Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos ke Brunei bagi perkukuh hubungan dua hala; undang Brunei sertai sidang masyarakat gemilang

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Brunei Darussalam dari 1 hingga 4 Oktober dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin serta anggota kabinet negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos ke Brunei bagi perkukuh hubungan dua hala; undang Brunei sertai sidang masyarakat gemilang

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Pehin Badaruddin Othman di Brunei Darussalam pada 1 Okt 2019. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 02 Oct 2019 04:29PM Dikemas Kini : 02 Oct 2019 04:32PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Brunei Darussalam dari 1 hingga 4 Oktober dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin serta anggota kabinet negara itu.

Menulis di laman Facebooknya hari ini (2 Okt), Encik Masagos berkata beliau kini berada di Bandar Seri Begawan dan sudahpun mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Pehin Badaruddin Othman semalam (1 Okt) untuk menegaskan lagi hubungan dua hala yang erat dan kukuh antara kedua-dua negara.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Pehin Badaruddin Othman di Brunei Darussalam pada 1 Okt 2019. (Gambar: MCI)

Semasa mesyuarat tersebut, Encik Masagos turut mengundang Brunei untuk menjadi sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa sulung mengenai masyarakat gemilang. Acara tersebut akan dianjurkan oleh MUIS pada tahun depan.

Dalam ucapan beliau semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya Jun lalu, Encik Masagos menggariskan visinya bagi persidangan tersebut yang akan menjadi "wadah untuk semua Muslim seluruh dunia berhimpun dan belajar daripada satu sama lain".

Persidangan itu, tambah Encik Masagos, akan membincangkan perkembangan dan aplikasi panduan agama bagi minoriti Muslim yang ingin hidup sebagai warga bermaruah dan menyumbang kepada masyarakat masing-masing.

"Kita boleh mempelajari daripada rakan-rakan kita di Brunei yang akan mengongsi pengalaman luas mereka di persidangan tersebut tentang bagaimana kebudayaan Melayu dan amalan Islam berinteraksi sepanjang zaman sekali gus membentuk pandangan dunia serta cara kehidupan unik kepada orang Melayu," tulis Encik Masagos.

Beliau berkata perancangan bagi persidangan tersebut masih lagi di peringkat awal dan lebih banyak butiran bakal dikongsikan lewat tahun ini.

Encik Masagos dalam kalangan lima pemegang jawatan politik yang mengiringi Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dalam lawatan rasminya ke Brunei untuk Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) ketujuh.

Rombongan itu termasuk Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu; Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How; Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kesihatan Edwin Tong dan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan Wu Meng.

YLP mencerminkan komitmen jangka panjang Singapura dan Brunei untuk meningkatkan hubungan dua hala khas termasuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin generasi muda kedua-dua negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan