asatizah kita dalam menyampaikan pesan-pesan agama. Dan ketiga adalah guru-guru bahasa kita," kata Encik Masagos.

Antara yang bersedia menyahut seruan Encik Masagos itu ialah guru tajaka Little Beez Playskool, Cik Suria Mahadi.

"Saya akan membawa apa saja yang kita belajar di sini seperti tarian Melayu, budaya, muzik Melayu serta makanan-makanan tradisional Melayu di bilik darjah," kata Cik Suria, yang mengajar Bahasa Melayu dan Inggeris untuk murid-murid peringkat Tadika 1.

Acara Bulan Bahasa@Tampines itu berlangsung sehingga 10.00 malam. Ia antara lain juga menampilkan persembahan-persembahan si cilik serta konsert khas dari Imran Ajmain, Zubir Abdullah dan penyanyi dari Malaysia, Aishah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita