Masagos beri penghargaan atas sokongan UAE kepada usaha SG hulur bantuan ke Gaza

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Penguasa Am Ehwal Islam, Wakaf dan Zakat Dr Omar Habtoor Al Darei. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
Encik Masagos menzahirkan demikian semasa berada di UAE yang merupakan sebahagian daripada rangka lawatannya ke Timur Tengah minggu ini.
"Singapura amat prihatin dengan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk yang telah menyebabkan kehilangan beribu-ribu nyawa orang awam yang tidak bersalah," tambahnya.
Dalam pada itu, Encik Masagos turut menarik perhatian kepada kerjasama yang bakal dijalankan Singapura dengan UAE dan Cyprus untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan keempat, yang merangkumi 300 ton metrik sardin dalam tin dan 1,000 ton metrik beras ke Gaza.
Encik Masagos juga sempat berkongsi visi Masyarakat Gemilang dengan pemimpin-pemimpin negara itu semasa lawatannya.
Menurutnya, ia "memaparkan contoh bagaimana masyarakat minoriti Islam boleh berkembang maju dalam masyarakat majmuk dan juga komited menjadi rakyat yang baik kepada negara masing-masing".
Persidangan Antarabangsa bagi Masyarakat Gemilang (ICCOS), anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menghimpunkan pemimpin pemikir, cendekiawan agama dan pemimpin masyarakat dalam menyumbang buah fikiran mereka membina masyarakat Islam yang berkembang maju di seluruh dunia.
ICCOS dijadual berlangsung pada Oktober nanti.
PELUANG KERJASAMA LEBIH DEKAT
Encik Masagos juga menzahirkan rasa besar hati dapat bertemu dengan rakan-rakan sejawatannya dari UAE di Abu Dhabi, di samping memupuk hubungan baharu dengan para pemimpin lain.
Beliau berkongsi antara perbincangan yang diadakan semasa lawatan tersebut, antara lain tertumpu kepada bidang seperti membina keluarga yang kukuh, persefahaman antara agama dan perpaduan sosial serta perdagangan dan tenaga.
Beliau mengalu-alukan peluang sedemikian untuk kedua-dua negara bekerjasama dengan lebih rapat lagi.
Encik Masagos serta delegasinya seterusnya akan berangkat ke ibu kota Jordan, Amman.
Dalam lawatannya ke sana, beliau akan menyaksikan penyerahan cek antara Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hasi kutipan dana untuk Gaza yang dijalankan pada Mac tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.