Masagos: Bila boleh solat berjemaah, solat Jumaat mungkin diumumkan '1 minggu lagi'
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zukifli, membayangkan bahawa keputusan sama ada solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid-masjid akan dibenarkan, bakal diumumkan "dalam satu minggu lagi".
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zukifli, membayangkan bahawa keputusan sama ada solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid-masjid akan dibenarkan, bakal diumumkan "dalam satu minggu lagi".
Beliau berkata demikian kepada BERITAmediacorp di Masjid Omar Kampong Melaka siang tadi, sedang lebih banyak masjid dibuka di bawah Fasa 1B, di mana hampir 50 masjid kini menawarkan solat lima waktu hari ini (8 Jun).
Encik Masagos malah melahirkan harapan bahawa Fasa 2 - yang membenarkan lebih banyak lagi aktiviti dijalankan - dapat berlaku "secepat mungkin".
"Insya Allah dalam satu minggu lagi, beliau (Menteri Lawrence Wong) akan membuat pengumuman apakah kita siap untuk Fasa 2. Dalam Tahap 2, kita akan membolehkan lebih banyak interaksi antara masyarakat di luar keluarga tetapi juga bertahap-tahap dan terkawal.
"Insya Allah ia akan membolehkan kita bersolat berjemaah malah dengan kita meyakinkan Pemerintah cara-cara kita mengawal jemaah, kita juga bakal mengadakan solat Jumaat di masjid-masjid kita," terang beliau.

Encik Masagos turun padang ke Masjid Omar Kampong Melaka - masjid tertua Singapura yang tahun ini mencecah usia 200 tahun - untuk meninjau langkah-langkah keselamatan yang dijalankan demi terus mencegah penularan COVID-19.
Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air melahirkan rasa syukur dengan kerja keras semua pihak termasuk pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), para pegawai masjid dan para sukarelawan demi memastikan keselamatan terjaga.
"Kerjasama di sini sangat penting, juga termasuk kerjasama kita untuk memastikan jarak selamat, kita teruskan dalam suasana yang ada kelonggaran sementara ini," kata Encik Masagos.
"Ini adalah norma-norma baru yang harus kita membiasakan diri kita supaya apabila kita membolehkan lebih ramai untuk datang berjemaah kelak, kita sudah terbiasa dengan norma-norma tersebut."
Demi memastikan penularan gelombang kedua tidak berlaku, Encik Masagos menekankan tentang langkah-langkah yang patut diambil segenap masyarakat.
"Jadi kita harus terus mengambil langkah yang paling mudah sekali, umpamanya menggunakan pelitup. Kedua, selalu menjaga kebersihan kita sendiri. Ketiga menjaga jarak selamat antara kita dan jemaah lain," ujar beliau.
OPERASI DI MASJID OMAR KAMPONG MELAKA BERJALAN LANCAR
Bagi Masjid Omar Kampong Melaka sendiri, sejak dibuka seminggu lalu (2 Jun), ia menerima sekitar 40 jemaah setiap hari yang datang untuk menunaikan solat zuhur dan asar.
"Di tempat kerja pun ada tempat solat untuk saya solat tetapi saya tetap datang ke masjid sebab dah rindu sangat dengan masjid jadi saya datang ke masjid walaupun berseorangan," kata Encik Moktar Yusoff, 52 tahun.
Seperti masjid-masjid lain, Masjid Omar Kampong Melaka juga memastikan bahawa para jemaahnya mengikuti langkah-langkah keselamatan.
Antaranya, mereka perlu mendaftarkan butiran peribadi menerusi SafeEntry. Ia juga menggunakan pengimbas suhu badan yang diletakkan di tempat masuk masjid, selain memasang kamera di dalam dewan solat yang dapat dipantau dari luar.
"Kita membuat pelaburan dalam teknologi yang mahal dan tinggi. Kita dapat mengurangkan tenaga manusia. Kamera ini dapat catit dengan tepat suhu badan.
"Cuma satu orang pegawai yang diperlukan," kata Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Encik Yusof Ali, tentang kaedah yang turut menjimatkan penggunaan tenaga manusia itu.
Pemantauan menerusi teknologi itu juga bermakna para jemaah dan para kakitangan masjid dapat menjaga jarak sosial dengan lebih berkesan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.