Skip to main content

Singapura

Masagos alu-alukan Program Masyarakat Gemilang RLAF; seru kerjasama serantau pacu kejayaan masyarakat minoriti Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos alu-alukan Program Masyarakat Gemilang RLAF; seru kerjasama serantau pacu kejayaan masyarakat minoriti Muslim

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengadakan perbincangan bersama Mufti Besar dan Presiden Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam di Kemboja (HICIRAC), Sos Kamry di Phnom Penh, Kemboja. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Diterbitkan : 21 Mar 2025 09:47PM Dikemas Kini : 21 Mar 2025 09:49PM
SINGAPURA: Terdapat potensi untuk menjalin kerjasama serantau, yang sekali gus akan membuka peluang baharu untuk menjana pertumbuhan, demi memacu kejayaan masyarakat minoriti Muslim di Asia Tenggara.

Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam satu catatan yang dimuat naik ke wadah Facebooknya pada Jumaat (21 Mac).
Beliau berkata demikian selepas melakukan satu siri lawatan ke Kemboja, Filipina dan Thailand baru-baru ini, di mana beliau bagaimana kerjasama dalam kalangan negara-negara ini boleh diteruskan untuk memupuk masyarakat minoriti Muslim yang berjaya dan berpandangan jauh di rantau ini.

Sehubungan itu, Encik Masagos menarik perhatian kepada Program Masyarakat Gemilang (COSP) Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sebagai wadah untuk menjalin kerjasama sedemikian.

Menurut Encik Masagos, COSP merupakan satu inisiatif yang menghimpunkan para pemimpin masyarakat daripada masyarakat Islam minoriti untuk saling berkongsi pandangan berhubung usaha membangunkan Masyarakat Gemilang.

Berteraskan nilai 3K - Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan, COSP
menggalakkan individu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara melalui pelbagai program dan inisiatif, supaya mereka boleh berkembang maju dalam konteks masing-masing.

Dalam pada itu, Encik Masagos menyuarakan keyakinannya terhadap kemungkinan mewujudkan lebih banyak peluang untuk para pemimpin masyarakat minoriti Muslim di rantau ini saling bekerjasama.

Edisi COSP seterusnya dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita