Skip to main content

Singapura

Masagos, Dr Koh Poh Koon kongsi pelan jangka panjang untuk penduduk Tampines

SINGAPURA: Membina masyarakat yang lebih mampan, menangani cabaran perubahan iklim dan kebimbangan bekalan makanan merupakan intipati perbincangan di antara dua calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) kawasan undi GRC Tampines pada Jumaat (3 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos, Dr Koh Poh Koon kongsi pelan jangka panjang untuk penduduk Tampines

Calon-calon PAP GRC Tampines Encik Masagos Zulkifli dan Dr Koh Poh Koon kongsi pelan jangka panjang untuk penduduk Tampines. (Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli dan Laman Rasmi PAP)

SINGAPURA: Membina masyarakat yang lebih mampan, menangani cabaran perubahan iklim dan kebimbangan bekalan makanan merupakan intipati perbincangan di antara dua calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) kawasan undi GRC Tampines pada Jumaat (3 Jul).

Pemimpin pasukan PAP GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Dr Koh Poh Koon berinteraksi dengan para pengundi menerusi siaran Facebook LIVE sambil berkongsi tentang inisiatif dan perancangan mesra alam yang ingin dilaksanakan di kawasan itu.

SILA BACA: Masagos dedah manifesto PAP bagi GRC Tampines 'Kediaman Kita, Jiwa Kita, Tampines Bersama'

CABARAN '1,2,3' UNTUK JIMATKAN TENAGA, AIR, SISA

Untuk memastikan masyarakat dapat hidup dengan lebih mampan, Encik Masagos menyeru penduduk Tampines untuk menyahut cabaran mengurangkan penggunaan sumber tenaga sekaligus dapat mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ini termasuk menaikkan suhu alat penghawa dingin mereka lebih 1 darjah selsius.

Robot-robot mesra alam juga akan diletakkan di beberapa blok yang berupaya meninjau kadar penggunaan tenaga, air dan kemungkinan, sampah yang dikumpulkan.

"Ideanya adalah untuk lebih sedar tentang cara kita menggunakan sumber-sumber dan bukan sahaja melihat apa yang orang lain boleh lakukan tetapi apa yang kita semua boleh lakukan walaupun ianya sedikit," ujar Encik Masagos.

HASILKAN MAKANAN SENDIRI DI TAMPINES

Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) turut memberi penjelasan mengenai Visi 30x30 yang bertujuan untuk merangsang pembekalan makanan.

Disoal mengapa visi itu dianggap boleh dikecapi sedangkan Singapura menghadapi kekurangan ruang, Encik Masagos menjelaskan dengan menghubungkan kesan perubahan iklim kepada bekalan makanan dengan pandemik COVID-19 yang sedang dialami sekarang.

"Apabila perubahan iklim berlaku dalam masa 30, 40 atau 50 tahun akan datang, keadaannya akan serupa seperti COVID-19. Semasa COVID-19, banyak negara menghadapi bekalan makanan yang terjejas kerana mereka bimbang akan bekalan makanan mereka sendiri. Tetapi semasa perubahan iklim, banyak negara tidak akan dapat menghasilkan makanan yang kita perlukan," kata Encik Masagos.

Kedua-dua Encik Masagos dan Dr Koh mengundang penduduk Tampines untuk menyumbangkan idea-idea mereka.

"Di Tampines, kita perlu melihat kepada aset-aset yang sedia ada di sekeliling kita, ruang dan juga sisa-sisa makanan dan menjadikannya satu budaya untuk kita menumbuhkan makanan sendiri," tambah Encik Masagos.

Dengan usaha-usaha yang ingin dilaksanakan itu, Encik Masagos dan Dr Koh berharap ia dapat memupuk nilai-nilai positif menghormati alam semulajadi bukan sahaja dalam masyarakat hari ini, tetapi bagi generasi akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita