Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos alu-alukan kerjasama SG-Jordan dalam pendidikan Islam, kerjasama dengan negara Timur Tengah dalam pelbagai aspek

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Sep 2024 07:23PM Dikemas Kini : 05 Sep 2024 08:44PM
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengalu-alukan kerjasama antara Singapura dengan Jordan dalam pendidikan Islam.

Demikian menurut catatannya di Facebook pada Khamis (5 Sep).

Pada hari kedua lawatan beliau ke Jordon, Encik Masagos bertemu rakan sejawatannya, Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam, Mohammed Khalayleh bagi membincangkan pelbagai sudut kerjasama.

Encik Masagos berkata: "Saya menekankan sokongan Singapura terhadap peranan berterusan Jordan sebagai penjaga dan pengamanah Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis dan menyampaikan penghargaan saya kepada Jordan kerana menjadi tuan rumah kepada pelajar-pelajar Singapura.

"Saya berharap dapat bekerjasama lebih rapat dengan Menteri Khalayleh demi membina hubungan yang lebih kukuh.".

Beliau turut berkongsi mengenai lawatan ke Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), di mana mereka disambut oleh Setiausaha Agungnya, Dr Hussein Mohammad Al-Shebli.

Dr Al-Shebli memberikan taklimat tentang operasi bantuan kemanusiaan dari Jordan ke Gaza.

Encik Masagos turut menyampaikan penghargaan terhadap JHCO dan Pemerintah Jordan atas bantuan dalam operasi kemanusiaan pesawat RSAF menyampaikan kiriman dari Singapura ke Gaza.

"Beliau dan pasukannya bekerja sepanjang masa untuk memastikan bantuan sampai ke Gaza dengan segera. Singapura menghargai kerjasama erat yang diberikan JHCO dan Pemerintah Jordan kepada Singapura seperti semasa operasi mengguggurkan bantuan kemanusiaan Singapura oleh RSAF dari udara Mac lalu.

"Mereka memastikan penghantaran bantuan ke Gaza berjalan dengan pantas dan berkesan, " tambah beliau.

Beliau turut melahirkan harapan bagi gencatan senjata segera, seruan yang dikongsi masyarakat antarabangsa.

"Sedang krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, Singapura, bersama masyarakat antarabangsa, menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan, pembebasan para tebusan tanpa syarat dan akses kemanusiaan tanpa halangan."

Dalam pada itu, Encik Masagos menyatakan Singapura turut mengadakan dialog terbuka, jujur dan menarik dengan para pemimpin Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan bagi membincangkan sudut kerjasama yang luas dalam bidang seperti pendidikan, pembangunan sosial dan keluarga, termasuk golongan kurang upaya,serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Ternyata siri lawatan kerja ke Abu Dhabi dan Amman telah memperkukuhkan iltizam Singapura untuk bekerjasama dengan negara-negara di Timur Tengah dalam pelbagai aspek" kata Encik Masagos.
Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan