Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos bentang pelbagai program untuk bina Melayu/Islam menjadi 'Masyarakat Berjaya'

Masagos Zulkifli membentangkan pelbagai pengumuman baru dan perkembangan terkini program-program bagi masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Mar 2019 12:16PM Dikemas Kini : 08 Mar 2019 08:55PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli hari ini (8 Mac) membentangkan pelbagai pengumuman baru dan perkembangan terkini program-program bagi masyarakat Melayu/Islam dalam usaha membina sebuah 'Masyarakat Berjaya'.

Berucap di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos mendedahkan bahawa dalam usaha membimbing kehidupan beragama masyarakat Melayu/Islam Singapura, golongan asatizah akan diperkukuh dalam beberapa aspek.

PENGUMUMAN BAGI BIDANG KEAGAMAAN

Pertama sebuah Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) akan dibentuk untuk menghasilkan sebuah tenaga kerja asatizah yang dilengkapi dengan kemahiran dan kecekapan yang bersedia untuk masa depan (future ready).

Pelbagai pemegang taruhan dalam masyarakat akan didekati dan hasil dapatannya akan digunakan untuk melakar pembentukan tenaga kerja asatizah yang boleh memenuhi keperluan masyarakat muslim Singapura yang berubah-ubah.

Selain itu, Encik Masagos juga mendedahkan, Madrasah Aljunied juga sudah mula mengambil sejumlah 26 pelajar sebagai kohort pertama bagi Program Diploma International Baccalaureate pada Januari tahun ini. MUIS juga akan melancarkan Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari bagi semua lulusan bidang ukhrawi mulai tahun depan.

1,500 BAKAL TERIMA MANFAAT INISIATIF KMM@CC

Mengulas mengenai inisiatif gandingan atau sinergi M³ (MUIS, MENDAKI & MESRA), Encik Masagos memberitahu Parlimen bahawa ia "sudah membuat kemajuan baik", dalam usaha memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Projek perintis M³, KelasMateMatika@CC, yang membantu kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa bergaji rendah, dijangka akan dapat dimanfaatkan sekitar 1,500 anggota masyarakat Melayu/Islam tahun ini, berbanding 300 orang tahun lalu.

Dalam usaha memastikan bantuan tahap perkhidmatan terakhir (last mile service delivery) sampai kepada para penduduk Melayu/Islam memerlukan, lagi enam pusat M³@Bandar akan dibentuk - bermakna, akan ada lapan pusat M³@Bandar kesemuanya di lapan bandar negara ini, kata Encik Masagos.

BULAN RAIKAN ILMU DIANJURKAN BUAT PERTAMA KALINYA

Dalam pada itu, dalam usaha terus menyemai rasa cinta kepada pembelajaran dan ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, buat julung-julung kalinya sebuah Bulan Raikan Ilmu akan dianjurkan Yayasan MENDAKI, pada Oktober ini, umum beliau yang juga merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Sesi Parlimen hari ini juga diberitahu bahawa MENDAKI sudah dilantik oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) sebagai Agensi Dampingan Prasekolah (Preschool Outreach Agency).

Dengan ini MENDAKI akan mendekati kanak-kanak Melayu/Islam antara usia 4 hingga 6 tahun yang tidak berdaftar dengan sebuah prasekolah.

Menggulung ucapannya kepada Dewan, Encik Masagos mengajak para anggota masyarakat Melayu/Islam supaya tampil untuk bekerjasama dengan M³ demi membina sebuah 'Masyarakat Berjaya'.

M³ kata beliau akan menawarkan rangkaian-rangkaian dan sumber-sumbernya.

Beliau menekankan betapa: "Setiap daripada kita boleh menggerakkan lingkaran kecemerlangan ini; jika kita bekerjasama bagi matlamat serupa, jika menggalak orang lain untuk bersungguh-sungguh; dan jika kita membantu generasi seterusnya."

Dengan cara itu ujar Encik Masagos, masyarakat Melayu/Islam akan menjadi lebih kuat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan