Masagos: Ayuh, bina masyarakat Melayu/Islam yang “luar biasa, berjaya dan ternama di mata dunia"
"Ayuh kita satukan hati-hati kita dan terus berusaha gigih demi mencapai hajat murni membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang luar biasa, berjaya dan ternama di mata dunia. Selamat Tahun Baru Masihi 2019!”
BERITAmediacorp: "Ayuh kita satukan hati-hati kita dan terus berusaha gigih demi mencapai hajat murni membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang luar biasa, berjaya dan ternama di mata dunia. Selamat Tahun Baru Masihi 2019!”
Demikian bunyi seruan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, dalam tulisan beliau di Facebook pada Ahad (30 Dis), semasa mengucapkan tahun baru dan menyingkap pelbagai pencapaian masyarakat Melayu/Islam bagi tahun 2018 ini.
Beliau mengisytiharkan bahawa tahun 2018 merupakan tahun yang bermakna bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Dalam catatannya, Encik Masagos menarik perhatian kepada beberapa pencapaian utama yang diraikan oleh masyarakat Melayu/Islam pada ini. Ia termasuk sambutan 50 tahun atau Jubli Emas MUIS, kemajuan pendidikan yang dipimpin MENDAKI, dan MESRA yang diperkukuh.
Encik Masagos berkata ramai pihak sudah berganding bahu dan bekerja keras untuk mengumpulkan sumber dan membentuk pelbagai program dalam usaha bagi memacu kemajuan masyarakat Melayu/Islam sejak beliau mengumumkan gagasan M³ pada Mei lalu.
(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
Menurut beliau, 150 ibu bapa dan kanak-kanak sudahpun menjalani program Kelas MateMatika@CC (KMM) - iaitu program pertama yang dilancarkan di bawah gagasan M³ - setakat ini. Bagi tahun 2019, Encik Masagos berkata, M³ bertujuan untuk meningkatkan sebanyak dua kali ganda jumlah ibu dan kanak-kanak yang menyertai program tersebut.
KMM mendekati lebih ramai kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa bergaji rendah agar dapat menyediakan sekitaran rumah sesuai bagi membangunkan kemahiran anak dalam mata pelajaran matematik.
Selain melengkapi kanak-kanak prasekolah dengan konsep asas Matematik, program itu turut menyertakan ibu bapa dalam kelas berasingan demi memperkasa mereka dengan kemahiran mengajar subjek tersebut.
Encik Masagos juga menulis bahawa berkata beliau amat terharu dan menghargai sokongan padu badan-badan Melayu/Islam lain dan para individu yang tampil secara sukarela untuk sama-sama memainkan pelbagai peranan seperti memimpin projek serta membimbing belia dan keluarga susah.
(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
"Gembira untuk melihat ramai karyawan yang tampil ke hadapan untuk membuat sumbangan, terutama sekali menerusi inisiatif M³@Bandar seperti M³@Tampines dan M³@Pasir-Punggol," katanya sambil menambah beliau mengalu-alukan lebih banyak usaha pada tahun akan datang.
Dalam catatannya itu, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong atas sokongan padu beliau kepada masyarakat Melayu/Islam selama ini.
Menurut Encik Masagos, M³ memerlukan masa untuk dibentuk sepenuhnya. Namun, Encik Masagos berkata beliau yakin M³ boleh berjaya dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki semua pihak, serta keikhlasan mereka.
"Golongan yang terbaik antara kita adalah mereka yang bermanfaat kepada yang lain,” tambah Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.