Masagos alu-alukan gagasan pegawai kanan MABIMS bagi kemakmuran ummah
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura Masagos Zulkifli mengalu-alukan perkongsian gagasan antara para pegawai kanan negara anggota MABIMS, yang diyakininya akan membantu masyarakat Islam rantau ini "maju dan berdaya saing".

Encik Masagos Zulkifli (3 dari kanan) bersama anggota kanan MUIS serta pemimpin delegasi dari Brunei, Indonesia dan Malaysia di mesyuarat SOM MABIMS pada 13 Nov 2019 (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura Masagos Zulkifli mengalu-alukan perkongsian gagasan antara para pegawai kanan negara anggota MABIMS, yang diyakininya akan membantu masyarakat Islam rantau ini "maju dan berdaya saing".
Dalam catatan di Facebook hari ini (14 Nov), Encik Masagos menzahirkan rasa terima kasih kepada rombongan-rombongan delegasi yang menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (SOM MABIMS) yang ke-44.
Pertemuan SOM MABIMS itu berlangsung dari 11 hingga 14 November di Hotel Marina Mandarin, Singapura.
Mesyuarat tahunan tersebut, menurut Encik Masagos, bertujuan menyelaras pembangunan kegiatan Islamik di rantau ini agar masyarakat Islam dapat terus mekar dan makmur dalam kalangan masyarakat rencam masing-masing.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua teman delegasi yang telah menyumbang gagasan yang saya pasti akan memakmurkan ummah kita supaya maju dan berdaya saing. Saya juga nantikan pembentangan hasil perbincangan di Indonesia tahun hadapan," tulis Encik Masagos di majlis penutupnya semalam (13 Nov).
Beliau menambah, sudut pandangan unik setiap negara anggota dapat menyumbang kepada wacana masyarakat-masyarakat Islam yang gemilang.
Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS ke-18 tahun diadakan November tahun lalu di Brunei Darussalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.