Skip to main content

Singapura

Masagos gesa generasi muda terus martabatkan, lestarikan bahasa Melayu

Generasi muda adalah tunggak utama kepada setiap usaha untuk memartabatkan dan melestarikan bahasa ibunda, menurut Encik Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Sep 2018 08:08PM Dikemas Kini : 30 Sep 2018 10:07PM

SINGAPURA: Generasi muda adalah tunggak utama kepada setiap usaha untuk memartabatkan dan melestarikan bahasa ibunda.

Sambil menekankan mesej penting itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, turut memuji daya inisiatif Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang berjaya menarik minat serta pelibatan ramai anak muda menerusi peluasan programnya.

Encik Masagos berkata demikian di acara Ujana Bahasa @ GRC Tampines, malam semalam (29 Sep).

Bercerita, bersketsa dan bercakap petah dengan 'Untaian Kata-Kata Indah', selaras dengan tema acara.

Itulah antara persembahan pembuka tirai khas oleh 30 kanak-kanak prasekolah dari kawasan itu semasa segmen khas Gema Si Cilik.

Telatah mereka bukan sahaja membanggakan ibu bapa yang hadir, malah turut mencuit hati tetamu terhormat, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

ANAK-ANAK MUDA IBARAT BENIH, PERLU DIBIMBING UNTUK MEKAR BERKEMBANG DALAM BERBAHASA

Program-program seperti itu, kata Encik Masagos, tepat maknanya dengan perkataan 'ujana' yang bermaksud taman.

Anak-anak muda kata beliau, ibarat benih yang ditanamkan di dalam taman, iaitu usaha-usaha kendalian MAEC, untuk dibimbing dan diasuh penggunaan serta penguasaan Bahasa Melayu mereka agar dapat mekar berkembang.

"Mereka mesti yakin bahawa perjuangan ini sungguh penting kerana di dalam bahasa terkandung nilai dan falsafah kehidupan yang disanjungi masyarakat kita. Jika generasi muda kita hilang keyakinan dengan bahasa ibunda mereka, akan lenyaplah bahasa itu," ucap Encik Masagos yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Tampines.

"Saya amat gembira melihat pelibatan begitu ramai anak muda dalam acara malam ini," kata beliau lanjut.

Di samping peserta-peserta cilik, para hadirin juga dihiburkan dengan persembahan oleh Orkestra Melayu Singapura (OMS) yang mendendangkan lagu-lagu klasik seperti Tualang Tiga dan Bagaikan Sakti.

Menariknya, hampir sepertiga anggota OMS adalah pemuzik muda.

"Sejak dari kecil, saya memang minat dengan lagu tradisional dan budaya Melayu. Ia datang daripada ayah saya kerana beliau juga adalah seorang pemain muzik yang memainkan lagu-lagu Melayu dan tradisional," kongsi vokalis OMS, Nur Umairah Mohd Syafiq, 14 tahun.

Penyanyi veteran, Sanisah Huri, turut menyumbang suara kerana ingin lagu-lagu beliau seperti Kisah Tuah dan Teja serta Joget Malam Berinai dikenali golongan muda.

Apatah lagi seni katanya kaya dengan budi dan bahasa.

"Muzik ini adalah satu cara untuk membangkitkan diri mereka dengan Bahasa Melayu dengan cara kita menyanyi macam lagu-lagu peribahasa. Jadi dengan itu, dia dapat dengar, dia dapat mengenali bahasa kita," ujar Sanisah Huri.

Acara anjuran bersama lima MAEC dari Tampines yang melibatkan sekitar 500 penduduk ini menggulung sambutan Bulan Bahasa di estet itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita