Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos gembira 'ramai' asatizah sokong Komitmen Untuk Melindungi Keharmonian Keagamaan

"Ramai" asatizah menyokong dan menurunkan tanda tangan kepada dokumen Komitmen Untuk Melindungi Keharmonian Keagamaan. Ini paparan baik daripada masyarakat Melayu/Islam tempatan, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Ramai" asatizah menyokong dan menurunkan tanda tangan kepada dokumen Komitmen Untuk Melindungi Keharmonian Keagamaan.

Ini paparan baik daripada masyarakat Melayu/Islam tempatan, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, yang melahirkan rasa gembira dengan perkembangan tersebut.

Iltizam itu ditandatangani oleh lebih 250 badan keagamaan di Singapura dan diserahkan kepada Presiden Halimah Yacob pada Rabu (19 Jun), dan bertujuan menolak perpecahan dan perbalahan antara masyarakat agama berbeza di negara ini.

Mereka yang menandatangi ikrar tersebut termasuklah Mufti Singapura, Ustaz Dr Fatris Bakaram.

“Yang saya lebih gembira ialah ramai sekali asatizah-asatizah yang mapan yang menurunkan tandatangan tersebut, ini adalah petanda yang sangat baik yang menunjukkan bahawa kita sebagai orang Islam di Singapura mahu hidup sama rata dengan orang lain, mahu jaga kehormanian dengan yang lain dan terus menunjukkan bagaimana kita merupakan satu contoh kepada negara-negara majmuk lain,” tekan Encik Masagos.

Encik Masagos berkongsi demikian ketika ditemui di Siri Kuliah MUIS yang ke-12 yang turut dianjurkan bersempena dengan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS) dengan kerjasama MCCY.

Acara tersebut mengundang tokoh dan sarjana mapan dalam bidang keagamaan, Profesor Karen Armstrong, yang menyampaikan sebuah kuliah bertajuk “Kepercayaan dan Masa Depan Kemanusiaan”.

Turut hadir di acara di majlis tersebut ialah beberapa Anggota Parlimen Singapura termasuk, AP bagi GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam, AP bagi GRC Bishan Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat serta Setiausaha Parlimen Kanan Dr Faishal Ibrahim.

MASYARAKAT YANG PERLU JUJUR TERHADAP AJARAN

Mengulas lanjut Encik Masagos berkata masyarakat di negara ini tidak boleh mengambil sambil lewa keharmonian agama yang sudah dibina oleh pemimpin agama selama ini.

Semua agama di Singapura memainkan peranan dalam menganjurkan perkara yang baik dan ini termasuklah juga agama Islam.

Namun Encik Masagos juga akur bahawa agama Islam sejak akhir-akhir ini turut dijadikan sebagai alat oleh sesetengah golongan bagi memperjuangkan agenda-agenda yang jauh dari ajaran Islam sebenar.

Di sini menurut Encik Masagos, masyarakat perlu ‘jujur’ terhadap ajaran Islam.

“Apa sahaja pegangan kita akhirnya kita perlu lihat apakah ia mencapai kedamaian bagi semua atau hanya memecahkan antara kaum atau antara kita sendiri.

“Jadi saya harap akur dan faham bahawa kita perlu menjalankan agama kita demi kepentingan kita di sini,” jelasnya lagi.

ASATIZAH PENDUKUNG TOLERANSI, KEDAMAIAN

Profesor Karen Armstrong.

Mesej kedamaian dan rahmah dalam agama Islam kata Encik Masagos bukan sahaja perlu disampaikan kepada masyarakat Islam, malah turut perlu ditonjolkan dan dipamerkan kepada yang lain.

“Asatizah semua tahu agama Islam menunjang keharmonian dan juga kemakmuran semua, bukan sahaja hanya untuk orang Islam. Kedamaian dan rahmat adalah sesuatu yang kita semua mahu merasakannya bukan sahaja kepada mereka dari agama Islam tetapi juga kepada semua,” tekan beliau.

Awal dari itu Encik Masagos menyambut dan beramah mesra dengan rombongan dari Brunei dan Malaysia yang menghadiri ICCS.

Majlis kemudian disusuli dengan pertemuan beliau dan para pemimpin agama-agama berbeza bersama Profesor Karen Armstrong.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan