Skip to main content

Singapura

Masagos: Keputusan batalkan bazar Raya 'sukar tetapi bertanggungjawab'

Keputusan membatalkan bazar tahun ini adalah keputusan yang sukar tetapi bertanggungjawab, menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di laman Facebook hari ini (18 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keputusan membatalkan bazar tahun ini adalah keputusan yang sukar tetapi bertanggungjawab, menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di laman Facebook hari ini (18 Mac).

Beliau berkata demikian selepas Persatuan Rakyat (PA) mengumumkan tiada Bazar Raya di Wisma Geylang Serai, Bazar Raya di Hab Tampines Kita dan Bazar Raya Utara di Woodlands tahun ini.

Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam turut berharap langkah mengekang penularan virus COVID-19 di Singapura itu dapat difahami dan disokong masyarakat.

"Satu langkah penting adalah untuk menjaga jarak sosial iaitu mengelak sentuhan fisikal dan merenggangkan diri daripada orang lain seberapa yang boleh.

"Justeru, keputusan untuk batalkan bazar adalah keputusan yang sukar tetapi bertanggungjawab. Saya harap, masyarakat kita dapat memahami dan menyokong langkah ini demi keselamatan kita semua," jelas beliau.

Akur bahawa masyarakat kini sedang berdepan dengan situasi baru "dengan pesat dan tidak dijangka" dalam usaha melawan COVID-19, Encik Masagos kekal positif masyarakat Melayu tetap akan menghidupkan semangat Ramadan dan Hari Raya dengan cara yang tersendiri.

"Ramadan ini tentu sekali terasa berlainan. Begitulah yang kita harus mempersiapkan diri dalam menghadapi masalah virus ini yang tiada pernah dunia mengalaminya.

"Namun, saya yakin kita mampu usahakan cara-cara yang lebih selamat tetapi kreatif untuk menghidupkan semangat Ramadan dan Hari Raya. Jangan patah semangat!" ujar Encik Masagos.

AMRIN: KESELAMATAN, KESIHATAN AWAM PALING PENTING

Sehubungan itu, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin
menekankan lagi keutamaan pada keselamatan dan kesihatan awam yang paling penting.

Beliau dan pasukannyayang sudah terlibat dalam perancangan Bazar Raya Utara di Woodlands sejak bulan Januari, menganggapnya sebagai sesuatu yang "perlu dilakukan".

Related article image
Amrin Amin/FB

(Gambar: Amrin Amin/Facebook)

"Saya berasa sedih tiada bazar Hari Raya akan diadakan di Woodlands, Geylang Serai dan Tampines. Tetapi keselamatan dan kesihatan awam adalah yang paling penting," luah beliau.

Akur bahawa masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan bulan Ramadan dan Syawal yang berbeza, Encik Amrin menyeru masyarakat supaya terus menyokong para penjual.

"Kepada para penjual, ia akan lebih sukar bagi mereka. Mereka sudah menyediakan stok baju Melayu dan barangan lain.

"Saya sudah berhubungan dengan sebilangan mereka. Ramai yang akan bergerak secara online - saya mengalu-alukan sokongan bagi mereka dan saya mengundang anda untuk melakukan yang sama," kata beliau di laman Facebook.

Meskipun virus COVID-19 juga disifatkan sebagai cabaran yang harus diharungi bersama, Encik Amrin yakin masyarakat akan menyesuaikan diri, menyokong satu sama lain dan menghadapinya sebagai tanda semangat masyarakat Singapura bersama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita