Masagos bertemu Mufti Besar Mesir, penuntut S'pura; dapatkan pandangan tentang COFA, PCICS
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli tiba di Kaherah, Mesir pada Ahad (10 Mac) dalam rangka lawatan beliau selama empat hari ke Mesir dan Jordan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa pertemuan dengan Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam. (Gambar-Gambar: Rosli Razak)
KAHERAH, MESIR: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli tiba di Kaherah, Mesir pada Ahad (10 Mac) dalam rangka lawatan beliau selama empat hari ke Mesir dan Jordan.
Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam, di Darul Ifta, pusat kajian bagi perundangan Islam negara itu.
Antara agenda pertemuan itu adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Universiti Al-Azhar serta meneroka beberapa kemungkinan bidang kerjasama untuk program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Encik Masagos juga mengadakan perbincangan dengan 30 pelajar rakyat Singapura di bawah persatuan Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (PERKEMAS). Kesemua mereka merupakan penuntut dalam pelbagai jurusan di Universiti Al-Azhar.
Sesi perbincangan itu adalah yang pertama sejak penubuhan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai Ehwal Masyarakat Islam di Parlimen pada Jumaat (8 Mac).
Hasil maklum balas dan pandangan daripada sesi itu akan dikumpulkan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan golongan asatizah masa depan.
Dalam taklimatnya di pemulaaan sesi tersebut, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Encik Esa Masood berkata golongan asatizah pada hari ini dan masa depan ialah "penjaga dan panduan kehidupan keagamaan masyarakat masa depan."
"Adalah penting bagi mereka untuk dapat menyesuaikan diri dengan keperluan, gaya hidup dan aspirasi masyarakat Singapura yang berkembang pesat," kata beliau.
Encik Esa menggesa para peserta yang hadir supaya mempunyai pemikiran pembelajaran yang berterusan.
"Walaupun penting untuk memperdalamkan pengetahuan dan keilmuan dalam pengkhususan masing-masing, juga mustahak untuk membangunkan kemahiran lain yang penting bagi mereka untuk merancang masa depan kerjaya mereka dengan jayanya."
Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang baru diumumkan akan dapat membantu mencapai ke arah itu.
Mulai tahun depan, semua lulusan jurusan agama Islam dari luar mahupun dalam negara perlu menjalani program (PCICS) selama setahun sebelum diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Semasa dialognya dengan para pelajar yang hadir, Encik Masagos melahirkan harapan agar potensi para graduan dalam bidang agama tidak disia-siakan.
Encik Masagos berkata, seperti juga pekerja dalam sektor lain, asatizah juga harus bersiap sedia untuk berdepan dengan gangguan ekonomi and pekerjaan.
Beliau menggesa para peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya pengkhususan dan kepakaran mereka dalam bidang agama Islam untuk bidang-bidang kerja bukan tradisional.
"Jelas sekali bidang-bidang ekonomi begitu luas untuk asatizah kita, antara lain umpamanya kaunseling, dalam bidang perundingan kewangan Islam, syariah dan juga undang-undang keluarga. Itu adalah bidang-bidang tradisional. Ada juga bidang-bidang lebih luas yang mungkin belum mereka teroka," ujar beliau.

Beberapa peserta yang ditemui di akhir sesi perbincangan itu memberikan reaksi positif kepada program PCICS itu.
Noratiqah Mohammad Hisham, yang sedang mengambil jurusan bahasa dan sastera Arab di Universiti Al-Azhar, berkata: "Pada saya, PCICS akan dapat membantu kami meraih kemahiran lain dan juga dapat menggilap kemahiran kami supaya kami dapat memberi kembali kepada masyarakat dalam sektor-sektor lain bukan setakat sektor keagamaan sahaja."
Pelajar tahun empat dalam jurusan Usuluddin Akidah dan Falsafah, Muhammad Nur Irfan Ahmad, tertarik dengan saranan Encik Masagos tentang bidang kaunseling.
"Ini adalah usaha yang baik di pihak MUIS untuk mempertingkat asatizah kita sekarang dan pada masa hadapan. Saya sekarang dalam jurusan akidah dan juga falsafah, jadi itu adalah satu langkah untuk saya menceburi bidang kaunseling dan juga psikologi dan kalau ada peluang untuk bekerja bersama para banduan," katanya.
Graduan baru, Bediuzzaman Abdul Jaleel, bersetuju dengan pandangan Encik Masagos agar para graduan meraih peluang dalam bidang-bidang baru.
"Para lulusan universiti Islam tidak seharusnya membataskan bidang kerjaya mereka dalam bidang pendidikan sahaja. Saya, misalnya, berminat untuk menggunakan kemahiran dalam bahasa Arab dan bekerja sebagai penganalisa bahasa Arab," kata beliau.
Encik Masagos dijadualkan bertemu dengan Imam Besar Universiti Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb, hari ini (11 Mac) sebelum berangkat ke Amman, Jordan.
LAPORAN BERKAITAN:
Jawatankuasa baru bagi persiap "Asatizah Masa Depan" ditubuhkan
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.